Peringatan tentang Kaum Terdahulu yang Diazab
Surah 9: At-Taubah (69 – 70)
Ayat 69
كَٱلَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ كَانُوٓا۟ أَشَدَّ مِنكُمْ قُوَّةً وَأَكْثَرَ أَمْوَٰلًا وَأَوْلَـٰدًا فَٱسْتَمْتَعُوا۟ بِخَلَـٰقِهِمْ فَٱسْتَمْتَعْتُم بِخَلَـٰقِكُمْ كَمَا ٱسْتَمْتَعَ ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِكُم بِخَلَـٰقِهِمْ وَخُضْتُمْ كَٱلَّذِى خَاضُوٓا۟ ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَـٰلُهُمْ فِى ٱلدُّنْيَا وَٱلْـَٔاخِرَةِ ۖ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْخَـٰسِرُونَ
(Nasib kamu hai orang-orang munafik) adalah sama dengan nasib orang-orang sebelum kamu (yang telah dibinasakan), mereka lebih kuat serta lebih banyak harta benda dan anak pinak daripada kamu; seterusnya mereka telah bersenang-senang dengan bahagian mereka; maka kamu pula telah bersenang-senang dengan bahagian kamu sebagaimana orang-orang yang sebelum kamu itu bersenang-senang dengan bahagiannya; dan kamu pula telah memperkatakan (perkara yang salah dan dusta) sebagaimana mereka memperkatakannya. Mereka yang demikian, rosak binasalah amal-amalnya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan merekalah orang-orang yang rugi.
Allah Swt menyatakan bahawa orang-orang munafik itu pasti akan ditimpakan azab di dunia dan juga di akhirat sebagaimana yang ditimpakan kepada orang-orang sebelum mereka. Ini kerana keadaan mereka yang terpedaya oleh kenikmatan duniawi sehingga berani menentang kebenaran adalah sama seperti keadaan orang-orang terdahulu.
Walau bagaimanapun orang-orang terdahulu memiliki fizikal yang lebih kuat daripada orang-orang munafik ini. Mereka juga memiliki lebih banyak harta dan anak-anak. Maka dengan kenikmatan duniawi itu mereka telah menikmati bahagian mereka dan orang-orang munafik juga telah menikmati bahagian mereka sehingga melalaikan mereka daripada ayat-ayat Allah Swt dan petunjuk Rasul-Nya.
Begitu juga sebagaimana orang-orang terdahulu memperkatakan perkara-perkara yang batil, mereka juga berbuat sedemikian. Padahal, dengan melakukan semua itu, amalan mereka dan juga amalan orang-orang terdahulu itu benar-benar telah sia-sia. Ini kerana amalan yang mereka lakukan itu tidak berlandaskan keimanan dan keikhlasan yang benar. Mereka itulah orang-orang yang rugi.
Ayat 70
أَلَمْ يَأْتِهِمْ نَبَأُ ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ قَوْمِ نُوحٍ وَعَادٍۢ وَثَمُودَ وَقَوْمِ إِبْرَٰهِيمَ وَأَصْحَـٰبِ مَدْيَنَ وَٱلْمُؤْتَفِكَـٰتِ ۚ أَتَتْهُمْ رُسُلُهُم بِٱلْبَيِّنَـٰتِ ۖ فَمَا كَانَ ٱللَّهُ لِيَظْلِمَهُمْ وَلَـٰكِن كَانُوٓا۟ أَنفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ
Bukankah telah datang kepada mereka berita orang-orang yang terdahulu daripada mereka, iaitu kaum Nabi Nuh dan Aad dan Thamud dan kaum Nabi Ibrahim, dan penduduk negeri Madyan serta negeri-negeri yang telah dibinasakan? (Semuanya) telah datang kepada mereka Rasul-rasul mereka dengan membawa keterangan yang jelas nyata, (lalu mereka mendustakannya dan Tuhan pula membinasakan mereka); Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.
Allah Ta‘ala menyebutkan beberapa kisah orang-orang terdahulu yang dapat diambil pengajaran oleh orang-orang munafik yang mendustakan para Rasul.
Antara kisah-kisah tersebut adalah:
(1) Kaum Nabi Nuh as
Kaum Nabi Nuh as yang ditenggelamkan kesemuanya kecuali orang-orang yang beriman kepada Allah Swt dan Rasul-Nya. Firman-Nya:
“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya, maka dia tinggal di antara mereka seribu tahun kurang lima puluh tahun. Maka mereka ditimpa banjir besar, dan mereka adalah orang-orang yang zalim. Maka Kami selamatkan Nuh dan penumpang-penumpang bahtera itu dan Kami jadikan peristiwa itu pelajaran bagi semua umat manusia.”
Al-‘Ankabut 29:14-15
(2) Nabi Hud as dan Kaum ‘Aad
Kaum ‘Aad iaitu kaum Nabi Hud as yang dibinasakan dengan tiupan angin yang sangat dingin lagi kencang selama tujuh malam dan lapan hari berterusan. Firman-Nya:
“Adapun kaum ‘Aad maka mereka telah dibinasakan dengan angin yang sangat dingin lagi amat kencang, yang Allah menimpakan angin itu kepada mereka selama tujuh malam dan lapan hari terus menerus, maka kamu lihat kaum ‘Aad pada waktu itu mati bergelimpangan seakan-akan mereka tunggul pohon kurma yang telah kosong (lapuk).”
Al-Haqqah 69:6-7
(3) Nabi Saleh as dan Kaum Thamud
Kaum Thamud iaitu kaum Nabi Saleh as yang dibinasakan dengan bunyi suara yang kuat dari langit. Firman-Nya:
“Sesungguhnya Kami menimpakan atas mereka satu suara yang keras mengguntur, maka jadilah mereka seperti rumput kering (yang dikumpulkan oleh) yang punya kandang binatang.”
Al-Qamar 54:31
(4) Kaum Nabi Ibrahim as
Kaum Nabi Ibrahim as, Allah Swt hancurkan kekuatan mereka dan istana Raja Namrud dimusnahkan. Firman-Nya:
“Kami berfirman, ‘Wahai api menjadi dinginlah, dan menjadi keselamatanlah bagi Ibrahim, mereka hendak berbuat makar terhadap Ibrahim,’ maka Kami menjadikan mereka itu orang-orang yang paling rugi. Dan Kami selamatkan Ibrahim dan Lut ke sebuah negeri yang Kami telah memberkatinya untuk sekalian manusia.”
Al-Anbiya’ 21:69-71
(5) Nabi Syu’aib as dan Kaum Madyan
Penduduk Madyan iaitu kaum Nabi Syu’aib as yang dibinasakan dengan gempa dan azab yang sangat dahsyat pada hari mereka dinaungi awan. Firman-Nya:
“Kemudian mereka ditimpa gempa, maka jadilah mereka mayat-mayat yang bergelimpangan di dalam rumah-rumah mereka, (iaitu) orang-orang yang mendustakan Syu’aib seolah-olah mereka belum pernah berdiam di kota itu; orang-orang yang mendustakan Syu’aib mereka itulah orang-orang yang rugi.”
Al-‘Araf 7:91-92
(6) Kaum Nabi Lut as
Kaum Nabi Lut as iaitu penduduk-penduduk di beberapa negeri yang telah dimusnahkan oleh Allah Ta‘ala. Firman-firman-Nya:
“Dan Kami hujani mereka dengan hujan (batu) maka amat buruklah hujan yang menimpa orang-orang yang telah diberi peringatan itu.”
Asy-Syuara’ 26:173
“Dan negeri-negeri kaum Lut yang telah dihancurkan Allah.”
An-Najm 53:53
Allah Ta‘ala menyatakan bahawa Dia sekali-kali tidak akan menganiaya mereka dengan azab tersebut. Ini kerana, sebelum itu Dia telah menegakkan hujjah-Nya dengan mengutuskan para Rasul berserta bukti-bukti yang mereka bawa. Sebenarnya merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri dengan mendustakan para Rasul dan menentang kebenaran.