Surah 9: At-Taubah (16)

Hikmah Peperangan – Ujian Keimanan

Surah 9: At-Taubah (16)


Ayat 16

أَمْ حَسِبْتُمْ أَن تُتْرَكُوا۟ وَلَمَّا يَعْلَمِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ جَـٰهَدُوا۟ مِنكُمْ وَلَمْ يَتَّخِذُوا۟ مِن دُونِ ٱللَّهِ وَلَا رَسُولِهِۦ وَلَا ٱلْمُؤْمِنِينَ وَلِيجَةً ۚ وَٱللَّهُ خَبِيرٌۢ بِمَا تَعْمَلُونَ

Adakah kamu menyangka, bahawa kamu akan dibiarkan (dalam keadaan kamu yang ada itu), padahal belum lagi terbukti kepada Allah (sebagaimana yang diketahuiNya) orang-orang yang berjihad di antara kamu dan yang tidak mengambil teman-teman rapat (untuk mencurahkan rahsia kepada mereka), selain daripada Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman? Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu kerjakan.

Allah swt berfirman kepada hamba-hambaNya yang mukmin, bahawa mereka tidak boleh menyangka mereka akan dibiarkan begitu sahaja tanpa diuji. Dia akan menguji mereka dengan sesuatu yang dapat membuktikan siapakah orang-orang yang benar dan teguh dengan keimanan mereka atau adakah mereka mengaku sahaja beriman tetapi hakikat sebenarnya tidak. FirmanNya:

“Allah sekali-kali tidak akan membiarkan orang-orang yang beriman dalam keadaan kamu sekarang ini, sehingga Dia menyisihkan yang buruk (munafik) daripada yang baik (mukmin)………………..”

Ali ‘Imran 3:179

Oleh itu, tatkala Allah swt mensyariatkan jihad kepada kaum muslim, Dia juga menjelaskan bahawa di dalamnya terdapat hikmah iaitu ujian bagi hamba-hambaNya sehingga dapat diketahui siapa yang taat kepada Allah swt dan RasulNya dan siapa pula yang tidak taat.

Allah Maha Mengetahui, Tiada Ilah melainkan Allah swt, dan tiada Rabb selain Dia, dan tiada seorang makhluk pun yang mampu mencegah apa yang telah ditentukan olehNya.