Sumpah Allah Swt tentang Kebenaran Rasulullah saw dan Al-Quran yang Diwahyukan Kepadanya
Surah 81: At-Takwir (15 – 29)
Ayat 15
فَلَآ أُقْسِمُ بِٱلْخُنَّسِ
Sungguh, Aku bersumpah dengan bintang-bintang,
Ayat 16
ٱلْجَوَارِ ٱلْكُنَّسِ
Yang beredar dan terbenam.
Allah Swt bersumpah dengan menyebut bintang-bintang yang timbul dan tenggelam. Bintang-bintang adalah daripada keluarga matahari (satelit) yang terbesar yang beredar mengelilingi matahari menurut kadar putaran tertentu. Kadang-kadang bintang-bintang ini tidak kelihatan kerana dilindungi oleh cahaya matahari dan apabila cahaya matahari mulai terbenam barulah cahaya bintang-bintang itu kelihatan.
Ada juga pendapat mengatakan bahawa Allah Swt bersumpah dengan menyebutkan bintang-bintang yang berkelip-kelip pada waktu malam dan menghilang pada waktu siang.
Ayat 17
وَٱلَّيْلِ إِذَا عَسْعَسَ
Demi malam apabila telah hampir meninggalkan gelapnya.
Ayat 18
وَٱلصُّبْحِ إِذَا تَنَفَّسَ
Dan demi subuh apabila fajarnya mulai menyingsing.
Dalam ayat 17-18 ini pula, Allah Swt bersumpah dengan waktu malam yang hampir berpisah daripada kegelapannya, dan waktu subuh apabila mulai menampakkan sinarnya sehingga menjadi terang-benderang.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Demi malam apabila menutupi (cahaya siang). Demi siang apabila terang benderang.”
Al-Lail 92:1-2
Ayat 19
إِنَّهُۥ لَقَوْلُ رَسُولٍ كَرِيمٍ
Sesungguhnya (Al-Quran) itu benar-benar firman (Allah yang dibawa oleh) utusan yang mulia (Jibril).
Allah Swt menegaskan bahawa Al-Quran yang mulia ini adalah benar-benar wahyu daripada-Nya, disampaikan kepada Rasulullah saw oleh malaikat yang mulia, terhormat, berakhlak baik, lagi indah penampilannya iaitu Jibril as.
Ayat 20
ذِى قُوَّةٍ عِندَ ذِى ٱلْعَرْشِ مَكِينٍ
Yang mempunyai kekuatan, yang mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi (Allah) yang mempunyai ‘Arasy.
Ayat 21
مُّطَاعٍ ثَمَّ أَمِينٍ
Yang ditaati di sana (di alam malaikat) lagi dipercayai.
Jibril as mempunyai kedudukan dan pangkat yang tinggi di sisi Allah Swt dan merupakan malaikat yang dihormati, didengari kata-katanya lagi ditaati oleh penghuni-penghuni alam langit.
Jibril as ini bukanlah malaikat biasa tetapi termasuk pemimpin yang dimuliakan di kalangan para malaikat, mempunyai tanggungjawab yang besar dan dipilih untuk memikul tugas yang agung, iaitu membawa wahyu Allah Swt untuk disampaikan kepada Rasulullah saw.
Jibril as juga mendapat kepercayaan Allah Swt daripada kalangan para malaikat. Ini merupakan suatu penghargaan yang sangat besar dan menunjukkan bahawa ketika Allah Swt menyucikan hamba dan rasul-Nya daripada kalangan malaikat iaitu Jibril as, Dia juga menyucikan hamba dan rasul-Nya daripada kalangan manusia, iaitu Nabi Muhammad saw.
Ayat 22
وَمَا صَاحِبُكُم بِمَجْنُونٍ
Dan temanmu (Muhammad) itu sekali-kali bukanlah orang yang gila.
Allah Swt juga menegaskan bahawa Rasulullah saw adalah utusan-Nya dan segala ucapannya adalah wahyu daripada-Nya, bukan perkataan orang gila.
Ayat 23
وَلَقَدْ رَءَاهُ بِٱلْأُفُقِ ٱلْمُبِينِ
Dan sungguh, dia (Muhammad) telah melihat (Jibril) di ufuk yang terang.
Kemudian Allah Swt menegaskan bahawa Rasulullah saw memang melihat Jibril as dengan jelas, bukan samar-samar atau khayalan baginda sahaja.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Yang diajarkan kepadanya oleh (Jibril) yang sangat kuat, yang mempunyai akal yang cerdas dan (Jibril itu) menampakkan diri dengan rupa yang sebenar, sedang dia berada di ufuk yang tinggi. Kemudian dia mendekati (Muhammad), lalu bertambah dekat lagi, maka jadilah dia dekat (pada Muhammad) sejarak) dua hujung busur panah atau lebih dekat (lagi). Lalu disampaikannya wahyu kepada hamba-Nya (Muhammad) apa yang telah diwahyukan.”
An-Najm 53:5-10
Ayat 24
وَمَا هُوَ عَلَى ٱلْغَيْبِ بِضَنِينٍ
Dan dia (Muhammad) bukanlah seorang yang bakhil dalam menerangkan perkara-perkara yang ghaib.
Allah Swt menjelaskan sifat Nabi Muhammad saw bahawa baginda bukanlah orang yang menyembunyikan apa yang diturunkan-Nya kepadanya.
Ini bermaksud Rasulullah saw bukanlah orang yang bakhil untuk menerangkan apa yang diturunkan Allah Swt kepadanya, bahkan baginda menerangkan dan menyampaikannya kepada sesiapa sahaja.
Ayat 25
وَمَا هُوَ بِقَوْلِ شَيْطَـٰنٍ رَّجِيمٍ
Dan (Al-Quran) itu bukanlah perkataan syaitan yang terkutuk.
Kemudian Allah Swt menjelaskan bahawa Al-Quran itu bukanlah ucapan syaitan yang terkutuk. Syaitan tidak akan mampu membawanya, tidak menginginkannya dan tidak membawa Al-Quran.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan (Al-Quran) itu tidaklah dibawa turun oleh syaitan-syaitan. Dan tidaklah patut mereka membawa turun (Al-Quran itu), dan mereka pun tidak akan kuasa. Sesungguhnya mereka benar-benar dijauhkan daripada mendengarkannya.”
Asy-Syu’ara’ 26:210-212
Ayat 26
فَأَيْنَ تَذْهَبُونَ
Maka ke manakah kamu akan pergi?
Ini adalah ayat yang penting dalam surah ini. Allah Swt bertanya kepada manusia, selepas segala maklumat dan dalil telah diberikan, adakah mereka akan mengikuti kebenaran dan Kitabullah ataupun masih mahu terus berada dalam kegelapan?
Ayat 27
إِنْ هُوَ إِلَّا ذِكْرٌ لِّلْعَـٰلَمِينَ
(Al-Quran) Itu tiada lain adalah peringatan bagi seluruh alam.
Ayat 28
لِمَن شَآءَ مِنكُمْ أَن يَسْتَقِيمَ
Iaitu bagi sesiapa di antara kamu yang mahu menempuh jalan yang lurus.
Sesiapa yang menginginkan petunjuk, dia hendaklah berpegang kepada Al-Quran, kerana Al-Quran merupakan ajaran yang selamat dan pemberi petunjuk baginya serta tidak ada petunjuk selainnya yang lebih selamat.
Menurut Sufyan At-Thauri yang meriwayatkan daripada Sulaiman bin Musa, ketika Abu Jahal mendengar ayat ini, maka dia berkata, “Perkara itu terserah kepada kami. Jika kami mahu maka kami akan lurus dan jika tidak, maka kami tidak akan lurus.”
Ayat 29
وَمَا تَشَآءُونَ إِلَّآ أَن يَشَآءَ ٱللَّهُ رَبُّ ٱلْعَـٰلَمِينَ
Dan kamu tidak dapat menempuhnya (jalan) itu kecuali apabila dikehendaki oleh Allah, Rabb seluruh alam.
Sebagai penutup surah ini, Allah Swt menyatakan seorang hamba itu tidaklah melakukan kebaikan kecuali dengan taufik-Nya dan tidak juga melakukan keburukan kecuali kerana kesesatannya.
Ayat ini merupakan bantahan Allah Swt terhadap perkataan Abu Jahal. Sesungguhnya tidak ada yang boleh mengikuti jalan yang lurus kecuali orang yang dikehendaki-Nya. Sekiranya Allah tidak menghendaki, tentu dia tidak dapat berada di atas jalan yang lurus. Allah Swt adalah Rabb semesta alam sedangkan manusia adalah hamba-Nya sehingga tiada kehendak-Nya yang boleh didahului oleh kehendak seorang hamba.