Pelbagai Nikmat yang Dikurniakan oleh Allah Swt kepada Manusia
Surah 80: ‘Abasa (24 – 32)
Ayat 24
فَلْيَنظُرِ ٱلْإِنسَـٰنُ إِلَىٰ طَعَامِهِۦٓ
Maka hendaklah manusia itu memerhatikan makanannya.
Dalam ayat ini dan ayat-ayat berikutnya terdapat penjelasan tentang nikmat-nikmat yang dikurniakan oleh Allah Swt kepada manusia. Oleh itu, manusia diminta supaya melihat dan memikirkannya dengan teliti tentang bagaimana dan dari manakah datangnya makanan yang mereka nikmati.
Ayat 25
اَنَّا صَبَبْنَا ٱلْمَآءَ صَبًّا
Sesungguhnya Kami telah mencurahkan air (dari langit) dengan curahan (yang menakjubkan).
Sesungguhnya Allah Swt telah menurunkan air dari langit ke bumi dengan banyak dan Dia mengingatkan manusia supaya memikirkan dari mana datangnya air itu.
Ayat 26
ثُمَّ شَقَقْنَا ٱلْأَرْضَ شَقًّا
Kemudian Kami membelah bumi dengan sebaik-baiknya.
Allah Swt telah menjadikan bumi merekah dan gembur supaya air mudah meresap ke dalamnya. Dia juga menjadikan bumi mudah diairi agar tanam-tanaman dapat tumbuh dengan sempurna.
Ayat 27
فَأَنۢبَتْنَا فِيهَا حَبًّا
Lalu di sana Kami tumbuhkan biji-bijian.
Maka tumbuhlah biji-bijian tersebut dengan pelbagai jenis tumbuhan yang berbeza dari segi saiz, bentuk, warna dan rasa yang memberikan manfaat kepada makhluk-Nya sebagai makanan, perbuatan dan sebagainya.
Ayat 28
وَعِنَبًا وَقَضْبًا
Dan anggur serta sayur-sayuran.
Kemudian Allah Swt menyebutkan beberapa jenis tumbuhan yang khusus antaranya:
▪️ Anggur dan sayur-sayuran seperti anggur, gandum, beras dan jagung dan sebagainya.
Ayat 29
وَزَيْتُونًا وَنَخْلًا
Dan zaitun serta pohon kurma.
▪️ Pohon zaiton dan pohon kurma.
Buah zaitun dan kurma adalah antara jenis makanan yang mewah. Buah zaitun cukup terkenal dan dapat dijadikan sebagai makanan tambahan, begitu juga minyaknya. Bahkan minyaknya dapat digunakan untuk menyapu tubuh dan juga sebagai bahan bakar untuk menyalakan api bagi mendapatkan cahaya.
Buah kurma juga mempunyai banyak kegunaannya dan boleh digunakan dengan pelbagai cara.
Allah Swt menyebut jenis-jenis makanan ini kerana makanan inilah yang dikenali oleh masyarakat Arab pada waktu itu dan dekat dengan hati mereka. Ini kerana kebiasaannya Dia akan menyebut perkara-perkara yang dikenali oleh penerima pertama wahyu ini supaya mereka mudah mengaitkannya dengan diri mereka.
Ayat 30
وَحَدَآئِقَ غُلْبًا
Dan kebun-kebun yang subur.
Ayat 31
وَفَـٰكِهَةً وَأَبًّا
Dan buah-buahan serta rumput-rumput.
▪️ Kebun-kebun.
Allah Swt menjadikan kebun-kebun yang pohonnya besar, hijau subur dan lebat yang berupaya mengeluarkan buah yang lebat.
Maksud حَدائِقَ adalah kebun yang dijaga dan di dalamnya terdapat banyak tumbuh-tumbuhan yang menghijau lagi lebat.
Ini adalah sesuatu yang amat menarik perhatian orang Arab kerana secara umumnya, mereka tidak mempunyai banyak tempat seperti itu, disebabkan mereka hidup di padang pasir yang gersang.
Ayat 32
مَّتَـٰعًا لَّكُمْ وَلِأَنْعَـٰمِكُمْ
Untuk kesenanganmu dan untuk binatang-binatang ternakan.
Semua nikmat kurniaan Allah Swt yang telah disebutkan ini adalah untuk memberi manfaat kepada manusia dan binatang-binatang ternakan mereka.
Allah Swt menyebutkan tentang nikmat-nikmat ini untuk menjadikannya sebagai bukti yang menunjukkan bahawa jasad-jasad yang telah hancur, tulang belulang yang rapuh dan bercerai-berai dimakan tanah akan dihidupkan kembali. Ini samalah sebagaimana Dia menghidupkan tumbuh-tumbuhan dari tanah yang tandus.