Orang Munafik Menghina Orang Mukmin
Surah 8: Al-Anfal (49)
Ayat 49
إِذْ يَقُولُ ٱلْمُنَـٰفِقُونَ وَٱلَّذِينَ فِى قُلُوبِهِم مَّرَضٌ غَرَّ هَـٰٓؤُلَآءِ دِينُهُمْ ۗ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى ٱللَّهِ فَإِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
(Ingatlah) ketika orang-orang munafik dan orang-orang yang ada penyakit (syak) dalam hatinya berkata: “Orang-orang (Islam) itu telah diperdayakan oleh agama mereka (sehingga mereka berani menentang kami yang lebih besar bilangannya)”. Dan (yang sebenarnya) sesiapa yang bertawakkal kepada Allah (dengan sepenuh-penuh yakin, maka Allah akan menolongnya untuk mengalahkan musuh yang lebih besar bilangannya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
Allah Ta’ala mengingatkan kaum muslimin tentang orang-orang munafik yang menampakkan keimanan dan menyembunyikan kekafiran dan juga orang-orang yang ada penyakit di dalam hati mereka berkata, “Apakah yang mendorong sahabat-sahabat Muhammad untuk maju ke medan pertempuran di Badar padahal jumlah mereka hanya sedikit, berbanding dengan jumlah musuh mereka yang sangat ramai. Keberanian mereka itu tidak lain hanyalah kerana ditipu oleh agama mereka.” Allah membantah ucapan mereka itu dengan firman-Nya, “Sesiapa yang bertawakkal kepada Allah, maka sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”
Namun Allah Ta’ala menghancurkan harapan kedua-dua golongan ini iaitu yang munafik dan juga yang mempunyai penyakit di hati mereka dengan memberikan kemenangan kepada orang-orang yang beriman dan sedikit itu menghadapi golongan yang kafir dan banyak. Dia akan sentiasa membantu dan memenangkan sesiapa sahaja yang Dia kehendaki.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa sesiapa yang bertawakkal kepada-Nya, menyerahkan segala urusannya kepada-Nya, percaya dan mengadu hanya kepada-Nya, maka Dia akan menolong dan menjaganya. Cukuplah Allah Swt sebagai pelindung. Dia Maha Perkasa dan Maha Bijaksana dalam segala yang dilakukan-Nya. Dia tidak meletakkan sesuatu melainkan pada tempatnya, sehingga Dia tidak memenangkan suatu kaum melainkan kaum yang memang berhak mendapatkan kemenangan, serta menghinakan kaum yang memang berhak memperolehnya.