Surah 9: At-Taubah (58 – 59)

Sikap Orang Munafik terhadap Pembahagian Zakat

Surah 9: At-Taubah (58 – 59)


Ayat 58

وَمِنْهُم مَّن يَلْمِزُكَ فِى ٱلصَّدَقَـٰتِ فَإِنْ أُعْطُوا۟ مِنْهَا رَضُوا۟ وَإِن لَّمْ يُعْطَوْا۟ مِنْهَآ إِذَا هُمْ يَسْخَطُونَ

Dan di antara mereka ada yang mencelamu (wahai Muhammad) mengenai (pembahagian) sedekah-sedekah (zakat); oleh itu jika mereka diberikan sebahagian daripadanya (menurut kehendak mereka), mereka suka (dan memandangnya adil); dan jika mereka tidak diberikan dari zakat itu (menurut kehendaknya), (maka) dengan serta merta mereka marah.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa di antara orang-orang munafik ada yang mencela Rasulullah saw dalam pembahagian sedekah, baik daripada ghanimah mahupun daripada pemberian zakat orang-orang yang berharta. Mereka menuduh bahawa pengagihan yang dibuat adalah tidak adil.

Kemudian Allah Ta’ala menyatakan bahawa senang dan bencinya orang-orang munafik adalah untuk kepentingan diri mereka, bukan untuk kepentingan agama Islam dan kebaikan para pemeluknya kerana Rasulullah saw ketika itu memberikan ghanimah kepada penduduk Mekah untuk melembutkan hati mereka dan ini menimbulkan rasa marah dan tidak puas hati kepada orang-orang munafik sedangkan mereka tidak berhak mendapatkannya.

Daripada Abu Sa’id, dia berkata, tatkala Nabi saw membahagi-bahagikan rampasan perang (ghanimah), Abdullah bin Dzul Khuwaishirah At-Tamimi datang dan berkata, “Berlaku adillah, sebab engkau belum berlaku adil!” Baginda menjawab, “Sungguh aku telah gagal dan merugi jika aku tidak berlaku adil.”

(HR. Al-Bukhari dan Muslim)

Ayat 59

وَلَوْ أَنَّهُمْ رَضُوا۟ مَآ ءَاتَىٰهُمُ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ وَقَالُوا۟ حَسْبُنَا ٱللَّهُ سَيُؤْتِينَا ٱللَّهُ مِن فَضْلِهِۦ وَرَسُولُهُۥٓ إِنَّآ إِلَى ٱللَّهِ رَٰغِبُونَ

Dan (amatlah baiknya) kalau mereka berpuas hati dengan apa yang diberikan oleh Allah dan Rasul-Nya kepada mereka, sambil mereka berkata: “Cukuplah Allah bagi kami; Allah akan memberi kepada kami dari limpah kurnia-Nya, demikian juga Rasul-Nya; sesungguhnya kami sentiasa berharap kepada Allah”

Padahal, sekiranya mereka benar-benar redha atau menerimanya dengan senang hati terhadap apa yang diberikan oleh Allah Swt dan Rasul-Nya walaupun sedikit dan mengucapkan cukuplah bagi mereka anugerah dan pemberian yang mereka dapat daripada-Nya sama ada daripada zakat atau ghanimah, itu adalah lebih baik bagi mereka.

Ayat ini mengandungi pengajaran kepada umat ini agar memiliki perasaan redha terhadap apa sahaja nikmat yang diberikan oleh Allah Ta’ala. Selain itu agar mereka redha terhadap pemberian Rasulullah saw kerana Baginda pasti berlaku adil dan hanya melakukan sesuatu yang mengandungi kemaslahatan umum untuk Islam dan umatnya.