Surah 9: At-Taubah (11 – 12)

Nasib Akhir Orang Musyrik – Bertaubat atau Diperangi?

Surah 9: At-Taubah (11 – 12)


Ayat 11

فَإِن تَابُوا۟ وَأَقَامُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُا۟ ٱلزَّكَوٰةَ فَإِخْوَٰنُكُمْ فِى ٱلدِّينِ ۗ وَنُفَصِّلُ ٱلْـَٔايَـٰتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

Oleh itu, jika mereka bertaubat (dari kekufuran), dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat, maka mereka itu adalah saudara kamu yang seagama; dan Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa sekiranya orang-orang kafir musyrik meninggalkan ibadah mereka kepada selain Allah Swt dan memilih untuk bertaubat, berpegang teguh kepada ajaran Islam, maka mereka adalah saudara seagama dengan orang-orang mukmin. Itulah yang dijelaskan oleh Allah Swt melalui ayat-ayat-Nya kepada orang-orang yang mahu mengambil manfaat.

Ayat 12

وَإِن نَّكَثُوٓا۟ أَيْمَـٰنَهُم مِّنۢ بَعْدِ عَهْدِهِمْ وَطَعَنُوا۟ فِى دِينِكُمْ فَقَـٰتِلُوٓا۟ أَئِمَّةَ ٱلْكُفْرِ ۙ إِنَّهُمْ لَآ أَيْمَـٰنَ لَهُمْ لَعَلَّهُمْ يَنتَهُونَ

Dan jika mereka mencabuli sumpahnya sesudah mengikat perjanjian setia, dan mereka pula mencela agama kamu, maka perangilah ketua-ketua dan pemimpin-pemimpin kaum yang kafir itu, kerana sesungguhnya mereka tidak menghormati sumpah janjinya, supaya mereka berhenti (dari kekufuran dan bertaubat).

Sesungguhnya jika berlaku pelanggaran perjanjian daripada mereka setelah terikat kuat perjanjian tersebut dan mereka menampakkan cercaan terhadap agama Islam maka orang-orang mukmin diperintahkan memerangi mereka. Setelah itu tidak ada lagi perjanjian perlindungan dengan mereka sehinggalah mereka berhenti daripada kekafiran dan memusuhi Islam.