Sumpah Allah Swt dan Dia Berkuasa Mencipta dan Membangkitkan Manusia
Surah 86: At-Tariq (1 – 8)
Ayat 1
وَٱلسَّمَآءِ وَٱلطَّارِقِ
Demi langit dan yang datang pada malam hari.
Allah Swt bersumpah dengan langit dan bintang-bintang yang bersinar terang menghiasinya.
Ayat 2
وَمَآ أَدْرَىٰكَ مَا ٱلطَّارِقُ
Dan tahukah kamu apakah yang datang pada malam hari itu?
Qatadah dan lain-lain mengatakan bahawa sesungguhnya bintang disebut dengan ٱلطَّارِقُ ialah kerana ia hanya dapat dilihat pada malam hari, sedangkan pada siang hari tidak kelihatan.
Ayat 3
ٱلنَّجْمُ ٱلثَّاقِبُ
(Iaitu) bintang yang cahayanya menembus.
Iaitu semua bintang yang menembus kegelapan malam dengan cahayanya.
Ibnu ‘Abbas ra mengatakan maksud ayat ini ialah bintang yang cahayanya terang. ‘Ikrimah pula mengatakan maksudnya ialah bintang itu bersinar terang dan membakar syaitan.
Ayat 4
إِن كُلُّ نَفْسٍ لَّمَّا عَلَيْهَا حَافِظٌ
Setiap orang pasti ada penjaganya
Allah Swt bersumpah untuk menegaskan bahawa manusia diciptakan bukanlah sia-sia. Sebaliknya, Dia mengadakan malaikat yang menjaga dan malaikat yang mencatat seluruh amal perbuatan mereka untuk dihisab dan diberi balasan.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Baginya (manusia) ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergilir-gilir, di hadapan dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah……..”
Ar-Ra’d 13:11
Ayat 5
فَلْيَنظُرِ ٱلْإِنسَـٰنُ مِمَّ خُلِقَ
Maka hendaklah manusia memperhatikan daripada apa dia diciptakan.
Kemudian Allah Swt mengingatkan manusia tentang permulaan penciptaan mereka sebagai dalil adanya Hari Kiamat.
Oleh itu, Allah Swt menyatakan sekiranya mereka masih tidak mempercayai terhadap Hari Kebangkitan dan Hari Pembalasan maka lihatlah asal diri mereka dan bagaimana mereka diciptakan.
Ayat 6
خُلِقَ مِن مَّآءٍ دَافِقٍ
Dia diciptakan daripada air (mani) yang terpancar.
Manusia diciptakan daripada air mani yang dipancarkan oleh lelaki dan bertemu dengan telur wanita, maka terjadilah anak daripada percampuran kedua-duanya dengan izin Allah Swt.
Ayat 7
يَخْرُجُ مِنۢ بَيْنِ ٱلصُّلْبِ وَٱلتَّرَآئِبِ
Yang keluar dari di antara tulang belakang (sulbi) dan tulang dada.
Dalam Kitab Ad-Durrul Manthur, Syabib bin Bisyr berkata daripada ‘Ikrimah, daripada Ibnu ‘Abbas ra, maksud, “Yang keluar dari di antara tulang belakang (sulbi) dan tulang dada,” ialah air yang keluar dari tulang sulbi lelaki dan tulang dada perempuan yang berwarna kuning cair. Anak tidak terbentuk kecuali daripada kedua-dua jenis air tersebut.
Ayat 8
إِنَّهُۥ عَلَىٰ رَجْعِهِۦ لَقَادِرٌ
Sesungguhnya, Allah benar-benar berkuasa untuk mengembalikannya (hidup setelah mati).
Allah Swt menyatakan bahawa sekiranya Dia berkuasa mencipta manusia pada kali pertama daripada air mani, pasti Dia lebih mampu menghidupkan kembali ciptaan-Nya itu.
Allah Swt berfirman dalam ayat yang lain:
“Dan Dia-lah yang menciptakan (manusia) dari permulaan, kemudian mengembalikan (menghidupkan)nya kembali, dan menghidupkan kembali itu adalah lebih mudah bagi-Nya……..”
Ar-Rum 30:27