Surah 9: At-Taubah (5 – 6)

Perintah untuk Memerangi Orang Musyrik setelah Tamat Tempoh dan Melindungi Mereka apabila Mereka Meminta Pertolongan

Surah 9: At-Taubah (5 – 6)


Ayat 5

فَإِذَا ٱنسَلَخَ ٱلْأَشْهُرُ ٱلْحُرُمُ فَٱقْتُلُوا۟ ٱلْمُشْرِكِينَ حَيْثُ وَجَدتُّمُوهُمْ وَخُذُوهُمْ وَٱحْصُرُوهُمْ وَٱقْعُدُوا۟ لَهُمْ كُلَّ مَرْصَدٍ ۚ فَإِن تَابُوا۟ وَأَقَامُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُا۟ ٱلزَّكَوٰةَ فَخَلُّوا۟ سَبِيلَهُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Kemudian apabila habislah (masa) bulan-bulan yang dihormati itu maka bunuhlah orang-orang musyrik itu di mana sahaja kamu menemuinya, dan tawanlah mereka, dan juga keponglah mereka, serta tunggulah mereka di tiap-tiap tempat mengintipnya. Kemudian jika mereka bertaubat (dari kekufurannya) dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat, maka biarkanlah mereka (jangan diganggu). Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Ayat ini memerintahkan apa yang perlu dilakukan oleh kaum muslim setelah habisnya tempoh tersebut. Apabila telah habis bulan-bulan haram, iaitu masa tempoh waktu empat bulan yang diberikan kepada kaum musyrik itu, maka perangilah orang-orang musyrik di mana sahaja mereka temui ketika itu, baik di luar Tanah Haram mahupun di kawasan Tanah Haram, tangkaplah dan kepunglah mereka, dan awasilah di tempat pengintaian sehingga mereka tidak mampu bergerak dan melepaskan diri.

Bulan haram dalam ayat ini adalah masa 4 bulan yang diberi tangguh kepada kaum musyrik (mereka yang mengadakan perjanjian untuk tidak diperangi) iaitu dimulai dari tarikh 10 Zulhijjah (hari turunnya ayat ini) sampai 10 Rabi’ul akhir menurut pendapat yang lebih kuat di kalangan ahli tafsir.

Ayat ini memerintahkan apa yang perlu dilakukan oleh kaum muslim setelah habisnya tempoh tersebut. Apabila telah habis bulan-bulan haram, iaitu masa tempoh waktu empat bulan yang diberikan kepada kaum musyrik itu, maka orang-orang mukmin dibenarkan:

  • Membunuh orang-orang musyrik walau di manapun mereka berada sama ada di kawasan Tanah Haram atau di tempat yang halal diperangi.
  • Menjadikan orang-orang musyrik sebagai tawanan. Ini kerana seseorang ditawan untuk dibunuh, diambil tebusannya atau dibebaskan tanpa syarat sesuai dengan ijtihad pemimpin.
  • Mengepung orang-orang musyrik di daerah mereka atau di rumah-rumah mereka. Mereka dihalang keluar sehingga mereka menyerah dan patuh kepada pelbagai syarat yang telah ditetapkan untuk mereka.
  • Mengintip orang-orang musyrik di setiap jalan yang biasa mereka lalui, sehingga mereka berasa kesempitan dan terpaksa memilih di antara dua pilihan iaitu berperang atau masuk Islam. Hal ini kerana mereka tidak boleh dibiarkan berleluasa di bumi Allah Swt. Ini kerana Dia menjadikan bumi ini sebagai tempat beribadah bagi hamba-hamba-Nya, maka tidak sepatutnya didiami oleh musuh-musuh-Nya, iaitu orang-orang yang ingin melenyapkan agama-Nya di muka bumi ini.

Namun sekiranya kaum musyrik tersebut bertaubat daripada kekafiran atau kemusyrikan dengan memeluk Islam, mendirikan solat, menunaikan zakat, maka berilah kebebasan kepada mereka dan jangan ditangkap atau diawasi gerak-gerinya lagi. Ini kerana jika mereka benar-benar telah bertaubat, Allah Swt akan mengampuni dosa-dosa mereka. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Ayat 6

وَإِنْ أَحَدٌ مِّنَ ٱلْمُشْرِكِينَ ٱسْتَجَارَكَ فَأَجِرْهُ حَتَّىٰ يَسْمَعَ كَلَـٰمَ ٱللَّهِ ثُمَّ أَبْلِغْهُ مَأْمَنَهُۥ ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لَّا يَعْلَمُونَ

Dan jika seseorang dari kaum musyrik meminta perlindungan kepadamu (untuk memahami Islam), maka berilah perlindungan kepadanya sehingga dia sempat mendengar keterangan-keterangan Allah (tentang hakikat Islam itu), kemudian hantarlah dia ke mana-mana tempat yang dia beroleh aman. Perintah yang tersebut ialah kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam).

Allah Ta’ala menyatakan bahawa sekiranya ada di kalangan kaum musyrik telah melanggar perjanjian setelah diberinya tempoh waktu berkeliaran di muka bumi secara bebas iaitu selama empat bulan, datang kepada Rasulullah saw meminta jaminan keamanan untuk mendengar ayat-ayat Allah Swt, mentadabbur dan memahaminya, maka wajib untuk diberikan keamanan dan penjagaan sehingga dia sampai ke tempat tujuannya. Pada masa itu dia haram dibunuh atau diganggu.

Sekiranya dia ingin kembali ke negerinya, wajib diberikan jaminan keselamatan dan keamanan sehingga dia sampai ke negerinya dengan aman. Namun sekiranya setelah itu terdapat penipuan atau pengkhianatan, maka bolehlah diperangi.

Ini kerana orang-orang musyrik jahil, tidak mengetahui hakikat Islam dan apa yang terkandung di dalam ajarannya. Mereka yang tidak mengenal Islam akan cenderung memusuhinya. Oleh itu, mereka mesti diberikan jaminan keamanan sehingga mereka mendengar dan memahami hakikat daripada kebenaran.