Surah 8: Al-Anfal (67 – 71)

Hukum Berkaitan Tawanan Perang

Surah 8: Al-Anfal (67 – 71)


Ayat 67

مَا كَانَ لِنَبِىٍّ أَن يَكُونَ لَهُۥٓ أَسْرَىٰ حَتَّىٰ يُثْخِنَ فِى ٱلْأَرْضِ ۚ تُرِيدُونَ عَرَضَ ٱلدُّنْيَا وَٱللَّهُ يُرِيدُ ٱلْـَٔاخِرَةَ ۗ وَٱللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Tidaklah patut bagi seseorang Nabi mempunyai orang-orang tawanan sebelum dia dapat membunuh sebanyak-banyaknya di muka bumi. Kamu menghendaki harta benda dunia (yang tidak kekal), sedang Allah menghendaki (untuk kamu pahala) akhirat. Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Ayat ini sebagai teguran terhadap tindakan Rasulullah saw menerima tebusan daripada kaum musyrikin untuk membebaskan orang-orang mereka yang telah ditawan oleh kaum muslimin. Baginda condong kepada pendapat kebanyakan para sahabat yang menganjurkan supaya para tawanan itu tidak dibunuh, sebaiknya diterima sahaja wang tebusan daripada mereka dan hasil tebusan itu dapat digunakan untuk kepentingan perjuangan dan persiapan perang apabila musuh menyerang kembali.

Oleh itu, Allah Ta’ala menegaskan dalam ayat ini bahawa tidak patut bagi seorang Nabi dalam suatu peperangan menahan para tawanan dan menunggu keputusan, apakah mereka akan dibebaskan begitu sahaja atau dengan menerima tebusan daripada keluarga mereka kecuali bila keadaan pengikut-pengikutnya sudah kuat, kedudukannya sudah kukuh dan pihak musuh tidak berdaya lagi.

Ini kerana kaum Muslimin sebelum peperangan Badar, mereka masih lemah dan kekuatan mereka masih terlalu kecil dibandingkan dengan kekuatan kaum musyrikin. Sekiranya para tawanan itu tidak dibunuh, malah dibebaskan kembali meskipun dengan membayar tebusan, sedang mereka adalah pemuka dan pemimpin kaumnya, tentulah mereka akan merancang untuk berperang lagi, dan mengumpulkan kekuatan yang besar untuk menyerang kaum muslimin. Hal ini sangat berbahaya bagi kedudukan kaum muslimin yang masih lemah. Sepatutnya mereka tidak ditawan, malah dibunuh di medan peperangan, sehingga dengan tewasnya para pembesar dan pemimpin itu kaum musyrikin akan berasa takut dan tidak berani lagi menyerang kaum muslimin.

Imam Ahmad meriwayatkan daripada Anas bin Malik ra, dia berkata, “Pada satu kesempatan Rasulullah saw bermesyuarat dengan para sahabat berkaitan dengan tawanan perang Badar. Lalu Baginda bersabda, ‘Sesungguhnya Allah swt telah memenangkan kalian terhadap mereka.’ Maka bangunlah ‘Umar bin Al-Khattab, dia berkata, ‘Jatuhkanlah hukuman mati ke atas mereka.’ Rasulullah saw tidak mengendahkan cadangan ‘Umar, kemudian Baginda mengulangi pernyataannya, ‘Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Allah swt telah memenangkan kalian terhadap mereka dan pada waktu dahulu mereka itu adalah kaum kamu dan juga saudara-saudara kamu.’ Maka bangunlah ‘Umar bin Al-Khattab sekali lagi, dia berkata, ‘Jatuhkanlah hukuman mati ke atas mereka.’ Rasulullah saw berpaling daripada ‘Umar. Kemudian Baginda mengulangi sekali lagi pernyataannya. Kemudian bangunlah Abu Bakar As-Siddiq dan dia berkata, “Wahai Rasulullah, kami berpendapat engkau maafkanlah mereka dan (dengan syarat) engkau menerima tebusan daripada mereka.’” Anas berkata, “Maka hilanglah kesedihan daripada wajah Rasulullah saw, Baginda memaafkan mereka dan menerima tebusan daripada mereka.” Kemudian Anas berkata lagi, “Setelah itu Allah menurunkan ayat, ‘Sekiranya tidak ada ketetapan yang terdahulu daripada Allah, nescaya kamu ditimpa seksaan yang besar kerana tebusan yang kamu ambil.’”

Ayat 68

لَّوْلَا كِتَـٰبٌ مِّنَ ٱللَّهِ سَبَقَ لَمَسَّكُمْ فِيمَآ أَخَذْتُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ

Kalaulah tidak (kerana) adanya ketetapan dari Allah yang telah terdahulu, tentulah kamu ditimpa azab seksa yang besar disebabkan (penebus diri) yang kamu ambil (dari orang-orang tawanan) itu.

Maksud ayat di atas adalah sekiranya tidak ada ketetapan berdasarkan ilmu Allah Swt tentang halalnya harta rampasan perang bagi umat ini (Nabi saw dan kaum muslimin), nescaya mereka akan ditimpa seksaan yang besar sebagai balasan kerelaan mereka atas tebusan yang telah mereka ambil daripada tawanan perang Badar (rujuk hadis dalam huraian ayat 67 di atas).

Ayat 69

فَكُلُوا۟ مِمَّا غَنِمْتُمْ حَلَـٰلًا طَيِّبًا ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Maka makanlah dari apa yang kamu telah dapat (dalam peperangan) itu, sebagai benda yang halal lagi baik, serta bertakwalah kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Hal ini termasuk kelembutan Allah Swt terhadap orang-orang mukmin yang ikut dalam peperangan Badar. Allah Swt membenarkan mereka memakan harta rampasan yang mereka peroleh dan juga wang tebusan yang mereka ambil daripada tawanan perang sebagai nikmat daripada-Nya. Dia juga mengingatkan mereka agar bertakwa kepada-Nya dengan menjalankan semua perintah-Nya dan Rasul-Nya serta menjauhi kesemua larangan-Nya.

Sesungguhnya Allah Maha Pengampun kepada hamba-hamba-Nya yang bertaubat dan Maha Penyayang kepada hamba-hamba-Nya yang beriman. Dia tidak akan menyeksa mereka setelah mereka bertaubat atas dosa-dosa mereka, bahkan Dia memberikan rahmat-Nya kepada mereka di dunia dan akhirat.

Ayat 70

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِىُّ قُل لِّمَن فِىٓ أَيْدِيكُم مِّنَ ٱلْأَسْرَىٰٓ إِن يَعْلَمِ ٱللَّهُ فِى قُلُوبِكُمْ خَيْرًا يُؤْتِكُمْ خَيْرًا مِّمَّآ أُخِذَ مِنكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ۗ وَٱللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Wahai Nabi, katakanlah kepada orang-orang tawanan yang ada dalam tangan kamu: “Jika Allah mengetahui ada kebaikan (iman) dalam hati kamu, nescaya Dia akan memberi kepada kamu (balasan) yang lebih baik daripada (harta benda penebus diri) yang telah diambil dari kamu, dan Dia akan mengampunkan dosa kamu; kerana Allah Maha Pengampun, lagi maha Mengasihani.

Allah Ta’ala memerintahkan Rasul-Nya supaya mengatakan kepada para tawanan yang berasa berat hati mengeluarkan harta untuk menebus diri mereka, bahawa Dia akan menggantikan harta yang mereka serahkan itu dengan yang lebih baik dan lebih bersih jika mereka beriman kepada-Nya. Dia juga akan mengampuni segala dosa mereka termasuk dosa syirik, memusuhi Islam agama yang diredhai-Nya, memusuhi kaum muslimin dan melakukan pelbagai macam tindakan yang dimurkai-Nya. Ini kerana Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang terhadap hamba-hamba-Nya.

Menurut sesetengah riwayat, ayat ini turun berkenaan dengan para tawanan perang Badar, yang antara mereka adalah Al-‘Abbas bin Abdul Muttalib bapa saudara Rasulullah saw. Ketika dia diminta menebus dirinya, dia mengaku bahawa dirinya adalah sebagai muslim sebelum peristiwa tersebut, namun mereka (para sahabat) tidak menggugurkan tebusan terhadapnya, kerana pada zahirnya dia adalah tawanan perang daripada pihak tentera musyrikin. Maka Allah Swt menurunkan ayat-ayat-Nya untuk menenangkan hatinya dan menenangkan hati orang-orang yang sepertinya.

Allah Swt memenuhi janji-Nya, iaitu Dia menjadikan Al-‘Abbas dan yang lainnya memperoleh harta yang banyak selepas mereka memeluk agama Islam. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik ra:

Pernah suatu ketika Nabi saw memperoleh harta ghanimah yang banyak, maka Al-‘Abbas datang, lalu Rasulullah saw memerintahkan kepadanya mengambil harta itu dengan bajunya yang mampu diangkutnya. Al-‘Abbas cuba mengambilnya dan hampir sahaja dia tidak mampu mengangkatnya. Akhirnya beliau hanya mengambil harta yang termampu dibawa bersamanya.

(HR. Al-Baihaqi)

Ayat 71

وَإِن يُرِيدُوا۟ خِيَانَتَكَ فَقَدْ خَانُوا۟ ٱللَّهَ مِن قَبْلُ فَأَمْكَنَ مِنْهُمْ ۗ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Dan jika mereka (orang-orang tawanan itu) bertujuan hendak melakukan khianat kepadamu, maka sesungguhnya mereka telahpun melakukan khianat kepada Allah (dengan kekufuran mereka) sebelum itu, lalu Allah menjadikan (engkau) mengalahkan dan menundukkan mereka; kerana Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Allah Ta’ala memperingatkan dan menggembirakan hati Rasulullah saw  bahawa jika ada di antara para tawanan itu mengkhianati janji dengan kembali kufur atau menyerang kaum muslimin, maka Baginda tidak perlu berasa kecewa dan bersedih hati kerana Dia akan memberikan kemenangan kepada kaum muslimin, seperti yang terjadi pada perang Badar, padahal kaum musyrikin itu lebih ramai jumlahnya dan lebih lengkap persenjataannya.

Allah Maha Mengetahui segala apa yang tersimpan dalam hati mereka, dan Maha Bijaksana dalam memberikan balasan terhadap apa yang dilakukan oleh manusia, yang baik dibalas dengan pahala dan yang buruk dibalas dengan seksaan.