Surah 9: At-Taubah (115 – 116)

Tiada Seksaan Melainkan Setelah Diberikan Peringatan

Surah 9: At-Taubah (115 – 116)


Ayat 115

وَمَا كَانَ ٱللَّهُ لِيُضِلَّ قَوْمًۢا بَعْدَ إِذْ هَدَىٰهُمْ حَتَّىٰ يُبَيِّنَ لَهُم مَّا يَتَّقُونَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ بِكُلِّ شَىْءٍ عَلِيمٌ

Dan Allah tidak sekali-kali menjadikan sesuatu kaum itu sesat sesudah Dia memberi hidayah petunjuk kepada mereka, sebelum Dia menerangkan kepada mereka apa yang mereka wajib memelihara dan melindungi diri daripadanya; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Ayat ini menjelaskan bahawa Allah Maha Adil kerana Dia tidak akan menyesatkan sesuatu kaum kecuali setelah memberi peringatan kepada mereka. Dia telah menyampaikan kepada mereka apakah amalan yang mesti mereka kerjakan menerusi para Rasul, namun mereka melanggarnya, sehingga mereka layak untuk disesatkan. Ini sebagaimana firman-Nya yang merujuk kepada kaum Thamud:

“Dan adapun kaum Thamud, maka mereka telah Kami beri petunjuk tetapi mereka lebih menyukai buta (kesesatan) daripada petunjuk, maka mereka disambar petir azab yang menghinakan disebabkan apa yang telah mereka kerjakan.”

Fussilat 41:17

Allah Maha Mengetahui siapa di antara hamba-hamba-Nya yang berhak diberikan hidayah dan siapa pula yang berhak disesatkan-Nya. Melalui ilmu-Nya yang sempurna, Dia mengajarkan apa sahaja yang belum diketahui dan menerangkan hal yang bermanfaat kepada manusia.

Ayat 116

إِنَّ ٱللَّهَ لَهُۥ مُلْكُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۖ يُحْىِۦ وَيُمِيتُ ۚ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِن وَلِىٍّۢ وَلَا نَصِيرٍ

Sesungguhnya Allah jualah yang menguasai segala alam langit dan bumi; Dia menghidupkan dan mematikan; dan tidaklah ada bagi kamu selain dari Allah sesiapa pun yang menjadi pelindung dan juga yang menjadi penolong.

Allah Swt menyatakan bahawa Dia adalah pemilik langit dan bumi dan segala yang ada di dalamnya, tidak ada sekutu bagi-Nya dalam penciptaan, pengaturan dan ibadah serta penetapan syariat. Dia menghidupkan dan mematikan sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya.

Sesungguhnya tidak ada sesiapa pun selain Allah Ta’ala yang akan menangani urusan hamba-hamba-Nya dan tidak ada penolong yang akan menolong mereka ketika dalam kesusahan.

Ini merupakan dorongan daripada Allah Swt kepada hamba-hamba-Nya yang beriman untuk memerangi kaum musyrikin dan pemimpin-pemimpin yang kafir. Juga agar mereka percaya dengan sepenuh hati akan pertolongan Allah Swt, Penguasa langit dan bumi agar mereka tidak berasa takut terhadap musuh-musuh-Nya. Hanya Allah Swt yang boleh melindungi makhluk-Nya.