Surah 8: Al-Anfal (42 – 44)

Kemenangan dalam Perang Badar adalah Nikmat daripada Allah Swt

Surah 8: Al-Anfal (42 – 44)


Ayat 42

إِذْ أَنتُم بِٱلْعُدْوَةِ ٱلدُّنْيَا وَهُم بِٱلْعُدْوَةِ ٱلْقُصْوَىٰ وَٱلرَّكْبُ أَسْفَلَ مِنكُمْ ۚ وَلَوْ تَوَاعَدتُّمْ لَٱخْتَلَفْتُمْ فِى ٱلْمِيعَـٰدِ ۙ وَلَـٰكِن لِّيَقْضِىَ ٱللَّهُ أَمْرًا كَانَ مَفْعُولًا لِّيَهْلِكَ مَنْ هَلَكَ عَنۢ بَيِّنَةٍ وَيَحْيَىٰ مَنْ حَىَّ عَنۢ بَيِّنَةٍ ۗ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَسَمِيعٌ عَلِيمٌ

(Iaitu) ketika kamu berada di tepi lembah yang dekat (ke Madinah) dan mereka (pihak musuh) berada di tepi lembah yang jauh (dari Madinah), sedang Kafilah (pembawa dagangan musuh) berada di tempat yang rendah dari tempat kamu (di tepi laut). Dan kalaulah kamu berjanji (dengan mereka mengenai peperangan itu) nescaya kamu akan berselisih pada menentukan harinya. Akan tetapi (pertemuan angkatan kamu dengan angkatan mereka yang tidak disangka-sangka itu) ialah supaya Allah melakukan suatu perkara (kemenangan Islam) yang telah ditetapkan berlakunya, iaitu supaya orang (kafir musyrik) yang binasa itu, binasa dengan keterangan (yang membuktikan kesalahannya), dan supaya orang (Islam) yang hidup itu, hidup dengan keterangan (yang membuktikan kebenarannya); kerana sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Allah Swt memperlihatkan rahmat-Nya kepada kaum Muslimin ketika terjadi Perang Badar. Kaum Muslimin mengambil tempat yang sangat strategik yang memungkinkan mereka memperoleh kemenangan. Mereka memilih tempat yang berada di pinggir lembah dekat dengan Madinah, sedangkan kaum musyrikin berada di hujung lembah yang jauh dari kafilah unta yang membawa barang dagangan yang dipimpin oleh Abu Sufyan di tepi pantai. Apabila hujan turun, kaum muslimin mendapat air yang cukup untuk diminum. Manakala kaum musyrikin pula berada di hujung lembah yang jauh dan kering kerana tidak mendapatkan air hujan. Tanah yang dipijak oleh kaum musyrikin adalah tanah kering berdebu sehingga kaki mereka mudah terperosok.

Allah Swt mengatakan seandainya kaum muslimin mengadakan persetujuan untuk menentukan hari pertempuran, nescaya mereka tidak sependapat dalam menentukannya. Namun Dia-lah yang telah menentukan pertempuran tersebut. Oleh itu, saatnya pun tidak dirancangkan oleh kaum muslimin apatah lagi jika melihat jumlah tentera mereka amat sedikit berbanding dengan jumlah tentera kaum musyrikin dan persenjataan mereka pun tidak selengkap persenjataan kaum musyrikin.

Oleh itu, Allah Ta’ala mempertemukan dua pasukan itu tanpa persetujuan daripada kedua-dua belah pihak. Ini kerana Dia menghendaki untuk memberi kemenangan kepada kaum muslimin dan menghancurkan kaum musyrikin. Ini juga bertujuan agar orang-orang yang beriman mencapai kemenangan berdasarkan bukti-bukti yang nyata yang dapat disaksikan oleh mata sebagai bukti kebenaran Islam dan juga sebagai bukti bahawa Dia telah melaksanakan janji-Nya kepada Nabi-Nya dan kaum muslimin sehingga lenyaplah segala keraguan dan kemenangan terakhir pasti berada di tangan kaum muslimin.

Allah Swt Maha Mendengar doa permohonan para hamba-Nya yang merendah diri dan Dia Maha Mengetahui keadaan mereka yang berhak mendapatkan perlindungan dan pertolongan ketika menghadapi musuh.

Ayat 43

إِذْ يُرِيكَهُمُ ٱللَّهُ فِى مَنَامِكَ قَلِيلًا ۖ وَلَوْ أَرَىٰكَهُمْ كَثِيرًا لَّفَشِلْتُمْ وَلَتَنَـٰزَعْتُمْ فِى ٱلْأَمْرِ وَلَـٰكِنَّ ٱللَّهَ سَلَّمَ ۗ إِنَّهُۥ عَلِيمٌۢ بِذَاتِ ٱلصُّدُورِ

(Ingatlah wahai Muhammad) ketika Allah memperlihatkan mereka kepadamu dalam mimpimu sedikit bilangannya; dan kalaulah Dia perlihatkan mereka kepadamu ramai bilangannya, tentulah kamu akan merasa gerun dan tentulah kamu akan berbantah-bantahan dalam urusan (perang) itu. Akan tetapi Allah telah menyelamatkan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada.

Setelah Allah Ta’ala memperlihatkan kepada Rasulullah saw di dalam mimpinya bahawa orang-orang kafir itu bilangannya sedikit atau lemah lalu disampaikannya kepada sahabat-sahabatnya tentang mimpinya itu, maka tenanglah hati mereka dan bertambah besarlah harapan mereka untuk mencapai kemenangan sehingga mimpi itu memberikan dorongan dan semangat kepada mereka untuk menghadapi musuh di medan pertempuran.

Seandainya Allah Swt memperlihatkan kepada Nabi-Nya jumlah kaum musyrikin itu banyak akan timbullah ketakutan dalam hati mereka. Mereka akan gentar menghadapi musuh dan tentu akan menimbulkan pertentangan hebat di kalangan kaum muslimin yang tidak bersetuju untuk mengadakan peperangan. Ini kerana di kalangan kaum muslimin ada yang kuat imannya dan patuh melaksanakan perintah Rasulullah saw untuk berperang dan ada pula yang lemah imannya ingin menghindari peperangan.

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang tersimpan dalam hati mereka, iaitu perasaan takut dan cemas daripada sebahagian yang lemah iman dan keberanian untuk maju ke medan perjuangan daripada sebahagian yang kuat iman dan penuh tawakkal kepada-Nya. Lalu Dia menyelamatkan kaum muslimin daripada ketakutan dan perselisihan itu yang dapat mengakibatkan kelemahan dan kehancuran.

Ayat 44

وَإِذْ يُرِيكُمُوهُمْ إِذِ ٱلْتَقَيْتُمْ فِىٓ أَعْيُنِكُمْ قَلِيلًا وَيُقَلِّلُكُمْ فِىٓ أَعْيُنِهِمْ لِيَقْضِىَ ٱللَّهُ أَمْرًا كَانَ مَفْعُولًا ۗ وَإِلَى ٱللَّهِ تُرْجَعُ ٱلْأُمُورُ

Dan (ingatlah) ketika Kami memperlihatkan mereka kepada kamu (wahai umat Islam) semasa kamu bertemu dengan mereka: sedikit bilangannya pada pandangan mata kamu, dan kamu pula diperlihatkan-Nya: sedikit bilangannya pada pandangan mata mereka; kerana Allah hendak melakukan sesuatu perkara (kemenangan Islam) yang telah ditetapkan berlakunya. Dan (ingatlah) kepada Allah jualah dikembalikan segala urusan.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia telah menyelamatkan orang-orang beriman daripada perasaan takut dan berselisih pendapat dengan memperlihatkan kepada mereka bilangan tentera kaum kafir Quraisy yang sedikit walaupun pada hakikatnya bilangan itu mencecah seribu orang tentera.

Dia Maha Mengetahui apa yang yang tersimpan dalam dada mereka berupa perasaan takut dan lemah yang boleh menyebabkan mereka mundur dan tidak meneruskan peperangan. Oleh itu, apabila orang-orang beriman melihat bilangan tentera musuh sedikit dalam pandangan mata mereka, ini akan memberikan semangat untuk berjuang dan berani merempuh pihak musuh.

Allah Ta’ala juga memperlihatkan tentera orang-orang beriman dalam pandangan orang-orang kafir itu berjumlah sedikit agar mereka (tentera kafir) tertipu lalu tidak melakukan persiapan yang secukupnya untuk menghadapi tentera Islam.

Apa yang telah ditetapkan oleh Allah Ta’ala ini adalah untuk memberi jalan agar berlaku peperangan tersebut dan seterusnya dapat memberikan kemenangan kepada kaum muslimin dan memuliakan mereka, mengalahkan orang-orang kafir serta menghinakan kekufuran dan kemusyrikan.