Surah 9: At-Taubah (103 – 104)

Kewajipan Mengeluarkan Zakat

Surah 9: At-Taubah (103 – 104)


Ayat 103

خُذْ مِنْ أَمْوَٰلِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَوٰتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ ۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Allah swt memerintahkan Rasulullah saw mengambil sebahagian daripada harta orang-orang yang mencampuradukkan amal baik dengan amal buruk yang telah bertaubat sebagai zakat. Ini bertujuan membersihkan mereka daripada dosa-dosa dan sifat kikir serta kecintaan yang berlebihan kepada harta. Selain itu bertujuan menyucikan mereka daripada kehinaan dan mengangkat darjat mereka daripada orang-orang munafik kepada orang-orang yang ikhlas.

Seterusnya Allah Ta’ala memerintahkan Rasulullah saw berdoa kepadaNya untuk mereka dan memohon agar Dia memberikan keampunan kepada mereka kerana sesungguhnya doa dan permintaan keampunan daripada Baginda akan menjadi rahmat dan ketenangan bagi mereka.

Allah Maha Mendengar tiap-tiap doa dan ucapan. Dia Maha Mengetahui keadaan hamba-hambaNya dan niat mereka. Dia akan memberikan balasan kepada setiap orang sesuai dengan perbuatannya.

Ayat 104

أَلَمْ يَعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ هُوَ يَقْبَلُ ٱلتَّوْبَةَ عَنْ عِبَادِهِۦ وَيَأْخُذُ ٱلصَّدَقَـٰتِ وَأَنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلتَّوَّابُ ٱلرَّحِيمُ

Tidakkah mereka mengetahui bahawa Allah Dia lah yang menerima taubat dari hamba-hambaNya, dan juga menerima sedekah-sedekah (dan zakat serta membalasnya), dan bahawa sesungguhnya Allah Dia lah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani

Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia mengetahui orang-orang yang tidak ikut berjihad yang telah bertaubat daripada dosa-dosa mereka. Sesungguhnya Dia sahajalah yang menerima taubat hamba-hambaNya dan menerima zakat-zakat serta memberikan pahala kepada mereka.

Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat hamba-hambaNya apabila mereka mahu kembali taat kepadaNya. Dia Maha Penyayang kepada mereka apabila mereka berinabah (kembali) menuju kepada keredhaanNya.