Surah 80: ‘Abasa (17 – 23)

Peringatan Allah Swt kepada Manusia yang Mengingkari Hari Kebangkitan

Surah 80: ‘Abasa (17 – 23)


Ayat 17

قُتِلَ ٱلْإِنسَـٰنُ مَآ أَكْفَرَهُۥ

Binasalah manusia yang ingkar, alangkah amat sangat kekafirannya!

Ini berupa ungkapan laknat dan teguran yang amat berat ditujukan kepada manusia yang mendustakan risalah-Nya dan Hari Kebangkitan. Mereka mendengar peringatan daripada Allah Swt dan rasul-Nya, namun mereka mendustakannya malah mengingkarinya tanpa ilmu pengetahuan serta dalil yang benar.

Ayat 18

مِنْ أَىِّ شَىْءٍ خَلَقَهُۥ

Daripada apakah Dia (Allah) menciptakannya?

Ayat 19

مِن نُّطْفَةٍ خَلَقَهُۥ فَقَدَّرَهُۥ

Daripada setitis mani, Dia menciptakannya lalu menentukannya.

Oleh itu, Allah Swt mengingatkan manusia bahawa mereka diciptakan daripada sesuatu yang hina dan Dia mampu untuk mengembalikan mereka hidup semula sebagaimana pada saat Dia menciptakan mereka pada kali pertama. Dia juga menentukan ajal, rezeki dan amalan mereka berbahagia ataupun sengsara.

Ayat 20

ثُمَّ ٱلسَّبِيلَ يَسَّرَهُۥ

Kemudian Dia memudahkan jalannya.

Ada beberapa pendapat tentang ayat ini iaitu:

▪️  Al-‘Aufi daripada Ibnu ‘Abbas ra mengatakan maksudnya ialah, kemudian Allah Swt memudahkannya keluar daripada rahim ibunya. Hal yang sama telah dikatakan oleh ‘Ikrimah, Ad-Dahhak, Abu Saleh, Qatadah dan As-Saddi, kemudian dipilih oleh Ibnu Jarir.

▪️  Mujahid mengatakan bahawa ayat ini sama maksudnya dengan firman Allah Swt dalam ayat 3 surah Al-Insan iaitu, “Sesungguhnya Kami telah menunjukinya jalan yang lurus, ada yang bersyukur dan ada pula yang kafir.”

▪️   Al-Hasan dan Ibnu Zaid mengatakan Allah Swt telah menjelaskan kepadanya jalan yang lurus dan memudahkannya untuk mengamalkannya. Ini adalah pendapat yang paling kuat. Hanya Allah-lah Yang Maha Mengetahui.

Ayat 21

ثُمَّ أَمَاتَهُۥ فَأَقْبَرَهُۥ

Kemudian Dia mematikannya dan memasukkannya ke dalam kubur.

Allah Swt menyatakan bahawa Dia-lah juga yang akan mematikan mereka, lalu mereka dikuburkan di dalam tanah sebagai bentuk penghormatan kerana tidaklah mayat mereka dibiarkan di atas tanah sehingga menjadi makanan binatang dan sebagainya.

Ayat 22

ثُمَّ إِذَا شَآءَ أَنشَرَهُۥ

Kemudian jika Dia menghendaki, Dia membangkitkannya kembali.

Seterusnya, Allah Swt akan menghidupkan manusia pada Hari Kiamat untuk dihisab dan diberikan balasan masing-masing.

Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda:

“Setiap anak Adam akan hancur kecuali tulang ekornya. Daripadanya dia diciptakan dan daripadanya (pula) dia disusun kembali (menjadi hidup).”

(HR. Al-Bukhari dan Muslim)

Ayat 23

كَلَّا لَمَّا يَقْضِ مَآ أَمَرَهُۥ

Sekali-kali tidak, manusia itu belum melaksanakan apa yang Dia (Allah) perintahkan kepadanya.

Ini adalah peringatan dan penekanan daripada Allah Swt agar manusia tidak meneruskan segala perbuatan yang membawa kepada dosa. Dia menyatakan bahawa hingga ketika ini masih ramai yang belum menjalankan tanggungjawab mereka sepenuhnya sebagai hamba-Nya.

Namun Dia Maha Pengasih, masih ada lagi harapan untuk bertaubat dan berubah selagi nyawa belum sampai di kerongkong.