Surah 9: At-Taubah (55)

Larangan agar Tidak Kagum dengan Harta dan Anak Pinak Orang Munafik

Surah 9: At-Taubah (55)


Ayat 55

فَلَا تُعْجِبْكَ أَمْوَٰلُهُمْ وَلَآ أَوْلَـٰدُهُمْ ۚ إِنَّمَا يُرِيدُ ٱللَّهُ لِيُعَذِّبَهُم بِهَا فِى ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا وَتَزْهَقَ أَنفُسُهُمْ وَهُمْ كَـٰفِرُونَ

Oleh itu, janganlah engkau tertarik hati kepada harta benda dan anak-anak mereka, (kerana) sesungguhnya Allah hanya hendak menyeksa mereka dengan harta benda dan anak-anak itu dalam kehidupan dunia, dan hendak menjadikan nyawa mereka tercabut sedang mereka berkeadaan kafir (untuk mendapat azab akhirat pula).

Allah swt memperingatkan kaum mukmin agar tidak menganggap baik kekayaan dan kekuasaan duniawi yang dianugerahkan kepada orang-orang munafik apatah lagi sehingga mengkaguminya.

Ini kerana harta dan anak bagi orang-orang munafik sebenarnya adalah fitnah dan istidraj buat mereka. Segala nikmat ini adalah untuk menyeksa mereka dalam kehidupan di dunia, kerana dengan nikmat itu mereka semakin berat hati meninggalkan dunia dan sentiasa berasa takut kehilangan apa yang mereka miliki. Lebih menyakitkan lagi adalah kelak mereka akan mati dalam keadaan kafir dan tempat menetap mereka adalah neraka. Firman Allah Ta’ala:

“Apakah mereka mengira bahawa harta dan anak-anak yang Kami berikan kepada mereka itu (bererti bahawa) Kami bersegera memberikan kebaikan-kebaikan kepada mereka? Tidak, sebenarnya mereka tidak sedar.”

Al-Mu’minun 23:55-56

Istidraj adalah kenikmatan yang banyak meskipun mereka tetap dalam kemaksiatan.