Surah 9: At-Taubah (53 – 54)

Allah Swt Tidak Menerima Nafkah Orang Munafik

Surah 9: At-Taubah (53 – 54)


Ayat 53

قُلْ أَنفِقُوا۟ طَوْعًا أَوْ كَرْهًا لَّن يُتَقَبَّلَ مِنكُمْ ۖ إِنَّكُمْ كُنتُمْ قَوْمًا فَـٰسِقِينَ

Katakanlah: “Dermakanlah harta kamu sama ada dengan sukarela atau kerana terpaksa, tidak sekali-kali akan diterima daripada kamu, (kerana) sesungguhnya kamu adalah orang-orang yang fasik”.

Allah Ta’ala memerintahkan Rasulullah saw mengatakan kepada orang-orang munafik bahawa apa sahaja yang mereka infakkan pada jalan-Nya sama ada secara sukarela ataupun terpaksa, infak mereka itu tetap sia-sia sahaja dan tidak akan diterima. Ini kerana mereka adalah golongan fasik iaitu kufur kepada-Nya dan Rasul-Nya. Mereka menginfakkan harta apabila melihat ada kepentingan padanya ataupun ketika terpaksa. Firman-Nya:

“Ceritakanlah kepada mereka kisah kedua-dua putera Adam (Habil dan Qabil) menurut yang sebenarnya, ketika kedua-duanya mempersembahkan korban, maka diterima daripada salah seorang daripada mereka berdua (Habil) dan tidak diterima daripada yang lain (Qabil). Dia (Qabil) berkata, ‘Aku pasti membunuhmu!’ Berkata (Habil), ‘Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) daripada orang-orang yang bertakwa.’”

Al-Ma’idah 5:27

Ayat 54

وَمَا مَنَعَهُمْ أَن تُقْبَلَ مِنْهُمْ نَفَقَـٰتُهُمْ إِلَّآ أَنَّهُمْ كَفَرُوا۟ بِٱللَّهِ وَبِرَسُولِهِۦ وَلَا يَأْتُونَ ٱلصَّلَوٰةَ إِلَّا وَهُمْ كُسَالَىٰ وَلَا يُنفِقُونَ إِلَّا وَهُمْ كَـٰرِهُونَ

Dan tidak ada yang menghalangi mereka, untuk diterima derma-derma mereka melainkan kerana mereka kufur kepada Allah dan Rasul-Nya, dan (kerana) mereka tidak mengerjakan sembahyang melainkan dengan keadaan malas dan mereka pula tidak mendermakan hartanya melainkan dengan perasaan benci.

Allah Ta’ala menyatakan tiga sebab yang menghalang untuk diterima infak daripada orang munafik:

  • Kufur kepada Allah Ta’ala dan Rasul-Nya. Mereka tidak mempercayai dengan sebenar-benar kepercayaan kepada Allah Ta’ala dan tidak mengakui kerasulan Nabi Muhammad saw sebagai utusan-Nya yang membawa keterangan dan petunjuk daripada-Nya.
  • Mereka malas mengerjakan solat dan kalau mereka solat pun hanyalah dalam keadaan malas. Ini kerana mereka tidak mengharapkan pahala daripada solat mereka dan tidak takut terhadap seksaan akibat meninggalkannya.
  • Mereka tidak menginfakkan harta mereka untuk kepentingan berperang dan sebagainya melainkan dalam keadaan terpaksa. Mereka menganggap dengan berinfak, mereka akan rugi. Oleh itu, mereka hanya menginfakkan harta mereka jika terdapat unsur-unsur yang boleh menjaga kepentingan diri mereka sendiri.

Ayat ini merupakan satu peringatan bagi kaum mukmin agar tidak menyerupai orang-orang munafik, seperti malas beribadah, infak dengan hati yang tidak ikhlas dan sebagainya yang bertentangan dengan ajaran agama Islam.