Surah 9: At-Taubah (61)

Orang Munafik Menyakiti Rasulullah saw

Surah 9: At-Taubah (61)


Ayat 61

وَمِنْهُمُ ٱلَّذِينَ يُؤْذُونَ ٱلنَّبِىَّ وَيَقُولُونَ هُوَ أُذُنٌ ۚ قُلْ أُذُنُ خَيْرٍ لَّكُمْ يُؤْمِنُ بِٱللَّهِ وَيُؤْمِنُ لِلْمُؤْمِنِينَ وَرَحْمَةٌ لِّلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مِنكُمْ ۚ وَٱلَّذِينَ يُؤْذُونَ رَسُولَ ٱللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Dan di antara mereka (yang munafik itu) ada orang-orang yang menyakiti Nabi sambil mereka berkata: “Bahawa dia (Nabi Muhammad) orang yang suka mendengar (dan percaya pada apa yang didengarnya)”. Katakanlah: “Dia mendengar (dan percaya) apa yang baik bagi kamu, ia beriman kepada Allah dan percaya kepada orang mukmin, dan ia pula menjadi rahmat bagi orang-orang yang beriman di antara kamu”. Dan orang-orang yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Di kalangan orang-orang munafik ada yang menyakiti Rasulullah saw. Mereka melecehkan dan mencela Baginda, dengan mengatakan Baginda mendengar semua yang dikatakan kepadanya dan mempercayainya lalu membenarkan apa yang disampaikan kepadanya. Oleh itu, sekiranya mereka datang kepada Baginda dan bersumpah kepadanya, tentulah Baginda akan membenarkan mereka. Ini juga bermaksud Rasulullah saw seorang yang mudah ditipu dan tidak dapat membezakan mana yang baik dan mana yang batil.

Lalu Allah Ta’ala membantah kata-kata mereka dengan mengatakan bahawa Rasulullah saw adalah manusia yang mendengarkan setiap kebaikan, dia beriman kepada Allah Swt dan mempercayai kaum mukmin atas berita yang mereka sampaikan. Baginda adalah rahmat bagi orang-orang yang mengikutinya dan mengambil petunjuk daripadanya. Sesiapa yang menyakiti Baginda dengan apapun bentuk gangguan, bagi mereka seksaan yang pedih.