Hasadnya Orang Munafik terhadap Orang Mukmin
Surah 9: At-Taubah (50 – 52)
Ayat 50
إِن تُصِبْكَ حَسَنَةٌ تَسُؤْهُمْ ۖ وَإِن تُصِبْكَ مُصِيبَةٌ يَقُولُوا۟ قَدْ أَخَذْنَآ أَمْرَنَا مِن قَبْلُ وَيَتَوَلَّوا۟ وَّهُمْ فَرِحُونَ
Jika engkau (wahai Muhammad) beroleh sesuatu kebaikan, (maka) kebaikan itu menyebabkan mereka sakit hati; dan jika engkau ditimpa sesuatu bencana, mereka berkata: “Sesungguhnya kami telahpun mengambil keputusan (tidak turut berperang) sebelum itu”, dan mereka berpaling (meninggalkanmu) sambil mereka bergembira.
Kemudian Allah Ta’ala menyebutkan betapa buruknya hati orang-orang munafik dan permusuhan mereka terhadap Rasulullah saw. Sekiranya Baginda mendapat kebaikan seperti kemenangan, pertolongan dan harta rampasan perang seperti yang berlaku pada perang Badar yang menjadikan Baginda dan para sahabat bergembira, itu membuatkan mereka tidak suka dan sangat marah.
Manakala sekiranya keburukan menimpa Rasulullah saw seperti kesulitan dan kekalahan dalam perang Uhud, mereka berasa gembira dan berkata bahawa mereka adalah orang-orang yang berfikiran matang dan cekap dalam merancang sesuatu urusan. Sebelum terjadi kekalahan itu mereka telah mengambil keputusan untuk tidak ikut berperang bersama dengan Baginda agar mereka tidak ditimpa kebinasaan. Mereka berpaling dalam keadaan riang gembira atas apa yang telah mereka perbuat dan atas apa yang menimpa Baginda.
Ayat 51
قُل لَّن يُصِيبَنَآ إِلَّا مَا كَتَبَ ٱللَّهُ لَنَا هُوَ مَوْلَىٰنَا ۚ وَعَلَى ٱللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ ٱلْمُؤْمِنُونَ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia-lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakkal”.
Allah Ta’ala memberi petunjuk kepada Rasulullah saw untuk memberikan jawapan kepada orang-orang munafik yang bergembira terhadap kekalahan yang dialami olehnya. Kebaikan mahupun keburukan tidak akan berlaku kepada mereka, melainkan yang telah ditetapkan Allah Swt di Lauh Mahfuz. Ini kerana orang-orang mukmin tidak berasa bangga diri ketika mendapat kemenangan dan tidak berasa sesak dada ketika ditimpa kekalahan. Firman Allah Swt:
“Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauh Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu tidak berdukacita terhadap apa yang luput daripada kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.”
Al-Hadid 57:22-23
Sebagai seorang mukmin, mereka tahu bahawa Allah Ta’ala tidak mungkin menganiaya dan meninggalkan mereka. Ini kerana Allah Swt adalah pelindung mereka dan hanya kepada-Nya-lah orang-orang yang beriman bertawakkal setelah mereka berusaha dengan sebaik-baiknya.
Ayat 52
قُلْ هَلْ تَرَبَّصُونَ بِنَآ إِلَّآ إِحْدَى ٱلْحُسْنَيَيْنِ ۖ وَنَحْنُ نَتَرَبَّصُ بِكُمْ أَن يُصِيبَكُمُ ٱللَّهُ بِعَذَابٍۢ مِّنْ عِندِهِۦٓ أَوْ بِأَيْدِينَا ۖ فَتَرَبَّصُوٓا۟ إِنَّا مَعَكُم مُّتَرَبِّصُونَ
Katakanlah: “(Sebenarnya) tidak ada yang kamu tunggu-tunggu untuk kami melainkan salah satu dari dua perkara yang sebaik-baiknya (iaitu kemenangan atau mati syahid); dan kami menunggu-nunggu pula untuk kamu bahawa Allah akan menimpakan kamu dengan azab dari sisi-Nya, atau dengan perantaraan tangan kami. Oleh itu tunggulah, sesungguhnya kami juga menunggu bersama-sama kamu”.
Orang-orang munafik sentiasa menunggu-nunggu kehancuran dan kebinasaan orang-orang muslim. Oleh itu, Rasulullah saw diperintahkan untuk mengatakan kepada mereka bahawa meskipun mereka selalu mengharapkan kebinasaan menimpa orang-orang mukmin namun sesungguhnya tidak ada yang mereka tunggu-tunggu kecuali orang-orang beriman itu akan memperoleh salah satu daripada dua kebaikan iaitu memenangi peperangan dengan membawa kemuliaan atau mati syahid.
Selain itu, orang-orang mukmin juga menunggu-nunggu balasan Allah Swt menimpa orang-orang munafik, salah satu dari dua keburukan iaitu azab daripada sisi-Nya, seperti yang pernah menimpa umat-umat terdahulu disebabkan keingkaran dan penentangan mereka terhadap kebenaran-Nya atau azab melalui tangan orang-orang mukmin iaitu dengan membunuh atau menawan mereka. Firman Allah Swt:
“Dan tunggulah (akibat perbuatanmu), sesungguhnya kamipun menunggu (pula).”
Hud 11:122