Perintah Mensucikan Allah Yang Maha Tinggi
Surah 87: Al-A’la (1 – 5)
Ayat 1
سَبِّحِ ٱسْمَ رَبِّكَ ٱلْأَعْلَى
Sucikanlah nama Rabbmu Yang Maha Tinggi.
Ayat ini adalah perintah daripada Allah Swt kepada Rasulullah saw dan juga umat baginda supaya mensucikan nama Rabb mereka daripada sebarang sifat kekurangan dan daripada sesuatu yang tidak layak bagi-Nya.
Perkataan اْلاَعْلَى adalah sifat Allah Swt yang menunjukkan ketinggian-Nya berada di atas seluruh makhluk-Nya.
Daripada Imam Ahmad, daripada Ibnu ‘Abbas ra, apabila Rasulullah saw membaca ayat 1 pada surah ini, baginda mengucapkan,
سُبْحَانَ رَبِّيَ اْلاَعْلَى
“(Maha Suci Rabbku Yang Maha Tinggi).”
Ayat 2
ٱلَّذِى خَلَقَ فَسَوَّىٰ
Yang menciptakan dan menyempurnakan (penciptaan-Nya).
Kemudian Allah Swt menyatakan sifat-sifat-Nya yang menjadi dalil akan kewujudan dan keesaan-Nya iaitu:
▪️ Menciptakan dan menyempurnakan setiap makhluk-Nya dalam bentuk yang paling baik.
Ayat 3
وَٱلَّذِى قَدَّرَ فَهَدَىٰ
Yang mengatur keadaan makhluk-makhluk-Nya dan memberi petunjuk.
▪️ Menentukan ukuran yang sesuai bagi hamba-hamba-Nya.
Allah Swt juga menyatakan Dia telah mentakdirkan segala sesuatu di dalam kitab takdir, sama ada baik atau buruk. Dia-lah juga yang memberi petunjuk kepada setiap makhluk untuk menuju takdir masing-masing.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dia (Musa) menjawab, ‘Rabb kami ialah Rabb yang telah memberikan kepada tiap-tiap sesuatu bentuk kejadiannya, kemudian memberinya petunjuk.’”
Taha 20:50
Daripada ‘Abdullah Ibnu ‘Amr, Rasulullah saw bersabda:
“Sesungguhnya Allah telah menentukan takdir seluruh makhluk sebelum Dia menciptakan langit dan bumi lima puluh ribu tahun, dan ‘Arasy-Nya berada di atas air.”
(HR. Muslim)
Ayat 4
وَٱلَّذِىٓ أَخْرَجَ ٱلْمَرْعَىٰ
Dan yang menumbuhkan rumput-rumput.
Ayat 5
فَجَعَلَهُۥ غُثَآءً أَحْوَىٰ
Lalu dijadikan-Nya (rumput-rumput) itu kering kehitam-hitaman.
▪️ Menumbuhkan pelbagai tumbuhan dan tanaman.
Allah Swt menumbuhkan semua jenis tanaman dan tumbuh-tumbuhan. Dia berkuasa menumbuhkan rerumput dan belukar pada tempat mengembala haiwan ternakan. Dia juga berkuasa menjadikan rumput yang hijau itu menjadi kering kehitam-hitaman apabila sudah tua.
Begitulah perjalanan kehidupan yang sentiasa berubah. Ini memberi isyarat tentang terhadnya kehidupan di dunia yang tidak kekal ini.