3 Tingkatan Umat Islam yang Terbaik
Surah 9: At-Taubah (100)
Ayat 100
وَٱلسَّـٰبِقُونَ ٱلْأَوَّلُونَ مِنَ ٱلْمُهَـٰجِرِينَ وَٱلْأَنصَارِ وَٱلَّذِينَ ٱتَّبَعُوهُم بِإِحْسَـٰنٍۢ رَّضِىَ ٱللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا۟ عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّـٰتٍ تَجْرِى تَحْتَهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيهَآ أَبَدًا ۚ ذَٰلِكَ ٱلْفَوْزُ ٱلْعَظِيمُ
Dan orang-orang yang terdahulu – yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang “Muhajirin” dan “Ansar”, dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia, serta Dia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.
Allah Ta’ala menyebutkan tiga tingkatan umat Islam yang terbaik dan mereka ini paling utama serta tertinggi kedudukan mereka dibandingkan dengan yang lain. Mereka adalah:
- Orang-orang yang mula-mula masuk Islam daripada kalangan Muhajirin. Mereka adalah para sahabat yang berhijrah dari Mekah ke Madinah. Mereka meninggalkan kampung halaman dan harta benda mereka kerana telah diusir oleh orang-orang musyrik Mekah. Mereka menolong agama Allah Swt dan Rasul-Nya untuk mencari kurniaan-Nya dan keredhaan-Nya.
- Orang-orang yang mula-mula masuk Islam daripada kalangan Ansar. Mereka adalah para sahabat yang tinggal di kota Madinah dan telah beriman sebelum (kedatangan) kaum Muhajirin. Mereka mencintai kaum Muhajirin dan lebih mengutamakan kaum Muhajirin daripada diri mereka sendiri, walaupun mereka dalam kesusahan.
- Orang-orang yang mengikuti jejak langkah orang-orang terdahulu yang mula-mula masuk Islam daripada kaum Muhajirin dan Ansar. Mereka mengikuti dengan baik dalam keyakinan, ucapan-ucapan dan perbuatan-perbuatan dalam rangka mencari keredhaan Allah Ta’ala.
Inilah tiga golongan yang Allah Swt redhai dengan menerima ketaatan dan perbuatan mereka. Mereka juga meredhai-Nya dengan apa yang mereka terima daripada nikmat dunia dan akhirat.
Allah Ta’ala menyelamatkan mereka daripada kemusyrikan dan kesesatan kepada jalan cahaya dan kebenaran. Dia memuliakan mereka dengan Islam dan mengangkat darjat mereka, menyediakan mereka syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Mereka kekal di dalamnya. Itulah kemenangan yang besar.