Surah 89: Al-Fajr (15 – 20)

Sikap Buruk Manusia apabila Mendapat Nikmat dan Diuji dengan Kekurangan

Surah 89: Al-Fajr (15 – 20)


Ayat 15

فَأَمَّا ٱلْإِنسَـٰنُ إِذَا مَا ٱبْتَلَىٰهُ رَبُّهُۥ فَأَكْرَمَهُۥ وَنَعَّمَهُۥ فَيَقُولُ رَبِّىٓ أَكْرَمَنِ

Adapun manusia, apabila Rabbnya mengujinya lalu dimuliakan-Nya dan diberikan-Nya kesenangan, maka dia berkata, “Rabbku telah memuliakanku.”

Sesungguhnya manusia itu telah tersilap dalam anggapan mereka. Ini kerana mereka menyangka sekiranya mereka mendapat kenikmatan, maka Allah Swt telah memuliakan mereka, mengutamakan mereka, mengangkat darjat mereka dan membebaskan diri mereka daripada neraka. Namun mereka tidak bersyukur atas kenikmatan itu dan tidak mengetahui bahawa hakikatnya bahawa ia adalah ujian daripada-Nya buat mereka.

Ayat 16

وَأَمَّآ إِذَا مَا ٱبْتَلَىٰهُ فَقَدَرَ عَلَيْهِ رِزْقَهُۥ فَيَقُولُ رَبِّىٓ أَهَـٰنَنِ

Adapun manusia apabila Rabbnya mengujinya lalu membatasi rezkinya maka dia berkata, “Rabbku menghinakanku.”

Allah Swt menyatakan apabila mereka diuji dengan kekurangan dari segi kekayaan dan pangkat, mereka mengatakan Dia telah menghina mereka lalu mereka berkeluh kesah.

Ayat 17

كَلَّا ۖ بَل لَّا تُكْرِمُونَ ٱلْيَتِيمَ

Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya kamu tidak memuliakan anak yatim.

Adapun yang menjadi ukuran kemuliaan dan kehinaan seseorang itu adalah ketaatannya kepada Allah Swt baik ketika lapang atau sempit.

Oleh itu dalam ayat ini dan seterusnya, Allah Swt menyebutkan sebab-sebab manusia mendapat kehinaan, antaranya:

▪️  Tidak memuliakan anak-anak yatim.

Mereka tidak memuliakan dan tidak menunaikan hak anak-anak yatim dalam harta kekayaan mereka sedangkan Allah Swt mengurniakan harta yang banyak kepada mereka. Manakala anak-anak yatim ini pula sememangnya lemah dan tidak berdaya.

Ini kerana mereka merasakan tidak dapat mengambil apa-apa manfaat daripada kedhaifan anak-anak yatim tersebut. Padahal terdapat banyak hadis-hadis tentang kebaikan berbuat baik terhadap anak-anak yatim.

Daripada Sahl bin Sa’ad, Rasulullah saw telah bersabda:

“Aku dan penjaga anak yatim seperti dua jari ini di dalam syurga.” Dan baginda merapatkan kedua-dua jarinya iaitu jari tengah dan jari telunjuknya.

(HR. Al-Bukhari dan Abu Dawud)

Ayat 18

وَلَا تَحَـٰٓضُّونَ عَلَىٰ طَعَامِ ٱلْمِسْكِينِ

Dan kamu tidak saling mengajak memberi makan orang miskin.

▪️  Tidak menyuruh dan tidak saling menganjurkan untuk berbuat baik kepada fakir miskin.

Selain itu, mereka tidak mendorong diri sendiri dan juga orang lain memberi makan kepada orang-orang miskin yang kelaparan.

Ayat 19

وَتَأْكُلُونَ ٱلتُّرَاثَ أَكْلًا لَّمًّا

Dan kamu memakan harta pusaka dengan cara mencampuradukkan (yang halal dan yang haram).

▪️  Memakan harta pusaka secara berlebihan dengan tidak membezakan halal dan haramnya.

Ayat 20

وَتُحِبُّونَ ٱلْمَالَ حُبًّا جَمًّا

Dan kamu mencintai harta dengan kecintaan yang berlebihan.

▪️  Mencintai harta secara berlebihan.

Hal ini kerana mereka lebih mengutamakan kesenangan dunia daripada kesenangan akhirat dan sesungguhnya mereka telah terpedaya dengan tipu daya dunia.