Surah 8: Al-Anfal (61 – 62)

Anjuran Ketika Menghadapi Musuh

Surah 8: Al-Anfal (61 – 62)


Ayat 61

وَإِن جَنَحُوا۟ لِلسَّلْمِ فَٱجْنَحْ لَهَا وَتَوَكَّلْ عَلَى ٱللَّهِ ۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْعَلِيمُ

Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa sekiranya musuh-musuh Islam itu, baik orang Yahudi mahupun orang-orang musyrikin inginkan perdamaian, sama ada kerana mereka benar-benar ingin berdamai atau kerana mereka melihat kekuatan dan kelengkapan peperangan kaum muslimin kerana sebab-sebab lain, maka hendaklah bersetuju dengan perdamaian itu dan serahkan segala urusan kepadaNya dan yakin kepadaNya.

Sesungguhnya Dia Maha Mendengar ucapan-ucapan mereka dan lagi Maha Mengetahui apa yang ada dalam hati mereka.

Ayat 62

وَإِن يُرِيدُوٓا۟ أَن يَخْدَعُوكَ فَإِنَّ حَسْبَكَ ٱللَّهُ ۚ هُوَ ٱلَّذِىٓ أَيَّدَكَ بِنَصْرِهِۦ وَبِٱلْمُؤْمِنِينَ

Dan jika mereka bertujuan hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan memberikan perlindungan) kepadamu. Dia lah yang menguatkanmu dengan pertolonganNya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman.

Allah swt memberikan jaminanNya kepada Nabi Muhammad saw bahawa Dia akan menolongnya dengan bantuan kaum muslimin yang benar-benar beriman dan yakin sepenuhnya bahawa Allah swt bersama mereka. Dengan keimanan dan keyakinan itu tekad mereka tak akan goyah terhadap apa pun kejadian atau ancaman musuh. Keimanan dan keyakinan itu digambarkan oleh Allah swt dalam firmanNya:

“(Iaitu) orang-orang (yang mentaati Allah dan Rasul) yang kepada mereka ada orang-orang yang mengatakan, ‘Sesungguhnya manusia telah mengumpulkan pasukan untuk menyerang kamu, oleh itu takutlah kepada mereka,’ maka perkataan itu menambah keimanan mereka dan mereka menjawab, ‘Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung.’”

Ali ‘Imran 3:173

Maka dengan keyakinan dan tekad yang bulat yang didasarkan oleh keimanan dan jaminan Allah swt itu, kaum muslimin telah siap untuk menerima perintahNya, bagaimanapun berat dan sulitnya, meskipun dengan perintah itu mereka akan menghadapi musuh yang banyak atau bahaya yang besar.