Surah 9: At-Taubah (112)

Sifat Orang Mukmin

Surah 9: At-Taubah (112)


Ayat 112

ٱلتَّـٰٓئِبُونَ ٱلْعَـٰبِدُونَ ٱلْحَـٰمِدُونَ ٱلسَّـٰٓئِحُونَ ٱلرَّٰكِعُونَ ٱلسَّـٰجِدُونَ ٱلْـَٔامِرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَٱلنَّاهُونَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ وَٱلْحَـٰفِظُونَ لِحُدُودِ ٱللَّهِ ۗ وَبَشِّرِ ٱلْمُؤْمِنِينَ

(Mereka itu ialah): orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji Allah, yang mengembara (untuk menuntut ilmu dan mengembangkan Islam), yang rukuk, yang sujud, yang menyuruh berbuat kebaikan dan yang melarang daripada kejahatan, serta yang menjaga batas-batas hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang yang beriman (yang bersifat demikian).

Ayat ini menyebutkan sifat orang-orang mukmin yang pengorbanan terhadap jiwa dan harta benda mereka diterima oleh Allah swt. Mereka mempunyai sifat-sifat yang baik dan pekerti yang agung, iaitu:

▪️   Orang-orang yang bertaubat (التَّائِبُونَ)

Mereka bertaubat daripada segala dosa syirik ataupun kemunafikan dan meninggalkan segala perbuatan keji.

▪️   Orang-orang yang beribadah (الْعَابِدُونَ)

Mereka mengerjakan ibadah kepada Allah swt dan memeliharanya dengan baik, sama ada ibadah yang berkaitan dengan ucapan mahupun perbuatan.

▪️   Orang-orang yang memuji Allah (الْحَامِدُونَ)

Secara khusus ibadah lisan ialah membaca hamdalah (pujian) kepada Allah swt. Mereka memuji Allah swt dalam setiap keadaan, baik pada waktu lapang ataupun sempit, mengenali nikmat-nikmat yang diberikan Allah swt kepada mereka sama ada yang nampak ataupun yang tersembunyi, menyanjungNya dengan menyebut namaNya dan mengingatiNya pada waktu malam dan siang.

▪️   Orang-orang yang berpuasa (السَّائِحُونَ)

Antara amalan mereka yang paling utama ialah berpuasa, iaitu meninggalkan kelazatan makan dan minum serta bersetubuh.

▪️   Orang-orang yang rukuk dan yang sujud (الرَّاكِعُونَ السَّاجِدُونَ)

Ini bermaksud mereka banyak melakukan solat kerana rukuk dan sujud merupakan sebahagian daripada solat.

▪️   Mereka memberikan manfaat kepada makhluk Allah, membimbing manusia untuk taat kepadaNya dan memerintahkan untuk mengerjakan perkara yang makruf dan melarang manusia melakukan perbuatan yang mungkar.

▪️   Mereka juga mengetahui semua perkara yang wajib dilakukan dan yang wajib ditinggalkan, iaitu mereka selalu memelihara hukum-hukum Allah swt dari segi halal dan haramnya sesuatu perkara baik secara teori mahupun dalam amalan. Dengan demikian, mereka telah melakukan ibadah kepada Yang Maha Benar dan memberikan nasihat kepada makhlukNya.

Oleh sebab itulah dalam firman selanjutnya Allah Ta’ala menyebutkan, “Dan gembirakanlah orang-orang yang beriman.” Dikatakan yang demikian itu kepada mereka adalah kerana keimanan mereka mencakup semua sifat tersebut dan kebahagiaan yang paling kemuncak ialah ketika orang-orang beriman memiliki sifat-sifat yang telah disebutkan ini.