Surah 8: Al-Anfal (5 – 8)

Keenganan Sebahagian Kaum Muslimin Mengikuti Perang Badar

Surah 8: Al-Anfal (5 – 8)


Ayat 5

كَمَآ أَخْرَجَكَ رَبُّكَ مِنۢ بَيْتِكَ بِٱلْحَقِّ وَإِنَّ فَرِيقًا مِّنَ ٱلْمُؤْمِنِينَ لَكَـٰرِهُونَ

Sebagaimana (harta rampasan perang ditentukan pembahagiannya dengan kebenaran, maka) Tuhanmu (wahai Muhammad) mengeluarkanmu dari rumahmu (untuk pergi berperang) dengan kebenaran juga, sedang sebahagian dari orang-orang yang beriman itu (sebenarnya) tidak suka (turut berjuang).

Allah Ta’ala menjelaskan bahawa Dia mengatur pembahagian harta rampasan perang itu secara adil sebagaimana juga Dia memerintahkan kepada mereka pergi bertempur untuk membela agama Allah Swt secara adil. Kemudian timbul perselisihan pendapat mereka tentang harta rampasan perang sama juga halnya dengan perselisihan pendapat mereka sewaktu mereka dibawa pergi untuk menghadapi kafilah yang dipimpin oleh Abu Sufyan atau pasukan kafir Quraisy yang datang dari Mekah untuk membela kafilah Abu Sufyan.

Oleh itu, apabila ada sebahagian orang yang tidak menyukai ketetapan Allah Ta’ala tentang pembahagian harta rampasan perang, maka hal itu adalah tanda bahawa mereka belum benar-benar beriman. Begitu jugalah yang terjadi pada saat menjelang perang Badar. Mereka tidak mengikuti perintah Allah Swt dan Rasul-Nya dan enggan meninggalkan rumah untuk bertempur ke medan perang, kerana mereka masih belum menjadi orang mukmin yang benar.

Pada akhir ayat, Allah Ta’ala menjelaskan bahawa sebahagian daripada orang mukmin ada yang tidak senang terhadap keputusan Nabi Muhammad saw untuk menyerang musuh ke luar kota. Hal ini adalah kerana persiapan perang mereka belum lengkap. Namun anggapan seperti ini adalah tidak benar, kerana betapa pun juga kesulitan yang akan mereka hadapi, semestinya mereka tidak boleh mengelak lagi disebabkan hal itu telahpun dibuat keputusan.

Ayat 6

يُجَـٰدِلُونَكَ فِى ٱلْحَقِّ بَعْدَ مَا تَبَيَّنَ كَأَنَّمَا يُسَاقُونَ إِلَى ٱلْمَوْتِ وَهُمْ يَنظُرُونَ

Mereka membantahmu tentang kebenaran (berjihad) setelah nyata (kepada mereka kemenangan yang engkau janjikan), seolah-olah mereka dihalau kepada kematian, sedang mereka melihat (sebab-sebabnya).

Allah Ta’ala menjelaskan, bahawa di antara orang-orang mukmin ada yang membantah keputusan yang telah ditetapkan, iaitu keputusan menyerang musuh yang datang dari Mekah di bawah pimpinan Abu Jahal padahal keputusan itu adalah kebenaran yang sudah nyata dan mereka telah dijanjikan kemenangan oleh Allah Swt walau di mana sahaja mereka berada. Namun mereka mengelak daripada keputusan itu, kerana lebih menyukai menghadapi rombongan musuh di bawah pimpinan Abu Sufyan.

Mereka mengelak untuk bertempur dengan pasukan musuh yang datang dari Mekah dan digambarkan oleh Allah Swt seolah-olah mereka itu dihalau kepada kematian. Mereka memberikan alasan bahawa mereka belum lagi mempersiapkan segala keperluan untuk berperang.

Sikap seperti ini tidak patut ada pada mereka, terutama setelah mereka mengetahui bahawa keluarnya mereka dari rumah adalah dengan hak (kebenaran), termasuk yang diperintahkan Allah Swt dan diredhai-Nya. Oleh sebab itu, tidak sepatutnya mereka memperdebatkannya, kerana berdebat hanyalah ketika kebenaran itu dalam keadaan samar atau kekeliruan. Adapun apabila telah jelas dan terang, maka mereka perlu tunduk dan patuh kepada sesuatu arahan.

Ayat 7

وَإِذْ يَعِدُكُمُ ٱللَّهُ إِحْدَى ٱلطَّآئِفَتَيْنِ أَنَّهَا لَكُمْ وَتَوَدُّونَ أَنَّ غَيْرَ ذَاتِ ٱلشَّوْكَةِ تَكُونُ لَكُمْ وَيُرِيدُ ٱللَّهُ أَن يُحِقَّ ٱلْحَقَّ بِكَلِمَـٰتِهِۦ وَيَقْطَعَ دَابِرَ ٱلْكَـٰفِرِينَ

Dan (ingatlah) ketika Allah menjanjikan kepada kamu salah satu dari dua angkatan, menjadi untuk kamu (menghadapinya), sedang kamu suka kiranya (angkatan perniagaan) bukan angkatan (perang) yang mempunyai kekuatan itu yang dijadikan untuk kamu (menghadapinya). Padahal Allah menghendaki untuk menetapkan yang benar (agama Islam) dengan Kalimah-kalimah-Nya, dan untuk membinasakan kaum yang kafir seluruhnya;

Sesudah itu Allah Ta’ala mengingatkan kaum muslimin akan suatu peristiwa yang penting, iaitu pada saat Allah Ta’ala menjanjikan kemenangan kepada kaum muslimin melawan salah satu daripada dua golongan yang dihadapi itu iaitu salah satu di antara kafilah yang dipimpin oleh Abu Sufyan yang membawa harta dagangan atau bala tentera Quraisy yang membawa peralatan perang yang lengkap.

Pada saat itu, kaum muslimin cenderung memilih berhadapan dengan rombongan yang membawa dagangan yang jumlahnya tidak lebih daripada 40 ekor kuda. Hal ini adalah sebagai sindiran kepada sebahagian kaum muslimin yang takut terlibat dalam peperangan, tetapi mereka ingin mendapat harta yang banyak.

Kecenderungan mereka ini jauh daripada kebenaran, kerana tujuan mereka telah beralih kepada mendapatkan kesenangan dunia. Mereka telah beralih daripada tujuan asal iaitu untuk menegakkan tauhid dan menghancurkan kemusyrikan. Oleh itu, Allah Ta’ala menjelaskan kepada mereka bahawa yang dikehendaki-Nya tidak seperti yang mereka inginkan.

Sebenarnya yang Allah Ta’ala kehendaki ialah agar kaum Muslimin menegakkan kebenaran sesuai dengan wahyu yang telah diturunkan kepada Rasul-Nya yang menyatakan bahawa kemenangan itu akan diperoleh kaum muslimin daripada salah satu di antara dua rombongan.

Tujuan utama ialah memusnahkan kaum musyrikin kerana kemenangan kaum muslimin melawan mereka dalam perang Badar adalah kemenangan pertama yang akan disusuli oleh kemenangan-kemenangan yang lain pada peperangan-peperangan berikutnya, dan berakhir dengan penaklukan Mekah sebagai kemenangan yang gilang-gemilang bagi kaum muslimin dan kehancuran orang-orang kafir Quraisy secara menyeluruh.

Ayat 8

لِيُحِقَّ ٱلْحَقَّ وَيُبْطِلَ ٱلْبَـٰطِلَ وَلَوْ كَرِهَ ٱلْمُجْرِمُونَ

Supaya Allah menegakkan yang benar itu dan menghapuskan yang salah (kufur dan syirik), sekalipun golongan (kafir musyrik) yang berdosa itu tidak menyukainya.

Setelah itu, Allah Ta’ala menjelaskan kepada kaum muslimin bahawa kemenangan yang mereka peroleh itu tidak lain adalah bertujuan menegakkan kebenaran (agama Islam) dan melenyapkan kebatilan (syirik). Inilah tujuan utama dan diniatkan oleh kaum muslimin ketika menyertai peperangan.

Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala menegaskan bahawa usaha menegakkan agama Islam dan menghancurkan kemusyrikan itu pasti akan terlaksana betapa pun sengitnya permusuhan dan kebencian orang-orang musyrikin.