Surah 86: At-Tariq (11 – 17)

Allah Swt Bersumpah Atas Kebenaran Al-Quran dan Kegagalan Orang yang Menentangnya

Surah 86: At-Tariq (11 – 17)


Ayat 11

وَٱلسَّمَآءِ ذَاتِ ٱلرَّجْعِ

Demi langit yang mengandungi hujan.

Ayat 12

وَٱلْأَرْضِ ذَاتِ ٱلصَّدْعِ

Dan bumi yang mempunyai tumbuh-tumbuhan.

Ayat 13

إِنَّهُۥ لَقَوْلٌ فَصْلٌ

Sesungguhnya (Al-Quran) itu benar-benar firman yang memisahkan (antara yang hak dan yang batil).

Dalam ayat 11-13 ini, Allah Swt bersumpah dengan langit yang mewakili awan dan hujan serta bumi yang memiliki tumbuh-tumbuhan yang beraneka ragam bahawa Al-Quran Al-Karim adalah perkataan-Nya yang membezakan antara yang hak dan yang batil. Di dalamnya mengandungi ketetapan hukum yang cukup adil bagi setiap permasalahan yang diperselisihkan.

Sesungguhnya Allah Swt telah menyatakan-Nya bahawa tiada sembahan yang hak kecuali Dia dan Nabi Muhammmad saw adalah utusan-Nya serta Hari Kiamat pasti akan tiba, tiada keraguan sedikit pun.

Ayat 14

وَمَا هُوَ بِٱلْهَزْلِ

Dan sekali-kali bukanlah ia (Al-Quran) itu senda gurau.

Kemudian Allah Swt menegaskan bahawa Al-Quran bukanlah sesuatu yang boleh dipermain-mainkan dan bukan pula sesuatu yang batil, sebaliknya ia datang daripada Allah Yang Maha Sempurna.

Ayat 15

إِنَّهُمْ يَكِيدُونَ كَيْدًا

Sesungguhnya mereka (orang-orang kafir) merencanakan tipu daya yang jahat dengan sebenar-benarnya.

Allah Swt menerangkan pakatan jahat orang-orang kafir Quraisy yang selalu membuat tipu daya terhadap Rasulullah saw dan orang-orang beriman. Mereka melakukan pelbagai macam tipu daya untuk menghapuskan syariat yang dibawa oleh baginda dengan mendustakan kebenaran Al-Quran dan menyeru manusia agar menentangnya serta menghalang manusia daripada mengikuti jalan yang benar.

Ayat 16

وَأَكِيدُ كَيْدًا

Dan Aku pun membuat rencana (pula) dengan sebenar-benarnya.

Namun Allah Swt menyatakan bahawa Dia juga membuat tipu daya yang pasti akan mengalahkan mereka.

Ayat 17

فَمَهِّلِ ٱلْكَـٰفِرِينَ أَمْهِلْهُمْ رُوَيْدًۢا

Kerana itu berilah penangguhan kepada orang-orang kafir. Berilah mereka tempoh untuk sedikit waktu.

Allah Swt menyuruh Rasulullah saw membiarkan mereka kerana dalam waktu yang singkat, baginda akan dapat melihat bagaimana Dia memberikan hukuman berupa azab, pembalasan dan hukuman serta kehancuran kepada mereka.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:        

“Kami biarkan mereka bersenang-lenang sebentar, kemudian Kami paksa mereka (masuk) ke dalam azab yang keras.”

Luqman 31:24