Urusan Roh dan Catatan Amal Setiap Manusia Akan Dibentangkan
Surah 81: At-Takwir (7 – 14)
Ayat 7
وَإِذَا ٱلنُّفُوسُ زُوِّجَتْ
Dan apabila roh-roh dipertemukan (dengan tubuh).
Dalam ayat 7-13 pula disebutkan enam perkara yang akan terjadi selepas tiupan sangkakala kedua, iaitu selepas semua makhluk dihidupkan kembali. Kesemuanya ini mengukuhkan lagi bukti tentang adanya Hari Kebangkitan dan Hari Pembalasan yang diingkari oleh kaum musyrikin.
▪️ Roh dipertemukan dengan jasad.
Daripada An-Nu’man bin Basyir, dia berkata bahawa Rasulullah saw bersabda:
“(Firman-Nya), ‘dan apabila roh-roh dipertemukan dengan tubuh’ (At-Takwir: 7) iaitu orang-orang yang sepadan, setiap orang dipasangkan dengan setiap kaum yang melakukan perbuatan sama dengan perbuatannya. Hal ini kerana Allah telah berfirman, ‘dan kamu menjadi tiga golongan. Iaitu golongan kanan. Alangkah mulianya golongan kanan itu. Dan golongan kiri. Alangkah sengsaranya golongan kiri itu. Dan orang-orang yang paling dahulu beriman, merekalah yang paling dahulu (masuk syurga),’” (Al-Waqi’ah 56:7-10). Nabi saw bersabda, “Mereka adalah orang- orang yang sepadan.”
(HR. Ibnu Abi Hatim)
Ayat 8
وَإِذَا ٱلْمَوْءُۥدَةُ سُئِلَتْ
Dan apabila bayi-bayi perempuan yang ditanam hidup-hidup ditanya.
Ayat 9
بِأَىِّ ذَنۢبٍ قُتِلَتْ
Kerana dosa apa dia dibunuh.
▪️ Bayi-bayi perempuan yang dibunuh kerana aib dan takut malu.
Anak-anak perempuan yang dibunuh itu akan ditanya, apakah dosa mereka sehingga mereka dibunuh sedangkan mereka tidak mempunyai apa-apa dosa. Pertanyaan ini dihadapkan kepada yang dianiaya di hadapan orang yang menganiaya dan menguburkannya. Hal ini akan terasa lebih berat dan besarnya dosa yang telah dilakukan oleh pelakunya.
Ini kerana orang-orang Arab Jahiliyyah dahulu biasa menguburkan anak-anak perempuan mereka hidup-hidup kerana takut dicela oleh orang lain.
Ayat 10
وَإِذَا ٱلصُّحُفُ نُشِرَتْ
Dan apabila lembaran catatan amal dibuka.
▪️ Catatan amal diperlihatkan.
Apabila catatan amal diperlihatkan dan dibentangkan untuk diperhitungkan pada saat hisab.
Ayat 11
وَإِذَا ٱلسَّمَآءُ كُشِطَتْ
Dan apabila langit dilenyapkan.
▪️ Langit dilenyapkan.
Apabila langit terbelah dan pecah, hilanglah ia tanpa meninggalkan kesan.
Ayat 12
وَإِذَا ٱلْجَحِيمُ سُعِّرَتْ
Dan apabila Neraka Jahim dinyalakan.
▪️ Neraka dinyalakan.
Apabila api neraka dinyalakan sedahsyat-dahsyatnya.
Ayat 13
وَإِذَا ٱلْجَنَّةُ أُزْلِفَتْ
Dan apabila syurga didekatkan.
▪️ Syurga didekatkan.
Syurga akan didekatkan kepada orang-orang bertakwa semasa mereka menunggu di Mahsyar. Ini merupakan satu kemuliaan dan penghormatan kepada orang-orang bertakwa.
Ayat 14
عَلِمَتْ نَفْسٌ مَّآ أَحْضَرَتْ
Maka tiap-tiap diri akan mengetahui apa yang telah dikerjakannya.
Ayat ini merupakan jawapan kepada semua kejadian di atas. Ketika itulah manusia akan mengetahui sama ada amalan mereka selama ini akan menghantarkan mereka ke syurga ataupun ke neraka.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Pada hari ketika tiap-tiap diri mendapati segala kebajikan dihadapkan (di mukanya), begitu (juga) kejahatan yang telah dikerjakannya, dia ingin sekiranya antara dia dengan hari itu ada masa yang jauh, dan Allah memperingatkan kamu terhadap seksaan-Nya…………….”
Ali-‘Imran 3:30