Surah 9: At-Taubah (40)

Kisah di Gua Hira’

Surah 9: At-Taubah (40)


Ayat 40

إِلَّا تَنصُرُوهُ فَقَدْ نَصَرَهُ ٱللَّهُ إِذْ أَخْرَجَهُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ ثَانِىَ ٱثْنَيْنِ إِذْ هُمَا فِى ٱلْغَارِ إِذْ يَقُولُ لِصَـٰحِبِهِۦ لَا تَحْزَنْ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَنَا ۖ فَأَنزَلَ ٱللَّهُ سَكِينَتَهُۥ عَلَيْهِ وَأَيَّدَهُۥ بِجُنُودٍ لَّمْ تَرَوْهَا وَجَعَلَ كَلِمَةَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ ٱلسُّفْلَىٰ ۗ وَكَلِمَةُ ٱللَّهِ هِىَ ٱلْعُلْيَا ۗ وَٱللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang dia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika dia berkata kepada sahabatnya: “Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita”. Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Sekiranya tiada seorang pun yang mahu menolong Rasulullah saw, sesungguhnya Allah Swt sentiasa menolong dan melindungi Baginda seperti yang telah berlaku dalam peristiwa hijrah.

Dalam tafsir Ibnu Kathir, dinyatakan bahawa ketika kaum musyrik merancang untuk membunuh Nabi Muhammad saw, Baginda keluar (berhijrah) dengan ditemani oleh Abu Bakar bin Abu Quhafah (Abu Bakar As-Siddiq ra) dari Mekah ke Madinah. Dalam perjalanan, mereka bersembunyi di sebuah gua di Bukit Thur selama tiga hari. Baginda dan Abu Bakar ra tinggal di sana sehingga pencarian terhadap Baginda reda. Pada masa itu, musuh berada di setiap pelosok untuk menangkap Baginda, namun Allah Swt menjaga Baginda saw.

Ketika berada di dalam gua, Abu Bakar As-Siddiq ra berkata kepada Nabi saw, apabila melihat kaki-kaki kaum musyrik, “Jika salah seorang di antara mereka melihat ke arah kakinya tentu dia akan melihat kita,” Maka Baginda menjawab, “Janganlah engkau bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita.”

Allah Ta’ala memberikan pertolongan-Nya kepada Nabi saw dengan menurunkan tentera daripada malaikat. Seterusnya Dia menyatakan bahawa Dia akan merendahkan seruan orang-orang yang kafir dan meninggikan kalimah-Nya.

Ibnu ‘Abbas rama mengatakan yang dimaksudkan dengan seruan orang-orang kafir adalah kemusyrikan sedangkan kalimah Allah ialah kalimah, “Tidak ada Tuhan selain Allah.”

Daripada Abu Musa Al-Asy’ari ra bahawa Rasulullah saw pernah ditanya tentang seorang lelaki yang berperang kerana dia gagah berani dan seorang lelaki yang berperang kerana membela suku kaumnya dan seorang lelaki yang berperang kerana riya’, manakah di antaranya yang termasuk berjihad pada jalan Allah Swt? Rasulullah saw bersabda:

“Sesiapa yang berjihad dengan tujuan supaya kalimah Allah tinggi, maka dialah yang berada pada jalan Allah.”

(HR. Al-Bukhari dan Muslim)

Allah Maha Perkasa dalam pembalasan dan pertolongan-Nya, Dia Maha kuat dalam memberikan perlindungan-Nya, dan tidak akan kecewa orang-orang yang berlindung kepada naungan-Nya dengan berpegang kepada perintah-Nya. Dia Maha Bijaksana dalam semua perbuatan dan ucapan-Nya.