Penyesalan Manusia pada Hari Kiamat dan Berita Gembira kepada Orang Beriman
Surah 89: Al-Fajr (21 – 30)
Ayat 21
كَلَّآ إِذَا دُكَّتِ ٱلْأَرْضُ دَكًّا دَكًّا
Jangan (berbuat demikian). Apabila bumi digoncangkan berturut-turut.
Dalam ayat 21 hingga 23 ini, Allah Swt menceritakan bencana besar yang terjadi pada Hari Kiamat iaitu:
▪️ Bumi benar-benar digoncangkan berturut-turut sehingga menjadi rata. Semua makhluk dibangkitkan dari kubur dan dihadapkan kepada Rabb mereka untuk diadili dengan hukuman-Nya.
Ayat 22
وَجَآءَ رَبُّكَ وَٱلْمَلَكُ صَفًّا صَفًّا
Dan datanglah Rabbmu, sedang malaikat berbaris-baris.
▪️ Allah Swt datang untuk memutuskan keadilan di antara hamba-hamba-Nya dan para malaikat berdiri berbaris untuk menjaga dan mengawasi.
Ayat 23
وَجِا۟ىٓءَ يَوْمَئِذٍۭ بِجَهَنَّمَ ۚ يَوْمَئِذٍ يَتَذَكَّرُ ٱلْإِنسَـٰنُ وَأَنَّىٰ لَهُ ٱلذِّكْرَىٰ
Dan pada hari itu diperlihatkan Neraka Jahannam, dan pada hari itu manusia ingat (sedar), akan tetapi tidak berguna lagi mengingat (kesedaran) itu baginya.
▪️ Neraka Jahannam dibuka bagi orang-orang yang melihatnya.
Daripada ‘Abdullah bin Mas’ud, bahawa Rasulullah saw bersabda:
“Neraka Jahannam pada hari itu di datangkan dengan tujuh puluh ribu tali kekang yang pada setiap tali kekang itu terdapat tujuh puluh ribu malaikat yang menariknya.”
(HR. Muslim)
Ayat 24
يَقُولُ يَـٰلَيْتَنِى قَدَّمْتُ لِحَيَاتِى
Dia berkata, “Alangkah baiknya sekiranya aku dahulu mengerjakan (kebajikan) untuk hidupku ini.”
Pada hari itu barulah manusia menyedari semua perbuatan dan dosa-dosa mereka pada masa lalu. Namun kesedaran mereka itu tidak bermanfaat lagi buat mereka.
Orang-orang derhaka menyesali perbuatan-perbuatan derhaka yang telah dikerjakannya dan orang-orang taat berharap dahulu mereka menambah amal ketaatan mereka.
Daripada Muhammad bin Abi ‘Umairah iaitu salah seorang sahabat Rasulullah saw, dia mengatakan bahawa baginda bersabda:
“Seandainya seseorang hamba menyungkur sujud sejak dia dilahirkan sehingga dia mati dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah, nescaya pada Hari Kiamat dia menganggap kecil amal perbuatannya, dan nescaya dia menginginkan seandainya dia dikembalikan ke dunia semula untuk melakukan ketaatan yang sama bagi menambah pahala.”
(HR. Ahmad)
Ayat 25
فَيَوْمَئِذٍ لَّا يُعَذِّبُ عَذَابَهُۥٓ أَحَدٌ
Maka pada hari itu tidak ada seorang pun yang dapat menyeksa seperti seksaan-Nya.
Ayat 26
وَلَا يُوثِقُ وَثَاقَهُۥٓ أَحَدٌ
Dan tidak ada seorang pun yang mengikat seperti ikatan-Nya.
Pada hari itu tiada seorang pun yang lebih keras seksaannya terhadap orang yang derhaka selain Allah Swt. Begitu juga tidak ada seorang pun yang lebih keras cengkaman dan pukulannya daripada cengkaman dan pukulan malaikat Zabaniyah terhadap orang-orang yang kafir kepada-Nya.
Ayat 27
يَـٰٓأَيَّتُهَا ٱلنَّفْسُ ٱلْمُطْمَئِنَّةُ
Wahai jiwa yang tenang!
Ayat 28
ٱرْجِعِىٓ إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةً مَّرْضِيَّةً
Kembalilah kepada Rabbmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya.
Ayat 29
فَٱدْخُلِى فِى عِبَـٰدِى
Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-Ku.
Ayat 30
وَٱدْخُلِى جَنَّتِى
Dan masuklah ke dalam syurga-Ku.
Ayat 27 hingga 30 ini merupakan ungkapan-ungkapan kepada orang-orang yan beriman yang memiliki jiwa yang suci lagi tenang yang selalu tetap dan tunduk patuh kepada kebenaran. Para malaikat menyampaikan kepadanya berita gembira ini pada saat menjelang ajal mereka dan pada saat dibangkitkan dari kubur. Semoga kita termasuk dalam golongan ini. Allahumma aamiin!