Surah 9: At-Taubah (42 – 49)

Sifat Orang Munafik ketika Peperangan

Surah 9: At-Taubah (42 – 49)


Ayat 42

لَوْ كَانَ عَرَضًا قَرِيبًا وَسَفَرًا قَاصِدًا لَّٱتَّبَعُوكَ وَلَـٰكِنۢ بَعُدَتْ عَلَيْهِمُ ٱلشُّقَّةُ ۚ وَسَيَحْلِفُونَ بِٱللَّهِ لَوِ ٱسْتَطَعْنَا لَخَرَجْنَا مَعَكُمْ يُهْلِكُونَ أَنفُسَهُمْ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ إِنَّهُمْ لَكَـٰذِبُونَ

Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang sudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu; tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka. Dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah dengan berkata: “Kalau kami sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kamu”. (Dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutmu).

Allah Ta’ala mencela orang-orang yang tidak turut serta dalam perang Tabuk, iaitu orang yang meminta izin kepada Rasulullah saw untuk tidak turut berperang dengan memperlihatkan bahawa mereka mempunyai keuzuran sedangkan mereka tidak sedemikian.

Seandainya perkara yang Rasulullah saw serukan kepada mereka adalah untuk mendapatkan harta rampasan perang atau sesuatu manfaat yang mudah diraih atau perjalanan yang mudah, dekat dan tidak memenatkan, pasti mereka akan bergegas ikut bersama-sama Baginda. Namun mereka tidak ikut serta disebabkan mereka melihat perjalanan ini menyukarkan, jarak yang jauh ke Syam dan peperangan ini perlu menghadapi pasukan yang terbesar di dunia pada ketika itu iaitu kerajaan Rom. Maka mereka lebih memilih untuk tetap tinggal di tempat mereka dan bersenang-senang dengan kenikmatan dunia tanpa menghadapi susah payah yang terpaksa mereka tempuhi sekiranya mereka ikut berperang.

Kemudian Allah Ta’ala menyatakan bahawa mereka yang tidak ikut berperang ini akan bersumpah palsu dengan namaNya kepada Rasulullah saw setelah Baginda pulang dari perang Tabuk sebagaimana firman-firmanNya:

“Mereka (orang-orang munafik) mengemukakan keuzuran mereka kepadamu, apabila kamu telah kembali kepada mereka (dari medan perang)………..”

At-Taubah 9:94

“Mereka akan bersumpah kepadamu, agar kamu redha kepada mereka. Tetapi sekiranya kamu redha kepada mereka, sesungguhnya Allah tidak redha kepada orang-orang yang fasik itu.”

At-Taubah 9:96

Orang-orang munafik yang tidak ikut berperang ini sebenarnya mereka akan binasa kerana bersumpah dusta atau kerana pendustaan dan kemunafikan mereka.

Ayat 43

عَفَا ٱللَّهُ عَنكَ لِمَ أَذِنتَ لَهُمْ حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكَ ٱلَّذِينَ صَدَقُوا۟ وَتَعْلَمَ ٱلْكَـٰذِبِينَ

Allah memaafkanmu (wahai Muhammad), mengapa engkau izinkan mereka (tidak turut berperang) sebelum nyata bagimu orang-orang yang benar dan (sebelum) engkau mengetahui orang-orang yang berdusta?

Allah Ta’ala menegur Rasulullah saw kerana memberi keizinan kepada sekelompok orang yang tidak mahu turut serta berperang sebelum jelas kepadanya bahawa mereka itu benar-benar dalam keuzuran atau kemungkinan mereka adalah orang-orang yang berdusta dengan membuat pelbagai alasan yang tidak benar.

Kemudian Allah Ta’ala menurunkan ayat dalam surah An-Nur yang memberikan keringanan kepada Baginda untuk mengizinkan mereka, jika Baginda kehendaki. FirmanNya:

“…………….Sesungguhnya orang-orang yang meminta izin kepadamu (Muhammad) mereka itulah orang-orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya, maka apabila mereka meminta izin kepadamu kerana sesuatu keperluan, berilah izin kepada siapa yang kamu kehendaki di antara mereka, dan mohonkanlah keampunan untuk mereka kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

An-Nur 24:62

Ayat 44

لَا يَسْتَـْٔذِنُكَ ٱلَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ أَن يُجَـٰهِدُوا۟ بِأَمْوَٰلِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ ۗ وَٱللَّهُ عَلِيمٌۢ بِٱلْمُتَّقِينَ

Orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tidak akan meminta izin kepadamu untuk (tidak turut) berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang bertakwa.

Sesungguhnya orang-orang yang benar-benar beriman kepada Allah Ta’ala dan hari kemudian akan sentiasa patuh untuk melaksanakan segala perintah Allah swt dan RasulNya sehingga mereka tidak mungkin akan meminta izin kepada Rasulullah saw untuk tidak ikut berjihad. Bahkan sebaliknya, mereka selalu bersedia untuk berjihad dengan harta dan jiwa mereka. Ini kerana mereka mengetahui bahawa berjihad adalah jalan untuk mencapai kejayaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat.

Ayat 45

إِنَّمَا يَسْتَـْٔذِنُكَ ٱلَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ وَٱرْتَابَتْ قُلُوبُهُمْ فَهُمْ فِى رَيْبِهِمْ يَتَرَدَّدُونَ

Sesungguhnya yang akan meminta izin kepadamu hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan yang hati mereka (sangat) ragu-ragu. Oleh itu mereka sentiasa bingung teragak-agak dalam keraguannya.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa sesungguhnya yang akan meminta izin kepada Nabi Muhammad saw untuk tidak pergi berperang hanyalah orang-orang munafik yang tidak beriman kepadaNya. Mereka tidak mengenal keagunganNya dan juga tidak beriman kepada hari kemudian sehingga tidak terdorong untuk meraih kebahagiaan di akhirat.

Oleh itu, mereka selalu bimbang dan ragu-ragu tentang balasan Allah swt kepada para mujahid di akhirat kelak. Ini menyebabkan mereka kadang-kadang ikut berperang dan kadang-kadang tidak, bergantung kepada keadaan serta ada atau tidaknya keuntungan duniawi di sebalik perintah berperang tersebut.

Ayat 46

وَلَوْ أَرَادُوا۟ ٱلْخُرُوجَ لَأَعَدُّوا۟ لَهُۥ عُدَّةً وَلَـٰكِن كَرِهَ ٱللَّهُ ٱنۢبِعَاثَهُمْ فَثَبَّطَهُمْ وَقِيلَ ٱقْعُدُوا۟ مَعَ ٱلْقَـٰعِدِينَ

Dan kalaulah mereka mahu keluar (untuk turut berperang), tentulah mereka menyediakan persiapan untuknya; tetapi Allah tidak suka pemergian mereka, lalu dilemahkanNya semangat mereka, dan dikatakan (oleh Syaitan): “Tinggalah kamu bersama-sama orang-orang yang tinggal”.

Allah Ta’ala menyatakan seandainya kaum munafik, mahu berangkat untuk berperang, nescaya mereka akan mengadakan persiapan untuk keberangkatan itu sebagaimana orang-orang mukmin yang lain, namun hal itu tidak akan pernah mereka lakukan. Ini kerana sejak awal lagi mereka memang tidak ingin berangkat untuk berperang. FirmanNya:

“Mereka rela berada bersama orang-orang yang tidak berperang, dan hati mereka telah dikunci mati maka mereka tidak mengetahui (kebahagiaan jika beriman dan berjihad).”

At-Taubah 9:87

Kemudian Allah Ta’ala memberi ketenangan dalam hati orang-orang mukmin dengan menjelaskan bahawa orang-orang munafik tidak ikut berperang adalah satu keuntungan buat orang-orang beriman. Ini kerana kehadiran mereka tidak akan menambah kekuatan dan pertahanan kepada tentera Islam. Malah akan menambah kekacauan dalam barisan umat Islam dan melemahkan jiwa mereka.

Oleh itu, Allah Ta’ala tidak menyukai keberangkatan mereka untuk berperang berserta kaum mukmin, maka Dia melemahkan keinginan dan niat mereka untuk berangkat ke medan perang, dan seakan-akan dikatakan dalam hati mereka, jangan berangkat ke medan perang dan tinggallah mereka bersama orang-orang yang tinggal itu, iaitu bersama anak-anak, para wanita dan orang-orang tua.

Ayat 47

لَوْ خَرَجُوا۟ فِيكُم مَّا زَادُوكُمْ إِلَّا خَبَالًۭا وَلَأَوْضَعُوا۟ خِلَـٰلَكُمْ يَبْغُونَكُمُ ٱلْفِتْنَةَ وَفِيكُمْ سَمَّـٰعُونَ لَهُمْ ۗ وَٱللَّهُ عَلِيمٌۢ بِٱلظَّـٰلِمِينَ

Kalaulah mereka keluar bersama kamu, tidaklah mereka menambahkan kamu melainkan kerosakan, dan tentulah mereka segera menjalankan hasutan di antara kamu, (dengan tujuan) hendak menimbulkan fitnah (kekacauan) dalam kalangan kamu; sedang di antara kamu ada orang yang suka mendengar hasutan mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim.

Allah Ta’ala menyatakan seandainya orang-orang munafik ikut berperang bersama dengan Rasulullah saw nescaya mereka tidak akan menambah kekuatan kaum mukmin, malah keberadaan mereka hanya akan membuat kekacauan serta melemahkan mental kaum muslim.

Seandainya orang-orang munafik ini memiliki kesempatan, tentu mereka akan bergegas maju ke hadapan dan menyusup di celah-celah barisan tentera untuk mengadakan kekacauan, mengadu domba dan menanamkan kebencian antara mereka serta menanamkan benih perpecahan dan perselisihan serta perasaan takut untuk berperang dan permusuhan di antara tentera Islam.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa di kalangan tentera Islam terdapat juga orang-orang yang sangat suka mendengar perkataan hasutan orang-orang munafik sama ada kerana kebodohan mereka, lemahnya iman atau kerana mereka tidak mengetahui. Mereka membenarkan ucapan orang-orang munafik dan mentaati mereka disebabkan sikap baik orang-orang munafik padahal orang-orang munafik sangat suka berlaku zalim.

Sesungguhnya Allah Ta’ala Maha Mengetahui keadaan orang-orang yang zalim. Sebelum itu, kaum munafik sememangnya sudah berusaha membuat kekacauan, melemahkan semangat kaum muslim dan bahkan mengatur pelbagai bentuk tipu daya terhadap kaum muslim dengan memutarbalikkan persoalan untuk memadamkan api Islam, sehingga datanglah kebenaran, pertolongan Allah swt, dan menanglah urusan agamaNya, padahal dengan kenyataan itu mereka tidak menyukainya.

Ayat 48

لَقَدِ ٱبْتَغَوُا۟ ٱلْفِتْنَةَ مِن قَبْلُ وَقَلَّبُوا۟ لَكَ ٱلْأُمُورَ حَتَّىٰ جَآءَ ٱلْحَقُّ وَظَهَرَ أَمْرُ ٱللَّهِ وَهُمْ كَـٰرِهُونَ

Sesungguhnya mereka telah lakukan fitnah semenjak dahulu lagi, dan mereka merancangkan terhadapmu (wahai Muhammad) berbagai tipu daya, sehingga datanglah kebenaran, dan nyatalah (kemenangan) agama Allah (Islam), sedang mereka tidak suka kepadanya.

Sebelum perang Tabuk lagi orang-orang munafik ini berusaha mencari idea memikirkan bagaimana caranya untuk menipu Rasulullah saw dan kaum mukmin agar menyimpang daripada agama mereka. Mereka hendak memadamkan agama Islam sejak lama dahulu iaitu sejak Baginda saw menjejakkan kaki ke Madinah.

Mereka melancarkan pelbagai usaha terhadap Rasulullah saw untuk menghapuskan risalah yang dibawanya sebagaimana yang telah mereka lakukan pada perang Uhud dan perang Khandaq. Mereka juga telah mengatur rancangan jahat kepada Baginda hingga akhirnya datanglah pertolongan dari sisiNya dan Dia menguatkan tenteraNya dan memenangkan agamaNya, sedang mereka amat membenci melihat kejadian tersebut.

Ayat 49

وَمِنْهُم مَّن يَقُولُ ٱئْذَن لِّى وَلَا تَفْتِنِّىٓ ۚ أَلَا فِى ٱلْفِتْنَةِ سَقَطُوا۟ ۗ وَإِنَّ جَهَنَّمَ لَمُحِيطَةٌۢ بِٱلْكَـٰفِرِينَ

Dan di antara mereka (yang munafik itu) ada yang berkata: “Izinkanlah aku (supaya tidak pergi berperang) dan janganlah engkau menjadikan daku dipengaruhi oleh fitnah “. Ketahuilah, mereka telah pun tercebur ke dalam fitnah (dengan dalihan yang dusta itu). Dan sesungguhnya azab Jahannam meliputi orang-orang yang kafir.

Allah Ta’ala menyatakan antara ucapan orang-orang munafik yang enggan ikut berperang. Sesungguhnya ucapan mereka ini pasti akan jatuh dalam fitnah ketika mereka menggunakan alasan yang dusta agar dikecualikan daripada berperang.

Oleh itu, Allah Ta’ala menyatakan bahawa neraka Jahannam adalah layak buat mereka dan mereka tidak akan terlepas daripadanya. Ini merupakan ancaman yang keras buat mereka. Firman Allah swt:

“(Bukan demikian), yang benar: sesiapa berbuat dosa dan dia telah diliputi oleh dosanya, mereka itulah penghuni neraka, dia kekal di dalamnya.”

Al-Baqarah 2:81

Muhammad ibnu Ishaq telah meriwayatkan daripada Az-Zuhri, Yazid ibnu Rauman, Abdullah ibnu Abu Bakar, Asim ibnu Qatadah dan lain-lainnya. Mereka mengatakan bahawa pada suatu hari ketika Rasulullah saw sedang bersiap-siap untuk berangkat berjihad, beliau bersabda kepada Al-Jadd ibnu Qais, saudara lelaki Bani Salamah, “Wahai Al-Jadd, mengapa tahun ini kamu tidak berangkat untuk memerangi Banil Asfar (orang-orang Rom)?” Al-Jadd menjawab, “Wahai Rasulullah, berilah saya izin untuk tidak berangkat, dan janganlah engkau jerumuskan diriku ke dalam fitnah. Demi Allah, sesungguhnya semua kaumku telah mengetahui bahawa tidak ada seorang lelaki pun yang lebih suka kepada wanita selain diriku. Dan sesungguhnya aku berasa khuatir bila melihat kaum wanita Banil Asfar, maka aku tidak dapat mengekang diriku lagi daripada mereka.” Maka Rasulullah saw berpaling darinya dan bersabda, “Saya memberi izin kepadamu untuk tidak berangkat.” Sehubungan dengan peristiwa Al-Jadd ibnu Qais inilah diturunkan firmanNya, “Dan di antara mereka (yang munafik itu) ada yang berkata: “Izinkanlah aku (supaya tidak pergi berperang) dan janganlah engkau menjadikan daku dipengaruhi oleh fitnah “” (At-Taubah:49), hingga akhir ayat.

Ini bermaksud, Al-Jadd berasa takut berlaku fitnah atas dirinya kerana dia akan tergoda apabila melihat kecantikan wanita Banil Asfar sebagai alasannya untuk tidak berangkat berperang, padahal kenyataannya tidaklah demikian.

Kemudian Allah Ta’ala menyatakan bahawa sebenarnya mereka yang memberi alasan yang dusta untuk tidak pergi berperang bersama-sama Rasulullah saw telah terjerumus dalam fitnah iaitu mereka telah jatuh dalam dosa dan maksiat. Oleh itu, neraka Jahannam pasti akan meliputi mereka iaitu mereka tidak akan menemukan tempat untuk menghindarinya, mengelak atau melarikan diri. Ini merupakan ancaman yang keras terhadap mereka.