Azab Ketika Malaikat Mencabut Nyawa Orang Kafir
Surah 8: Al-Anfal (50 -51)
Ayat 50
وَلَوْ تَرَىٰٓ إِذْ يَتَوَفَّى ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ ۙ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ يَضْرِبُونَ وُجُوهَهُمْ وَأَدْبَـٰرَهُمْ وَذُوقُوا۟ عَذَابَ ٱلْحَرِيقِ
Dan (amatlah ngerinya) kalau engkau melihat (wahai orang yang memandang), ketika malaikat mengambil nyawa orang-orang kafir dengan memukul muka dan belakang mereka (sambil berkata): “Rasalah kamu azab seksa neraka yang membakar”.
Allah Ta’ala menjelaskan kepada Rasulullah saw keadaan orang-orang kafir ketika dicabut nyawa mereka oleh para malaikat, sungguh Baginda akan melihat sesuatu perkara yang sangat dahsyat dan mengerikan. Para malaikat memukul muka dan belakang mereka dengan sangat keras sambil mengatakan kepada mereka, rasakanlah azab neraka yang membakar.
Ayat ini merupakan peringatan untuk orang-orang kafir tentang azab yang lebih berat yang sedang menanti mereka.
Ibnu Juraij mengatakan daripada Mujahid bahawa perkara ini terjadi pada waktu perang Badar. Ini sebagaimana yang disebutkan dalam hadis Al-Bara’ bahawa apabila malaikat maut mencabut nyawa orang-orang kafir, dia datang dalam rupa yang sangat mengerikan sambil berkata, “Keluarlah kamu wahai jiwa yang busuk, keluarlah untuk menuju (seksaan) angin yang panas dan air yang mendidih dan dalam naungan asap yang hitam. Lalu rohnya dipisahkan daripada jasadnya bagaikan melepaskan besi daripada kain berbulu yang basah, tentunya otot dan uratnya akan keluar bersama-samanya. Oleh itu, Allah Ta’ala menyebutkan bahawa malaikat berkata kepada mereka, ‘Rasalah kamu azab seksa neraka yang membakar.’”
Perkara ini walaupun terjadi pada perang Badar tetapi boleh berlaku kepada setiap orang kafir. Seksaan sakaratul maut dan neraka diberikan kepada mereka yang derhaka kerana ia merupakan ketetapan Allah Swt kepada orang-orang terdahulu ataupun yang kemudian, iaitu dengan menghukum mereka disebabkan dosa-dosa mereka.
Ayat 51
ذَٰلِكَ بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيكُمْ وَأَنَّ ٱللَّهَ لَيْسَ بِظَلَّـٰمٍ لِّلْعَبِيدِ
(Azab seksa) yang demikian itu ialah disebabkan apa yang telah dilakukan oleh tangan kamu sendiri, kerana sesungguhnya Allah tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hamba-Nya.
Selanjutnya Allah Ta’ala menyatakan bahawa azab seksaan yang berat dan pukulan yang dahsyat itu adalah disebabkan oleh perbuatan mereka yang buruk dan segala kemungkaran yang mereka lakukan seperti kekafiran dan kezaliman selama mereka hidup di dunia. Ini merupakan suatu keadilan dan bukan kezaliman kerana Dia tidak pernah menzalimi sesiapapun di kalangan makhluk-Nya. Dia Maha Bijaksana dan Maha Adil dalam menghukum dan memberikan keputusan kepada setiap orang apa yang menjadi haknya, tidak seorangpun akan dizalimi.
Daripada Abu Zarr Al-Ghifari, bahawa Rasulullah saw bersabda:
“Sesungguhnya Allah berfirman, ‘Wahai hamba-hambaKu, sesungguhnya Aku telah mengharamkan kezaliman atas diri-Ku dan Aku telah mengharamkan pula kezaliman itu di antara kamu. Oleh itu, janganlah kamu sekali-kali zalim menzalimi. Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya itu semua adalah amal-amal kamu yang akan Aku perhitungkan bagi kamu. Sesiapa yang mendapat kebaikan, hendaklah memuji Allah dan sesiapa yang mendapat keburukan, maka janganlah mencela, kecuali dirinya sendiri.’”
(HR. Muslim)
Pelbagai maksiat dinisbahkan kepada tangan meskipun kadang-kadang ia dilakukan oleh anggota lain seperti kaki, namun kebanyakan perbuatan dilakukan oleh tangan.