8 Golongan Penerima Zakat
Surah 9: At-Taubah (60)
Ayat 60
إِنَّمَا ٱلصَّدَقَـٰتُ لِلْفُقَرَآءِ وَٱلْمَسَـٰكِينِ وَٱلْعَـٰمِلِينَ عَلَيْهَا وَٱلْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِى ٱلرِّقَابِ وَٱلْغَـٰرِمِينَ وَفِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱبْنِ ٱلسَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةً مِّنَ ٱللَّهِ ۗ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ
Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa zakat hanya wajib diberikan kepada lapan golongan seperti yang disebutkan dalam ayat di atas:
(1) Orang fakir
Orang fakir ialah orang yang tidak memiliki kekuatan fizikal dan tidak memiliki mata pencarian. Daripada Ibnu ‘Umar rama, dia berkata bahawa Rasulullah saw pernah bersabda:
“Zakat itu tidak halal bagi orang yang berkecukupan, tidak pula bagi orang yang kuat lagi bermata pencarian.”
(HR. Ahmad, Abu Dawud dan At-Tirmizi)
(2) Orang miskin
Orang miskin ialah orang yang tidak cukup perbelanjaan untuk menguruskan kehidupannya dan dalam keadaan serba kekurangan serta tidak pandai bekerja dan tidak suka meminta-minta. Daripada Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah saw pernah bersabda:
“Orang miskin itu bukanlah orang yang suka berkeliling meminta-minta kepada orang lain, lalu diberi sesuap atau dua suap makanan. dan diberi sebiji atau dua biji kurma. Mereka (para sahabat) bertanya, ‘Lalu siapakah orang yang miskin itu, wahai Rasulullah?‘” Nabi saw bersabda, “Orang yang tidak memiliki sesuatu yang mencukupi keperluannya dan tidak pandai untuk mendapatkannya, sehingga zakat diberikan kepadanya, sementara dia tidak meminta-minta sesuatu pun daripada orang lain.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
(3) Amil (pengurus zakat)
Orang yang diberikan tugas memungut zakat daripada masyarakat, dan yang mengagihkannya kepada yang berhak atau orang yang sibuk mengurus zakat. Ini termasuklah penjaga, pengurus dan pencatatnya. Jika mereka mendapat gaji daripada pemerintah terhadap tugas itu, maka tidak berhak diberikan zakat.
(4) Mualaf
Mualaf ialah orang yang dipujuk hatinya sama ada yang diberi zakat agar dia masuk Islam atau yang diberi zakat setelah dia masuk Islam yang bertujuan untuk mengukuhkan keislaman dan keimanannya atau menghindarkan gangguan yang diterima ataupun untuk menarik manfaat dengan diberikan zakat kepadanya agar orang lain ikut masuk Islam.
(5) Untuk memerdekakan hamba
Iaitu hamba yang sedang berusaha untuk menebus dirinya daripada tuannya. Ini dipanggil hamba mukatab. Wang zakat ini digunakan untuk membebaskannya daripada perhambaan.
(6) Orang Islam yang terlibat dengan hutang yang banyak (Gharimin)
Gharimin ialah orang yang banyak hutang dan tidak mampu membayarnya. Ada beberapa jenis Gharimin:
i) Ada yang dirinya sendiri menanggung hutang, ada juga yang menjadi penjamin hutang orang lain sehingga hartanya habis atau membuatnya jadi berhutang, atau orang yang berhutang untuk suatu maksiat kemudian bertaubat dan tidak ada biaya untuk melunasi hutangnya.
ii) Demikian juga orang yang berhutang untuk mendamaikan dua pihak yang bersengketa, lalu orang itu menjadi orang tengah dengan berjanji akan memberikan harta kepada salah seorang di antara mereka atau semuanya. Maka orang ini diberikan bahagian daripada zakat walaupun dia kaya.
(7) Dalam perjuangan pada jalan Allah swt (Fi Sabilillah)
Antaranya adalah para mujahid yang sukarela berjuang menegakkan agama Allah swt atau untuk kepentingan mempertahankan Islam dan kaum muslim. Mereka ini tidak mendapat gaji daripada negara (sama ada mereka orang kaya ataupun orang miskin). Ada juga di kalangan ulama yang menggolongkan penuntut ilmu ke dalam golongan fi sabilillah.
(8) Ibnu Sabil (musafir)
Ibnu Sabil ialah orang yang kehabisan bekalan semasa dalam perjalanan yang bukan bertujuan maksiat sehingga tidak boleh meneruskan perjalanan, sekali pun dia seorang yang berkemampuan (di tempat tinggalnya). Zakat diberikan kepadanya agar dia dapat kembali ke tempat asalnya.
Sungguh amat besar manfaat zakat, jika disalurkan sesuai dengan syariat, maka akan berkuranglah kemiskinan dan agama Islam menjadi kuat dan terjaga.