Allah Swt Bersumpah bahawa Orang yang Menentang Para Rasul-Nya Pasti Akan Binasa
Surah 89: Al-Fajr (1 – 14)
Ayat 1
وَٱلْفَجْرِ
Demi fajar.
Allah Swt bersumpah dengan waktu subuh yang penuh dengan pancaran cahaya. Waktu subuh adalah waktu terurainya gelap malam setiap harinya dan waktu bagi manusia dan haiwan sebagai tanda bangun dari tidur untuk melakukan pelbagai aktiviti dan mencari rezeki.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Dan demi subuh apabila fajarnya mulai menyingsing.”
At-Takwir 81:18
“Dan subuh apabila mulai terang.”
Al-Muddaththir 74:34
Ada juga yang mengatakan bahawa Allah Swt bersumpah dengan solat fajar.
Ayat 2
وَلَيَالٍ عَشْرٍ
Dan malam yang sepuluh.
Kemudian Allah Swt bersumpah dengan malam-malam yang mempunyai banyak kelebihan dan keberkatan iaitu 10 hari pertama bulan Zulhijjah.
Daripada Ibnu ‘Abbas ra, Rasulullah saw bersabda:
“Tidak ada suatu hari pun yang amal soleh lebih disukai oleh Allah padanya selain hari-hari ini iaitu sepuluh hari-hari pertama bulan Zulhijjah. Mereka bertanya, ‘Tidak juga jihad pada jalan Allah?’ Baginda menjawab:
“Tidak juga jihad pada jalan Allah, kecuali seseorang yang keluar berjihad dengan jiwa dan hartanya, kemudian dia tidak kembali lagi dengan apa pun (jiwa dan hartanya itu, iaitu mati syahid).”
(HR. Al-Bukhari)
Ayat 3
وَٱلشَّفْعِ وَٱلْوَتْرِ
Dan yang genap dan yang ganjil.
Allah Swt bersumpah pula dengan bilangan genap dan ganjil. Dia berhak bersumpah dengan apa sahaja ciptaan-Nya yang ada dalam alam ini sama ada daripada benda-benda yang berpasang-pasangan ataupun tunggal.
Ayat 4
وَٱلَّيْلِ إِذَا يَسْرِ
Dan malam apabila berlalu.
Allah Swt juga bersumpah dengan malam yang datang dan pergi.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan malam ketika telah berlalu.”
Al-Muddaththir 74:33
Sebagaimana datangnya waktu subuh yang banyak mempunyai manfaat, waktu malam juga memiliki manfaat sehingga jiwa menjadi tenang dan dapat istirahat daripada kepenatan dengan pelbagai aktiviti pada siang hari.
Ayat 5
هَلْ فِى ذَٰلِكَ قَسَمٌ لِّذِى حِجْرٍ
Adakah pada yang demikian itu terdapat sumpah (yang dapat diterima) oleh orang-orang yang berakal?
Ayat ini adalah penutup kepada sumpah-sumpah di atas. Sememangnya sumpah-sumpah tersebut adalah sumpah yang besar dan merupakan peringatan daripada Allah Swt kepada orang-orang yang menentang para rasul-Nya bahawa mereka pasti akan binasa.
Ayat 6
أَلَمْ تَرَ كَيْفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِعَادٍ
Apakah engkau (Muhammad) tidak memerhatikan bagaimana Rabbmu memperlakukan (kaum) ‘Aad?
Ayat 7
إِرَمَ ذَاتِ ٱلْعِمَادِ
(Iaitu) penduduk Iram (ibu kota kaum ‘Aad) yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi.
Ayat 8
ٱلَّتِى لَمْ يُخْلَقْ مِثْلُهَا فِى ٱلْبِلَـٰدِ
Belum pernah diciptakan seperti (mereka) itu, di negeri-negeri lain.
Kemudian Allah Swt menyebutkan sebahagian daripada kisah umat-umat terdahulu untuk dijadikan contoh dan teladan serta dapat mengambil pelajaran daripadanya.
Ayat 6-8 ini merujuk kepada kaum ‘Aad iaitu kaum Nabi Hud as. Allah Swt telah menjadikan mereka sebagai khalifah-khalifah setelah kaum Nabi Nuh as. Mereka diberikan kelebihan memiliki kekuatan fizikal dan penampilan yang baik.
Selain itu, mereka mendiami kota Iram yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi. Inilah satu umat yang terdahulu yang belum pernah ada satu umat lain yang dijadikan oleh Allah Swt melebihi kekuatan, keberanian, besar tubuh mereka di negeri-negeri lain.
Namun mereka ingkar terhadap-Nya dan mendustakan ajaran rasul-Nya. Lalu mereka dibinasakan-Nya.
Allah Swt telah menimpakan azab kepada kaum ‘Aad dengan badai angin yang dingin dan kencang selama 7 malam 8 hari berturut-turut sehingga tiada seorang pun yang tersisa di antara mereka.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Adapun kaum ‘Aad maka mereka telah dibinasakan dengan angin yang sangat dingin lagi amat kencang, yang Allah menimpakan angin itu kepada mereka selama tujuh malam dan lapan hari terus menerus, maka kamu lihat kaum ‘Aad pada waktu itu mati bergelimpangan seakan-akan mereka tunggul pohon kurma yang telah kosong (lapuk).”
Al-Haqqah 69:7
Ayat 9
وَثَمُودَ ٱلَّذِينَ جَابُوا۟ ٱلصَّخْرَ بِٱلْوَادِ
Dan (terhadap) kaum Thamud yang memotong batu-batu besar di lembah.
Seterusnya, Allah Swt menyatakan bagaimana Dia telah mengazab kaum Thamud. Mereka adalah para pengukir batu yang terletak disebelah utara kota Madinah.
Kaum Nabi Saleh as ini sangat kuat sehingga mereka dapat membelah batu-batu besar untuk dijadikan tempat tinggal yang dapat melindungi mereka ketika musim dingin yang bersangatan dan panas yang membahang.
Walaupun demikian, Allah Swt mampu menghancurkan mereka dengan satu teriakan yang sangat keras. Sesungguhnya Dia adalah Pencipta semua makhluk-Nya maka Dia lagi Maha Kuat dan Maha Perkasa.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan kamu pahat sebahagian daripada gunung-gunung untuk dijadikan rumah-rumah dengan rajin.”
Asy-Syua’ra’ 26:149
Ayat 10
وَفِرْعَوْنَ ذِى ٱلْأَوْتَادِ
Dan (terhadap) Firaun yang mempunyai pasak-pasak (bangunan-bangunan yang besar).
Ayat 11
ٱلَّذِينَ طَغَوْا۟ فِى ٱلْبِلَـٰدِ
Yang bermaharajalela di dalam negeri.
Ayat 12
فَأَكْثَرُوا۟ فِيهَا ٱلْفَسَادَ
Lalu mereka (bala tentera Firaun) melakukan banyak kerosakan di dalam negeri itu.
Ayat 13
فَصَبَّ عَلَيْهِمْ رَبُّكَ سَوْطَ عَذَابٍ
Kerana itu Rabbmu menimpakan cemeti azab kepada mereka.
Kemudian dalam ayat 10 hingga 13, Allah Swt menceritakan bagaimana Dia bertindak terhadap Firaun dan bala tenteranya. Walaupun ketika itu Firaun adalah pemimpin Mesir yang memiliki bangunan-bangunan yang besar, namun dia dibinasakan. Ini kerana dia telah bersikap zalim dan membunuh sesiapa sahaja yang tidak taat kepadanya. Firaun dan bala tenteranya bertindak sewenang-wenangnya dengan melakukan banyak kerosakan. Oleh itu, Allah Swt telah menenggelamkan Firaun dalam laut bersama dengan tentera-tentera yang taat kepadanya.
Ayat 14
إِنَّ رَبَّكَ لَبِٱلْمِرْصَادِ
Sesungguhnya Rabbmu benar-benar mengawasi.
Orang-orang yang berkuasa dan melampaui batas dengan melakukan kerosakan dan kezaliman di atas bumi, maka Allah Swt datangkan azab yang berat kepada mereka.
Sesungguhnya Allah Swt mengawasi setiap perbuatan hamba-hamba-Nya untuk dibalas di dunia dan di akhirat. Maha Suci Allah daripada perbuatan zalim dan melampaui batas.