Surah 8: Al-Anfal (63 – 66)

Dorongan untuk Berperang

Surah 8: Al-Anfal (63 – 66)


Ayat 63

وَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ ۚ لَوْ أَنفَقْتَ مَا فِى ٱلْأَرْضِ جَمِيعًا مَّآ أَلَّفْتَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ وَلَـٰكِنَّ ٱللَّهَ أَلَّفَ بَيْنَهُمْ ۚ إِنَّهُۥ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Dan (Dia-lah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Sebelum Rasulullah saw berhijrah ke Madinah, penduduknya yang terdiri daripada suku ‘Aus dan Khazraj selalu bermusuh-musuhan. Namun setelah mereka masuk Islam, mereka tidak lagi menjadi musuh. Ini kerana Allah Swt menghentikan permusuhan tersebut dengan mempersatukan hati mereka dengan cahaya keimanan. Firman Allah Swt:

“…………….dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara, dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.”

Ali ‘Imran 3:103

Ayat ini juga menunjukkan bahawa menyatukan hati-hati yang keras di kalangan orang-orang Arab merupakan salah satu mukjizat Rasulullah saw. Mereka adalah manusia yang sangat bersemangat, emosional dan hidup bermusuhan. Namun Allah Ta’ala menyatukan hati-hati mereka dengan keimanan sehingga ada di antara mereka yang berperang melawan ayah sendiri dan saudara mara kerana menegakkan agama Islam.

Ayat 64

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِىُّ حَسْبُكَ ٱللَّهُ وَمَنِ ٱتَّبَعَكَ مِنَ ٱلْمُؤْمِنِينَ

Wahai Nabi, cukuplah Allah menjadi Penolongmu, dan juga pengikut-pengikutmu dari orang-orang yang beriman.

Nabi Muhammad saw diingatkan iaitu cukuplah Allah Swt dan orang-orang yang mengikuti Baginda daripada kalangan para mukmin sebagai pembantu baginda untuk berperang melawan musuh dan menghadapi mereka dalam medan-medan perang. Dia menyatakan bahawa Dia-lah yang akan memberikan kecukupan kepada mereka, menolong melawan musuh meskipun jumlah musuh lebih ramai daripada jumlah kaum muslimin.

Allah-lah yang menyatukan hati mereka kerana tidak ada yang mampu membolak-balikkan hati selain Dia. Dia Maha Perkasa sehingga tidak mengecewakan orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya dan Dia Maha Bijaksana dalam setiap perbuatan-Nya.

Ayat 65

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِىُّ حَرِّضِ ٱلْمُؤْمِنِينَ عَلَى ٱلْقِتَالِ ۚ إِن يَكُن مِّنكُمْ عِشْرُونَ صَـٰبِرُونَ يَغْلِبُوا۟ مِا۟ئَتَيْنِ ۚ وَإِن يَكُن مِّنكُم مِّا۟ئَةٌ يَغْلِبُوٓا۟ أَلْفًا مِّنَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لَّا يَفْقَهُونَ

Wahai Nabi, peransangkanlah orang-orang yang beriman itu untuk berperang. Jika ada di antara kamu dua puluh yang sabar, nescaya mereka dapat menewaskan dua ratus orang (dari pihak musuh yang kafir itu); dan jika ada di antara kamu seratus orang, nescaya mereka dapat menewaskan seribu orang dari golongan yang kafir, disebabkan mereka (yang kafir itu) orang-orang yang tidak mengerti.

Allah Ta’ala memerintahkan Rasul-Nya menaikkan semangat kaum muslimin untuk berperang menghadapi musuh dan menegaskan bahawa kekuatan pasukan Islam yang benar-benar beriman dan penuh tawakkal kepada-Nya itulah yang akan dapat mengalahkan kekuatan musuh meskipun bilangan musuh berpuluh kali ganda.

Kemudian Allah Ta’ala menyatakan sekiranya pasukan orang-orang Islam hanya terdiri daripada dua puluh orang tentera yang sabar, mereka dapat mengalahkan pasukan musuh yang terdiri daripada dua ratus orang. Sekiranya pasukan mereka terdiri daripada seratus orang tentera yang sabar, mereka dapat mengalahkan pasukan musuh yang terdiri daripada seribu orang dan demikianlah seterusnya. Ini bermakna setiap seorang tentera Islam yang sabar dapat mengalahkan sepuluh musuh.

Allah Ta’ala menyatakan penyebab kekalahan orang-orang kafir adalah kerana mereka tidak mengerti tentang agama dan tidak memahami hikmah sebuah peperangan sebagaimana yang difahami oleh orang-orang Islam. Mereka berperang hanya dengan tujuan menjadi lebih unggul dan disegani. Manakala orang-orang beriman berperang untuk meninggikan kalimah Allah Ta’ala dan membela agama-Nya serta untuk memperoleh kenikmatan yang sebenarnya, iaitu syurga. Firman-Nya:

“Orang-orang yang beriman berperang di jalan Allah, dan orang-orang yang kafir berperang di jalan thaghut, sebab itu perangilah kawan-kawan syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah.”

An-Nisa’ 4:76

Ayat 66

ٱلْـَٔـٰنَ خَفَّفَ ٱللَّهُ عَنكُمْ وَعَلِمَ أَنَّ فِيكُمْ ضَعْفًا ۚ فَإِن يَكُن مِّنكُم مِّا۟ئَةٌ صَابِرَةٌ يَغْلِبُوا۟ مِا۟ئَتَيْنِ ۚ وَإِن يَكُن مِّنكُمْ أَلْفٌ يَغْلِبُوٓا۟ أَلْفَيْنِ بِإِذْنِ ٱللَّهِ ۗ وَٱللَّهُ مَعَ ٱلصَّـٰبِرِينَ

Sekarang Allah telah meringankan daripada kamu (apa yang telah diwajibkan dahulu) kerana Dia mengetahui bahawa pada kamu ada kelemahan; oleh itu jika ada di antara kamu seratus orang yang sabar, nescaya mereka akan dapat menewaskan dua ratus orang; dan jika ada di antara kamu seribu orang, nescaya mereka dapat menewaskan dua ribu orang dengan izin Allah. Dan (ingatlah) Allah beserta orang-orang yang sabar.

Dalam ayat 65, Allah Swt memerintahkan supaya mereka mesti berani menghadapi musuh yang berjumlah sepuluh kali ganda lebih besar daripada jumlah mereka, maka pada ayat ini dijelaskan bahawa mereka diberi keringanan kerana mereka berada dalam keadaan lemah, baik dalam semangat mahupun dalam persiapan perang. Dalam keadaan seperti ini mereka akan dapat menghadapi musuh yang jumlahnya dua kali jumlah mereka.

Dalam ayat ini juga, Allah Swt mengingatkan mereka bahawa untuk memperoleh kemenangan, hendaklah disertai dengan kesabaran, keteguhan hati, persiapan fizikal dan mental, dan tujuan-tujuan utama berjihad.