Surah 9: At-Taubah (13 – 15)

Perintah untuk Memerangi Orang Musyrik

Surah 9: At-Taubah (13 – 15)


Ayat 13

أَلَا تُقَـٰتِلُونَ قَوْمًا نَّكَثُوٓا۟ أَيْمَـٰنَهُمْ وَهَمُّوا۟ بِإِخْرَاجِ ٱلرَّسُولِ وَهُم بَدَءُوكُمْ أَوَّلَ مَرَّةٍ ۚ أَتَخْشَوْنَهُمْ ۚ فَٱللَّهُ أَحَقُّ أَن تَخْشَوْهُ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ

Mengapa kamu tidak memerangi suatu kaum yang telah mencabuli sumpah janjinya, dan mereka pula telah berazam hendak mengusir Rasulullah, dan merekalah juga yang mula-mula memerangi kamu? Tidak patut kamu takut kepada mereka (sehingga kamu tidak mahu memeranginya) kerana Allah jualah yang berhak kamu takuti (melanggar perintahNya), jika betul kamu orang-orang yang beriman?

Ayat ini merupakan anjuran dan motivasi kepada kaum muslim untuk memerangi kaum musyrik yang melanggar sumpah dan perjanjian mereka. Hal ini adalah kerana tiga sebab yang disebutkan dalam ayat ini:

  • Pelanggaran sumpah dengan membatalkan perjanjian yang dipersetujui. Ibnu ‘Abbas, As-Suddi dan Al-Kalbi mengatakan bahawa ayat ini turun berkaitan dengan orang-orang kafir Mekah yang merosakkan sumpah mereka setelah perjanjian Hudaibiyah. Perjanjian yang dilanggar tersebut ada dalam perjanjian Hudaibiyah iaitu orang-orang kafir Quraisy menolong sekutu mereka, Bani Bakar untuk memerangi Bani Khuza’ah sekutu Rasulullah saw.
  • Mereka merancang untuk mengusir Rasulullah saw dari Mekah, menahan atau membunuh Baginda. Firman-firman Allah swt:

“Dan (ingatlah), ketika orang-orang kafir (Quraisy) memikirkan tipu daya terhadapmu untuk menangkap dan memenjarakanmu atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka memikirkan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya itu. Dan Allah sebaik-baik Pembalas tipu daya.”

Al-Anfal 8:30

“……………..Mereka mengusir Rasul dan mengusirmu kerana kamu beriman kepada Allah, Rabbmu………………”

Al-Mumtahanah 60:1

  • Mereka memulakan peperangan iaitu memerangi orang-orang mukmin dalam perang Badar iaitu ketika mereka mengetahui barang-barang dagangan mereka selamat, mereka mengatakan mereka akan tetap meneruskan peperangan sehingga mereka menumpaskan Rasulullah saw dan orang-orang yang bersama-samanya. Demikian halnya dalam perang Uhud, Khandak dan sebagainya.

Kemudian Allah Ta’ala memberi peringatan dengan mengatakan bahawa hanya Dia lah yang berhak untuk ditakuti kerana Dia adalah pemilik kekuasaan yang mutlak yang dapat menolak bahaya.

Ayat 14

قَـٰتِلُوهُمْ يُعَذِّبْهُمُ ٱللَّهُ بِأَيْدِيكُمْ وَيُخْزِهِمْ وَيَنصُرْكُمْ عَلَيْهِمْ وَيَشْفِ صُدُورَ قَوْمٍ مُّؤْمِنِينَ

Perangilah mereka, nescaya Allah akan menyeksa mereka dengan (perantaraan) tangan kamu, dan Allah akan menghinakan mereka serta menolong kamu menewaskan mereka, dan Ia akan memuaskan hati orang-orang yang beriman.

Allah swt memerintahkan kaum mukmin memerangi kaum musyrik. Ini kerana kaum musyrik telah melanggar sumpah perjanjian damai untuk tidak saling mengganggu, membuat perancangan untuk mengusir Rasulullah saw dari tempat kediamannya dan memulakan peperangan dengan kaum mukmin. Sedangkan tujuan peperangan ini adalah untuk melaksanakan perintahNya dan mencari keredhaanNya, bukan semata-mata untuk mengejar hal-hal yang bersifat keduniaan seperti rampasan perang dan sebagainya.

Allah Ta’ala juga memberikan dorongan kepada kaum mukmin bahawa Dia akan menyeksa orang-orang kafir musyrik dengan perantaraan tangan orang-orang mukmin. Ini bermaksud Dia akan membunuh orang-orang musyrik itu dengan pukulan senjata yang ada di tangan orang-orang mukmin. Melalui peperangan itu juga Dia akan menghina mereka dengan kekalahan dan dipermalukan sehingga mereka terbunuh atau menjadi tawanan perang.

Allah Ta’ala akan memberikan kemuliaan iaitu kemenangan kepada orang-orang Islam dan menolong serta melegakan hati mereka, setelah mereka mengalami penyeksaan daripada kaum musyrik Mekah dalam waktu yang sangat lama yang akhirnya mereka mampu dikalahkan dan agama Islam memperoleh kemuliaan.

Ayat 15

وَيُذْهِبْ غَيْظَ قُلُوبِهِمْ ۗ وَيَتُوبُ ٱللَّهُ عَلَىٰ مَن يَشَآءُ ۗ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Dan Ia juga akan menghapuskan kemarahan hati orang-orang yang beriman itu, dan Allah akan menerima taubat orang-orang yang dikehendakiNya; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia akan menghilangkan kemarahan daripada kaum mukminin terhadap tipu daya orang-orang musyrik, kezaliman dan gangguan mereka apabila mereka dikalahkan dan Dia memberikan kemenangan kepada orang-orang mukmin. Namun sekiranya orang-orang kafir ini bertaubat dengan meninggalkan syirik, maka sesungguhnya Dia akan menerima taubat orang yang bertaubat. Allah Ta’ala Maha Mengetahui rahsia hamba-hambaNya yang jujur untuk bertaubat, lalu Dia memberikan mereka petunjuk. Dia juga Maha Bijaksana dalam perbuatanNya dan firmanNya dan Dia Maha Adil dalam memberi hukuman dan balasan.