Surah 9: At-Taubah (41)

Perintah untuk Berjihad dalam Setiap Keadaan

Surah 9: At-Taubah (41)


Ayat 41

ٱنفِرُوا۟ خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَـٰهِدُوا۟ بِأَمْوَٰلِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.

Allah Ta’ala memerintahkan semua orang beriman keluar bersama-sama Rasulullah saw pada tahun terjadinya perang Tabuk untuk memerangi musuh-musuhNya iaitu ahli kitab bangsa Rom yang kafir. Dia mewajibkan mereka keluar berjihad dalam setiap keadaan, baik kepada yang muda mahupun yang sudah tua, dalam keadaan susah mahupun senang, sakit atau sihat dan baik yang bersemangat mahupun yang terpaksa.

As-Suddi berkata, pada saat itu datang seseorang kepada Rasulullah saw mengadu dan meminta izin untuk tidak ikut berperang. Namun Baginda menolak permohonannya. Lalu turunlah ayat, “Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab);” Ketika turun ayat ini para sahabat berasa kesulitan, lalu Allah swt memansuhkan ayat ini dengan firmanNya:

“Tiada dosa (lantaran tidak pergi berjihad) atas orang-orang yang lemah, atas orang-orang yang sakit dan atas orang-orang yang tidak memperoleh apa yang akan mereka nafkahkan, apabila mereka berlaku ikhlas kepada Allah dan Rasul-Nya……………….”

At-Taubah 9:91

Seterusnya Allah Ta’ala memerintahkan orang-orang beriman berjuang melawan musuh bagi meninggikan kalimahNya dengan membelanjakan harta benda dan mengorbankan jiwa pada jalanNya. Keluar berperang bagi melaksanakan perintahNya itu lebih baik bagi orang-orang beriman daripada mereka tidak mengambil bahagian dalam peperangan.

Sesungguhnya amatlah besar ganjaran di sisi Allah swt sekiranya mereka berjihad pada jalanNya. Oleh itu orang-orang beriman hendaklah melaksanakan apa yang diperintahkanNya. Rasulullah saw bersabda:

“Allah swt menjamin orang yang berjihad di jalanNya, jika dia meninggal, dimasukkannya ke dalam syurga atau mengembalikannya ke rumahnya (jika tidak meninggal dunia) dengan memperoleh pahala atau harta rampasan.”

(HR. Al-Bukhari, Muslim dan An-Nasa’i)