Surah 9: At-Taubah (32 – 33)

Usaha Orang Kafir untuk Memadam Nur Allah Swt

Surah 9: At-Taubah (32 – 33)


Ayat 32

يُرِيدُونَ أَن يُطْفِـُٔوا۟ نُورَ ٱللَّهِ بِأَفْوَٰهِهِمْ وَيَأْبَى ٱللَّهُ إِلَّآ أَن يُتِمَّ نُورَهُۥ وَلَوْ كَرِهَ ٱلْكَـٰفِرُونَ

Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).

Allah Ta’ala menyatakan bahawa orang-orang kafir daripada kalangan kaum musyrik dan ahli kitab berusaha kuat hendak memadamkan cahaya-Nya iaitu agama Islam. Mereka berusaha untuk menghapuskannya dengan melakukan pelbagai cara, seperti ucapan-ucapan berupa cercaan bagi merosakkan akidah kaum mukmin. Mereka juga mendustakan apa yang dibawa oleh Rasulullah saw dengan bantahan-bantahan tanpa dalil dan melakukan tindakan-tindakan lain seperti peperangan, bahkan dengan apa cara sekalipun yang mereka yakini yang boleh memadamkan agama-Nya.

Usaha mereka itu diumpamakan seperti orang yang ingin memadamkan sinar matahari atau cahaya bulan dengan tiupan mulut. Oleh itu tidak mungkin usaha mereka itu berjaya. Begitu juga dengan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah saw adalah pasti sempurna dan akan menang.

Oleh itu, Allah Ta‘ala menjelaskan bahawa Dia akan menyempurnakan agama-Nya meskipun orang-orang kafir membencinya.

Ayat 33

هُوَ ٱلَّذِىٓ أَرْسَلَ رَسُولَهُۥ بِٱلْهُدَىٰ وَدِينِ ٱلْحَقِّ لِيُظْهِرَهُۥ عَلَى ٱلدِّينِ كُلِّهِۦ وَلَوْ كَرِهَ ٱلْمُشْرِكُونَ

Dia-lah yang telah mengutus Rasul-Nya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), untuk dimenangkan dan ditinggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.

Kemudian Allah Ta‘ala menyatakan bahawa untuk menyempurnakan agama-Nya itu, Dia mengutus Rasulullah saw dengan membawa petunjuk dan pimpinan daripada-Nya iaitu agama yang benar. Petunjuk yang dibawa oleh Baginda adalah kebenaran, iman yang sahih dan ilmu yang bermanfaat di dunia dan di akhirat.

Walaupun orang-orang musyrik tidak menyukai dan telah membuat tipu daya untuk memusnahkan agama Allah Swt tetapi Dia telah berjanji untuk menyempurnakan cahaya-Nya. Hal itu pasti akan terjadi dengan sempurna. Dia akan memenangkan agama-Nya mengatasi semua agama, seperti yang disebutkan dalam hadis, bahawa Rasulullah saw bersabda:

“Sesungguhnya Allah telah menghimpunkan untukku bumi, timur dan baratnya. Dan kekuasaan umatku akan mencapai wilayah yang dihimpunkan untukku.”

(HR. Muslim)

Daripada Tamim Ad-Dari ra, dia berkata, “Aku telah mendengar Rasulullah saw bersabda:

‘Sungguh perkara ini (Islam) akan sampai ke mana sampainya siang dan malam. Allah tidak akan membiarkan rumah yang diperbuat daripada tanah liat atau bulu, melainkan Allah akan memasukkan agama ini padanya. Dia akan memuliakan orang yang mulia dan menghinakan orang yang hina. Dengan kemuliaan itulah Allah menghinakan kekufuran.’”

(HR. Ahmad)

Selanjutnya Tamim Ad-Dari ra berkata, “Aku telah membuktikan hal itu kepada keluargaku. Orang yang masuk Islam adalah antara yang mendapat kebaikan, kehormatan dan kemuliaan. Sedangkan orang yang kafir adalah antara yang mendapat kehinaan, dipandang rendah dan diwajibkan membayar jizyah.”