Surah 88: Al-Ghasyiyah (1 – 16)

Keadaan Penghuni Syurga dan Penghuni Neraka pada Hari Kiamat

Surah 88: Al-Ghasyiyah (1 – 16)


Ayat 1

هَلْ أَتَىٰكَ حَدِيثُ ٱلْغَـٰشِيَةِ

Sudah datangkah kepadamu berita (tentang) Hari Pembalasan?

Allah Swt memulakan surah ini dengan pertanyaan untuk menarik perhatian para pendengar tentang betapa hebat dan ngerinya keadaan pada Hari Kiamat.

Perkataan ٱلْغَٰشِيَةِ merupakan salah satu nama daripada nama-nama Hari Kiamat yang bermaksud hari yang meliputi kerana ia merangkumi seluruh manusia dengan kengerian yang ada pada hari itu.

Ayat 2

وُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ خَـٰشِعَةٌ

Banyak muka pada hari itu tunduk terhina.

Ayat 3

عَامِلَةٌ نَّاصِبَةٌ

Bekerja keras lagi kepenatan.

Ayat 4

تَصْلَىٰ نَارًا حَامِيَةً

Memasuki api yang sangat panas (neraka).

Allah Swt menggambarkan keadaan orang-orang kafir yang pada hari itu wajah-wajah mereka tertunduk kerana malu dan mendapat penghinaan.

Ini kerana semasa hidup di dunia dahulu, mereka bekerja keras tetapi Allah Swt tidak menerima amalan mereka. Walaupun amalan mereka baik tetapi mereka tidak beriman kepada-Nya dan rasul-Nya serta tidak meniatkannya untuk Allah Swt, maka amalan mereka tertolak. Oleh itu, balasan kepada orang-orang kafir ialah mereka dimasukkan ke dalam api yang sangat panas.

Ayat 5

تُسْقَىٰ مِنْ عَيْنٍ ءَانِيَةٍ

Diberi minum (dengan air) daripada sumber yang sangat panas.

Ayat 6

لَّيْسَ لَهُمْ طَعَامٌ إِلَّا مِن ضَرِيعٍ

Tidak ada makanan bagi mereka selain daripada pohon yang berduri.

Kemudian Allah Swt menggambarkan pula keadaan penghuni neraka, apabila mereka berasa dahaga dan meminta minuman untuk menghilangkan dahaga, maka mereka diberikan air daripada sumber yang sangat panas.

Manakala makanan yang diberikan kepada mereka pula tidak ada selain dhari’ (ضَرِيعٍ) iaitu pohon berduri yang merupakan seburuk-buruk makanan.

Terdapat beberapa ulama tafsir yang menjelaskan maksud dhari’ (ضَرِيعٍ) iaitu:

▪️  ‘Ali bin Abi Talhah telah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra bahawa maksud dhari’ (ضَرِيعٍ) ialah sebuah pohon daripada api neraka.

▪️  Sa’id bin Jubair mengatakan bahawa dhari’ (ضَرِيعٍ) adalah nama lain daripada Zaqqum (sebuah pohon yang ada di dalam neraka).

▪️  Ibnu ‘Abbas ra, Mujahid, ‘Ikrimah, Abul Jauza’ dan Qatadah mengatakan bahawa dhari’ adalah sejenis pohon yang disebut syibriq. Qatadah mengatakan bahawa orang-orang Quraisy menamakannya syibriq bila musim sejuk dan bila musim panas menamakannya dhari’ (pohon banyak durinya).

▪️  Sa’id telah mengatakan daripada Qatadah, ini merupakan makanan yang paling buruk, paling kotor dan paling menjijikkan.

Ayat 7

لَّا يُسْمِنُ وَلَا يُغْنِى مِن جُوعٍ

Yang tidak menggemukkan dan tidak pula menghilangkan lapar.

Makanan penghuni neraka ini tidak menggemukkan dan tidak menghilangkan rasa lapar.

Ayat 8

وُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ نَّاعِمَةٌ

Banyak muka pada hari itu berseri-seri.

Ayat 9

لِّسَعْيِهَا رَاضِيَةٌ

Berasa gembira kerana usahanya (sendiri).

Seterusnya, Allah Swt menyatakan pula keadaan orang-orang yang beriman yang menjadi penghuni syurga iaitu:

▪️  Wajah berseri-seri.

Pada hari itu dapat dilihat kehidupan yang senang melalui wajah-wajah mereka yang berseri-seri dalam kegembiraan. Kenikmatan itu hanya diperoleh dengan amalan yang mereka usahakan sendiri ketika di dunia dahulu.

Ayat 10

فِى جَنَّةٍ عَالِيَةٍ

Di dalam syurga yang tinggi.

▪️  Syurga yang tinggi.

Mereka tinggal di tempat yang tinggi, di dalam kamar-kamar yang mewah dan berada dalam keadaan aman.

Ayat 11

لَّا تَسْمَعُ فِيهَا لَـٰغِيَةً

Tidak kamu dengar di dalamnya perkataan yang tidak berguna.

▪️  Hanya perkataan yang baik sahaja di dalam syurga.

Di dalam syurga tidak pernah mereka mendengar perkataan yang sia-sia, caci maki dan dusta.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Mereka tidak mendengar di dalamnya perkataan yang sia-sia dan tidak pula perkataan yang menimbulkan dosa, tetapi mereka mendengar ucapan salam.”

Al-Waqi’ah 56:25-26

Ayat 12

فِيهَا عَيْنٌ جَارِيَةٌ

Di dalamnya ada mata air yang mengalir.

▪️  Mata air yang mengalir.

Di dalam syurga terdapat banyak mata air yang mengalir dan memancar dengan pelbagai jenis minuman yang lazat.

Ibnu Abu Hatim meriwayatkan daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw pernah bersabda:

“Sungai-sungai di syurga memancar dari bawah anak gunung atau dari gunung-gunung kesturi.”

(HR. Ibnu Hibban)

Ayat 13

فِيهَا سُرُرٌ مَّرْفُوعَةٌ

Di dalamnya ada pelamin-pelamin yang ditinggikan.

▪️  Pelamin-pelamin yang ditinggikan.

Di dalam syurga terdapat pelamin-pelamin yang tinggi lagi empuk diduduki oleh bidadari-bidadari yang jelita.

Para ulama mengatakan bahawa apabila kekasih Allah Swt hendak duduk di atas pelamin yang tinggi-tinggi itu, maka pelamin-pelamin itu merendah untuknya.

Ayat 14

وَأَكْوَابٌ مَّوْضُوعَةٌ

Dan gelas-gelas yang tersedia (untuk mereka).

▪️  Gelas-gelas yang tersedia.

Gelas-gelas minuman telah tersedia kepada para pemiliknya.

Ayat 15

وَنَمَارِقُ مَصْفُوفَةٌ

Dan bantal-bantal sandaran yang tersusun.

▪️  Bantal-bantal sandaran yang tersusun.

Selain itu, terdapat pula bantal-bantal yang indah dan menarik serta tersusun rapi menjadi tempat bersandar.

Ayat 16

وَزَرَابِىُّ مَبْثُوثَةٌ

Dan permadani-permadani yang terhampar.

▪️  Permaidani-permaidani terbentang indah di seluruh lantai syurga.

Inilah sekilas gambaran tentang syurga di akhirat kelak sebagai balasan dan bentuk penghormatan yang sangat tinggi yang dikurniakan oleh Allah Swt kepada orang-orang beriman. Semoga kita termasuk dalam golongan ini, Allahumma aamiin!