Surah 85: Al-Buruj (1 – 3)

Allah Swt Bersumpah dengan Ciptaan-Nya

Surah 85: Al-Buruj (1 – 3)


Ayat 1

وَٱلسَّمَآءِ ذَاتِ ٱلْبُرُوجِ

Demi langit yang mempunyai gugusan bintang.

Ayat ini mengandungi sumpah yang paling agung kerana Allah Swt telah bersumpah dengan langit berserta gugusan bintangnya iaitu bintang-bintang yang begitu besar, luas, jauh dan tidak diketahui di mana batasnya. Bintang-bintang tersebut termasuklah matahari dan bulan.

Allah Swt bersumpah dengan gugusan bintang adalah untuk menunjukkan betapa ajaibnya makhluk angkasa yang ditadbirkan-Nya dengan begitu teratur tanpa ada pertembungan antara satu sama lain dalam peredarannya walau sedikitpun. Perubahan-perubahan di bumi bergantung kepada bintang-bintang tersebut kerana dengannya timbullah empat musim, panas dan sejuk, juga perkiraan bulan dan tahun.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Maha Suci Allah yang menjadikan di langit gugusan bintang-bintang dan Dia juga menjadikan padanya matahari dan bulan yang bersinar.”

Al-Furqan 25:61

Ayat 2

وَٱلْيَوْمِ ٱلْمَوْعُودِ

Dan demi hari yang dijanjikan.

Ayat 3

وَشَاهِدٍ وَمَشْهُودٍ

Dan demi yang menyaksikan dan yang disaksikan.

Kemudian Allah Swt bersumpah dengan Hari Kiamat yang telah dijanjikan kepada seluruh hamba-Nya bahawa Dia akan mengumpulkan mereka dan memberikan keputusan terhadap perkara yang mereka perselisihkan.

Ibnu Abu Hatim meriwayatkan daripada Abu Hurairah ra, dia mengatakan bahawa Rasulullah saw telah mentafsirkan ayat, “Dan demi hari yang dijanjikan,” ialah Hari Kiamat iaitu hari Jumaat. Tiada suatu hari pun yang matahari terbit dan terbenam padanya lebih utama daripada hari Jumaat. Pada hari itu terdapat saat-saat doa dikabulkan (mustajab), saat yang tidak sekali-kali seorang hamba yang muslim menemui saat tersebut, lalu dia meminta kebaikan melainkan Allah Ta’ala mengabulkannya. Dan tidaklah dia meminta perlindungan daripada sesuatu kejahatan melainkan Allah Ta’ala melindunginya. Adapun ayat, “Dan yang disaksikan,” itu adalah hari ‘Arafah.

(HR. At-Tabari)