Teguran kepada Manusia yang Derhaka kepada Allah Swt
Surah 82: Al-Infitar (6 – 12)
Ayat 6
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلْإِنسَـٰنُ مَا غَرَّكَ بِرَبِّكَ ٱلْكَرِيمِ
Wahai manusia, apakah yang telah memperdayakan kamu (berbuat derhaka) terhadap Rabbmu yang Maha Pemurah?
Ayat 7
ٱلَّذِى خَلَقَكَ فَسَوَّىٰكَ فَعَدَلَكَ
Yang telah menciptakan kamu lalu menyempurnakan kejadianmu dan menjadikan (susunan tubuh)mu seimbang.
Ayat 8
فِىٓ أَىِّ صُورَةٍ مَّا شَآءَ رَكَّبَكَ
Dalam bentuk apa sahaja yang dikehendaki, Dia menyusun tubuhmu.
Ayat 6-8 ini mengandungi ancaman dan peringatan daripada Allah Swt. Apakah yang menyebabkan manusia melupakan tanggungjawab mereka daripada beribadah kepada-Nya sedangkan Dia Amat Pemurah dan telah memuliakan mereka.
Daripada Busr bin Jihasy Al-Qurasyi, bahawa pada suatu hari Rasulullah saw meludah di tapak tangannya, lalu baginda meletakkan jarinya di atasnya kemudian bersabda:
“Allah Swt berfirman, ‘Wahai anak Adam, bagaimana boleh kamu melawan-Ku, padahal Aku telah menciptakan kamu daripada yang seperti ini (ludah Nabi di tapak tangannya).’ Hingga bila Aku menyempurnakan dirimu dan menyeimbangkan susunan tubuhmu, lalu kamu berjalan dengan pakaian yang sombong, padahal bumi akan menguburkanmu. Kamu mengumpulkan harta dan menolak untuk bersedekah, hingga jika roh telah sampai ke kerongkong barulah kamu berkata, ‘Saya akan bersedekah.’ Bilakah waktu akan bersedekah itu?”
(HR. Ahmad. Diriwayatkan juga oleh Ibnu Majah)
Ayat 9
كَلَّا بَلْ تُكَذِّبُونَ بِٱلدِّينِ
Bukan hanya derhaka sahaja, bahkan kamu mendustakan Hari Pembalasan.
Sesungguhnya yang mendorong manusia berani menentang Tuhan Yang Maha Pemurah dan membalas-Nya dengan perbuatan-perbuatan derhaka, tiada lain adalah disebabkan hati mereka mendustakan adanya Hari Kebangkitan, Hari Perhitungan dan Hari Pembalasan.
Ayat 10
وَإِنَّ عَلَيْكُمْ لَحَـٰفِظِينَ
Padahal sesungguhnya bagi kamu ada (malaikat-malaikat) yang mengawasi (pekerjaanmu).
Ayat 11
كِرَامًا كَـٰتِبِينَ
Yang mulia (di sisi Allah) dan yang mencatat (pekerjaan-pekerjaanmu itu).
Ayat 12
يَعْلَمُونَ مَا تَفْعَلُونَ
Mereka mengetahui apa yang kamu kerjakan.
Allah Swt menyatakan bahawa di sisi manusia ada para malaikat yang mulia yang sentiasa mengawasi segala perbuatan mereka. Oleh itu, manusia diingatkan agar berhati-hati dengan segala amalan kerana malaikat akan mencatatnya.