Surah 9: At-Taubah (107 – 110)

Kisah Pembinaan Masjid Dhirar oleh Orang Munafik

Surah 9: At-Taubah (107 – 110)


Ayat 107

وَٱلَّذِينَ ٱتَّخَذُوا۟ مَسْجِدًا ضِرَارًا وَكُفْرًا وَتَفْرِيقًۢا بَيْنَ ٱلْمُؤْمِنِينَ وَإِرْصَادًا لِّمَنْ حَارَبَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ مِن قَبْلُ ۚ وَلَيَحْلِفُنَّ إِنْ أَرَدْنَآ إِلَّا ٱلْحُسْنَىٰ ۖ وَٱللَّهُ يَشْهَدُ إِنَّهُمْ لَكَـٰذِبُونَ

Dan (di antara orang-orang munafik juga ialah) orang-orang yang membina masjid dengan tujuan membahayakan (keselamatan orang-orang Islam), dan (menguatkan) keingkaran (mereka sendiri) serta memecah-belahkan perpaduan orang-orang yang beriman, dan juga untuk (dijadikan tempat) intipan bagi orang yang telah memerangi Allah dan RasulNya sebelum itu. Dan (apabila tujuan mereka yang buruk itu ketara), mereka akan bersumpah dengan berkata:” Tidaklah yang kami kehendaki (dengan mendirikan masjid ini) melainkan untuk kebaikan semata-mata “. Padahal Allah menyaksikan, bahawa sesungguhnya mereka adalah berdusta.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa ada di antara orang-orang munafik itu membina sebuah masjid yang berdekatan dengan Masjid Quba’ yang dikenali sebagai Masjid Dhirar. Mereka membinanya dengan empat tujuan:

▪️      Menimbulkan kemudharatan kepada jemaah Masjid Quba’ yang telah didirikan oleh Rasulullah saw pada saat awal kedatangan Baginda ke Madinah.

▪️     Sikap kekafiran mereka kepada Allah Ta’ala dan kepada Rasulullah saw serta kepada apa yang diturunkan kepada Baginda.

▪️     Memecahbelahkan kaum mukmin yang selalu solat di belakang Rasulullah saw di Masjid Quba’.

▪️     Menjadikan masjid itu sebagai benteng dan tempat bagi orang-orang yang memerangi Allah swt dan RasulNya memantau pergerakan orang-orang beriman.

Orang-orang munafik itu bersumpah bahawa mereka membina masjid itu hanyalah untuk kebaikan semata-mata dan atas belas kasihan mereka terhadap kaum mukmin yang lemah iaitu untuk mempermudahkan orang-orang yang tidak berdaya untuk berjalan jauh menuju Masjid Quba’.

Namun Allah Maha Mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu benar-benar berdusta dalam sumpah yang mereka lafazkan. Oleh itu, Dia melarang kaum mukmin bersolat di dalamnya.

Ayat 108

لَا تَقُمْ فِيهِ أَبَدًا ۚ لَّمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى ٱلتَّقْوَىٰ مِنْ أَوَّلِ يَوْمٍ أَحَقُّ أَن تَقُومَ فِيهِ ۚ فِيهِ رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَن يَتَطَهَّرُوا۟ ۚ وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلْمُطَّهِّرِينَ

Jangan engkau sembahyang di masjid itu selama-lamanya, kerana sesungguhnya masjid (Quba’ yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).

Kemudian Allah Ta’ala melarang Rasulullah saw dan umatnya solat di dalam Masjid Dhirar itu buat selama-lamanya. Sebaliknya Dia memerintahkan Baginda dan umatnya solat di Masjid Quba’ kerana dua perkara:

▪️    Masjid itu didirikan atas dasar takwa kepada Allah Ta’ala dan RasulNya sejak hari pertama dan bertujuan untuk menyatukan orang-orang mukmin dan juga sebagai tempat berlindung bagi orang-orang Islam. Masjid inilah yang lebih utama untuk solat di dalamnya dan sesiapa yang memiliki sifat takwa pasti akan dapat menyelamatkannya daripada seksaanNya.

▪️    Sesungguhnya dalam masjid ini terdapat orang-orang yang suka membersihkan diri zahir dan batin. Kebersihan zahir seperti mandi, berwuduk dan membersihkan najis daripada pakaian, badan dan tempat tinggal. Manakala kebersihan batin pula seperti bersih daripada syirik dan penyakit hati seperti hasad dengki dan sifat mazmumah yang lain.

Allah Ta’ala memuji dan mencintai orang-orang yang menyucikan diri mereka daripada kekotoran dan dosa demi mencari keredhaanNya.

Allah Ta’ala mendorong orang-orang mukmin untuk solat di Masjid Quba’ kerana ia memiliki keutamaan. Dalam hadis diriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda: 

“Solat di Masjid Quba’ (pahalanya) sama seperti melaksanakan umrah.”

(HR. Ibnu Majah)

Ayat 109

أَفَمَنْ أَسَّسَ بُنْيَـٰنَهُۥ عَلَىٰ تَقْوَىٰ مِنَ ٱللَّهِ وَرِضْوَٰنٍ خَيْرٌ أَم مَّنْ أَسَّسَ بُنْيَـٰنَهُۥ عَلَىٰ شَفَا جُرُفٍ هَارٍ فَٱنْهَارَ بِهِۦ فِى نَارِ جَهَنَّمَ ۗ وَٱللَّهُ لَا يَهْدِى ٱلْقَوْمَ ٱلظَّـٰلِمِينَ

Maka adakah orang yang membangunkan masjid yang didirikannya di atas dasar takwa kepada Allah dan (untuk mencari) keredaan Allah itu lebih baik, ataukah orang yang membangunkan masjid yang didirikannya di tepi jurang yang (hampir) runtuh, lalu runtuhlah ia dengan yang membangunkannya ke dalam api neraka? Dan (ingatlah) Allah tidak akan memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang zalim.

Seterusnya Allah Ta’ala menjelaskan bahawa tidaklah sama antara orang yang membina masjid berlandaskan ketakwaan kepadaNya dan dalam usaha mencari keredhaanNya dengan orang yang membina masjid dengan tujuan untuk menimbulkan kemudharatan, kekafiran serta untuk memecahbelahkan kesatuan orang-orang mukmin.

Oleh itu, Allah swt memberikan perumpamaan terhadap tindakan orang yang membina bangunan bukan atas dasar ketakwaan itu adalah seperti dia membina bangunan di tepi jurang yang akhirnya akan runtuh dan jatuh ke dalam jurang bersama-samanya sekali. Ini bermaksud tindakannya itu akan menyeretnya ke dalam neraka Jahannam dan Allah swt tidak memberikan hidayah kepada orang-orang yang berbuat zalim lagi melampaui batas.

Ayat 110

لَا يَزَالُ بُنْيَـٰنُهُمُ ٱلَّذِى بَنَوْا۟ رِيبَةً فِى قُلُوبِهِمْ إِلَّآ أَن تَقَطَّعَ قُلُوبُهُمْ ۗ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

(Keruntuhan masjid) yang dibina oleh mereka yang munafik itu sentiasa menjadi penyakit syak dan keluh-kesah (lebih daripada yang sedia ada) dalam hati mereka, (dan tidak akan habis) kecuali (apabila) hati mereka hancur-luluh (dalam tanah). Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Masjid Dhirar menjadi sebab dan bukti terhadap keraguan dan kebimbangan orang-orang munafik. Mereka begitu gembira ketika mendirikannya, namun apabila Rasulullah saw memerintahkan untuk menghancurkannya, mereka semakin marah dan keraguan mereka terhadap kenabian Baginda semakin bertambah. Keraguan itu tetap bersama mereka sehingga mereka meninggal dunia.