Surah 8: Al-Anfal (48)

Syaitan Berlepas Diri dari Orang Kafir

Surah 8: Al-Anfal (48)


Ayat 48

وَإِذْ زَيَّنَ لَهُمُ ٱلشَّيْطَـٰنُ أَعْمَـٰلَهُمْ وَقَالَ لَا غَالِبَ لَكُمُ ٱلْيَوْمَ مِنَ ٱلنَّاسِ وَإِنِّى جَارٌ لَّكُمْ ۖ فَلَمَّا تَرَآءَتِ ٱلْفِئَتَانِ نَكَصَ عَلَىٰ عَقِبَيْهِ وَقَالَ إِنِّى بَرِىٓءٌ مِّنكُمْ إِنِّىٓ أَرَىٰ مَا لَا تَرَوْنَ إِنِّىٓ أَخَافُ ٱللَّهَ ۚ وَٱللَّهُ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ

Dan (ingatlah) ketika syaitan memperhiaskan kepada mereka perbuatan mereka (yang salah itu, untuk dipandang elok dan diteruskan), serta menghasut mereka dengan berkata: “Pada hari ini tidak ada sesiapa pun dari umat manusia yang dapat mengalahkan kamu, dan sesungguhnya aku adalah pelindung dan penolong kamu”. Maka apabila kedua-dua puak (angkatan tentera Islam dan kafir musyrik) masing-masing kelihatan (berhadapan), syaitan itu berundur ke belakang sambil berkata: “Aku berlepas diri dari kamu, kerana aku dapat melihat apa yang kamu tidak dapat melihatnya; sesungguhnya aku takut kepada Allah, dan Allah sangat berat azab seksa-Nya”.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa syaitan menjadikan orang-orang musyrik Quraisy nampak baik apa yang mereka lakukan. Syaitan menjadikan mereka berasa yakin bahawa tiada seorang manusia pun yang dapat mengalahkan mereka pada hari itu. Syaitan itu juga menghilangkan rasa takut pada diri mereka untuk menyerang musuh-musuh mereka.

Dalam tafsir Ibnu Kathir dinyatakan syaitan menampakkan dirinya dalam sosok Suraqah bin Malik bin Ju’syam tokoh Bani Mudlij, pembesar daerah itu dengan mengatakan, “Sesungguhnya aku adalah pelindung kamu semua.”

Padahal semuanya itu berasal daripada syaitan. Ini sebagaimana Allah Ta’ala telah berfirman tentang syaitan:

“Syaitan itu memberikan janji-janji kepada mereka dan membangkitkan angan-angan kosong pada mereka, padahal syaitan itu tidak menjanjikan kepada mereka selain tipuan belaka.”

An-Nisa’ 4:120

Terdapat beberapa riwayat berkaitan dengan ayat ini, antaranya ialah daripada ‘Ali bin Abi Talhah yang meriwayatkan daripada Ibnu ’Abbas ra dia mengatakan, “Pada perang Badar, syaitan yang berada antara pasukan-pasukannya datang dengan membawa panjinya dalam rupa seseorang daripada Bani Mudlij iaitu Suraqah bin Malik bin Ju’syam. Dia berkata kepada kaum musyrikin, “Tidak ada seorang manusia yang dapat menang terhadapmu pada hari ini dan sesungguhnya aku ini adalah pelindungmu.” Tatkala dua pasukan kaum kafir dan kaum muslimin sudah saling berhadapan untuk bertempur, Rasulullah saw mengambil segenggam pasir lalu melemparkan ke arah muka kaum musyrikin, maka mereka berundur ke belakang. Lalu Jibril datang dalam rupa manusia berhadapan dengan Iblis. Iblis yang pada ketika itu berada di tangan salah seorang lelaki daripada kaum musyrikin, saat dia melihatnya dia pun melepaskan tangannya dan lari ke belakang bersama bala tenteranya. Kemudian seseorang bertanya, “Wahai Suraqah, bukankah kamu berjanji untuk melindungi kami?” Dia menjawab, “Sesungguhnya aku dapat melihat apa yang kamu tidak dapat melihat. Aku takut kepada Allah kerana seksaan-Nya sangat keras.” Hal ini dia katakan ketika dia melihat malaikat.”