Surah 9: At-Taubah (56 – 57)

Sumpah Palsu Orang Munafik

Surah 9: At-Taubah (56 – 57)


Ayat 56

وَيَحْلِفُونَ بِٱللَّهِ إِنَّهُمْ لَمِنكُمْ وَمَا هُم مِّنكُمْ وَلَـٰكِنَّهُمْ قَوْمٌ يَفْرَقُونَ

Dan mereka (yang munafik itu) bersumpah dengan nama Allah bahawa sesungguhnya mereka dari golongan kamu, padahal mereka bukanlah dari golongan kamu, tetapi mereka ialah suatu kaum yang pengecut.

Allah Ta’ala menyatakan ketakutan orang-orang munafik menyebabkan mereka bersumpah dengan namaNya bahawa mereka adalah orang-orang beriman, sedangkan mereka bukanlah sedemikian. Mereka adalah kelompok yang ragu-ragu dan menyembunyikan kemunafikan mereka. Mereka bersumpah kerana mengharapkan agar kaum mukmin terus dapat memberikan keamanan terhadap jiwa dan harta-harta mereka. FirmanNya:

“Dan apabila mereka berjumpa dengan orang-orang yang beriman, mereka mengatakan, ‘Kami telah beriman.’ Dan apabila mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka mengatakan, ’Sesungguhnya kami sependirian dengan kamu, kami hanyalah berolok-olok.’”

Al-Baqarah 2:14

Ayat 57

لَوْ يَجِدُونَ مَلْجَـًٔا أَوْ مَغَـٰرَٰتٍ أَوْ مُدَّخَلًا لَّوَلَّوْا۟ إِلَيْهِ وَهُمْ يَجْمَحُونَ

Kalau mereka dapat tempat perlindungan, atau gua-gua, atau lubang-lubang dalam tanah, nescaya mereka segera menuju ke arahnya serta melompat masuk ke dalamnya.

Allah Ta’ala menyatakan ketakutan yang mereka rasai itu menyebabkan mereka ingin melarikan diri dan hidup jauh daripada kaum mukmin.

Seandainya mereka menemukan sebuah tempat untuk berlindung di dalamnya seperti gua di gunung-gunung atau lubang di bawah tanah seperti di telaga dan terowong pasti mereka akan melarikan diri ke sana, padahal tempat-tempat tersebut adalah seburuk-buruk tempat.

Ini bermaksud, mereka pasti akan bersegera pergi jauh meninggalkan orang-orang beriman, kerana sesungguhnya mereka bergaul dengan orang-orang beriman hanyalah kerana terpaksa, bukan kerana mereka suka bahkan mereka sangat berharap mereka tidak bergaul dengan orang-orang beriman. Namun keadaan darurat membuat mereka terpaksa melakukannya. Oleh sebab itulah mereka selalu dicengkam oleh rasa sedih dan susah, sebab Islam dan para pemeluknya terus-menerus meraih kemenangan.