Kehidupan Akhirat Lebih Baik daripada Kehidupan Dunia
Surah 87: Al-A’la (14 – 19)
Ayat 14
قَدْ أَفْلَحَ مَن تَزَكَّىٰ
Sesungguhnya beruntung orang yang membersihkan diri (dengan beriman).
Allah Swt menjanjikan kebahagiaan kepada orang-orang beriman yang membersihkan diri mereka daripada akhlak-akhlak yang tercela dan melakukan amalan soleh.
Ayat 15
وَذَكَرَ ٱسْمَ رَبِّهِۦ فَصَلَّىٰ
Dan dia ingat nama Rabbnya, lalu dia solat.
Mereka juga mendirikan solat tepat pada waktunya kerana semata-mata mengharapkan redha Allah Swt dan sebagai mentaati perintah-Nya serta melaksanakan syariat-Nya.
Ayat 16
بَلْ تُؤْثِرُونَ ٱلْحَيَوٰةَ ٱلدُّنْيَا
Tetapi kamu (orang-orang kafir) memilih kehidupan dunia.
Kemudian Allah Swt menyebutkan sikap buruk orang-orang kafir. Mereka lebih mengutamakan dunia dan tidak beramal untuk akhirat.
Ayat 17
وَٱلْـَٔاخِرَةُ خَيْرٌ وَأَبْقَىٰٓ
Padahal kehidupan akhirat itu lebih baik dan lebih kekal.
Padahal ganjaran yang dijanjikan oleh Allah Swt di akhirat kelak lebih baik dan lebih kekal daripada kesenangan di dunia. Ini kerana sesungguhnya dunia itu hina dan pasti akan musnah, sedangkan akhirat itu mulia lagi kekal. Maka bagaimana orang yang berakal lebih memilih yang sementara daripada hal yang kekal.
Daripada Abu Musa Al-Asy’ari bahawa Rasulullah saw bersabda:
“Barangsiapa mencintai dunianya, maka dia merugikan akhiratnya. Dan barangsiapa yang mencintai akhiratnya, maka dia merugikan dunianya. Maka dahulukanlah alam yang kekal daripada alam yang pasti musnah.”
(HR. Ahmad)
Ayat 18
إِنَّ هَـٰذَا لَفِى ٱلصُّحُفِ ٱلْأُولَىٰ
Sesungguhnya ini benar-benar terdapat dalam kitab-kitab yang dahulu.
Ayat 19
صُحُفِ إِبْرَٰهِيمَ وَمُوسَىٰ
(Iaitu) kitab-kitab Ibrahim dan Musa.
Suhuf (صُحُفِ) bermaksud lembaran-lembaran dan ini merupakan suhuf sebelum Al-Quran.
Allah Swt menyatakan bahawa segala peringatan, pengajaran dan hukum-hukum serta janji-janji-Nya yang disebutkan dalam Al-Quran telah pun ada di dalam suhuf yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim as dan Nabi Musa as. Di dalamnya juga telah disebutkan tentang perkara mensucikan nama Rabb, tentang akhirat adalah kekal manakala dunia hanyalah sementara, tentang tauhid, syirik dan sebagainya. Oleh itu, perkara-perkara pokok memang telahpun disebutkan lama dahulu dan ia bukanlah perkara baru.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Atau apakah belum diberitakan (kepadanya) apa yang ada di dalam lembaran-lembaran (kitab suci yang diturunkan kepada) Musa? Dan (lembaran-lembaran) Ibrahim yang selalu menyempurnakan janji? Iaitu seorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain. Dan manusia hanya memperolehi apa yang telah diusahakannya. Dan sesungguhnya usahanya itu kelak akan diperlihatkan (kepadanya). Kemudian akan diberikan balasan kepadanya dengan balasan yang paling sempurna. Dan sesungguhnya kepada Rabbmu-lah kesudahan (segala sesuatu).”
An-Najm 53:36-42