Surah 8: Al-Anfal (41)

Hukum berkaitan Pembahagian Harta Rampasan Perang

Surah 8: Al-Anfal (41)


Ayat 41

وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّمَا غَنِمْتُم مِّن شَىْءٍۢ فَأَنَّ لِلَّهِ خُمُسَهُۥ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِى ٱلْقُرْبَىٰ وَٱلْيَتَـٰمَىٰ وَٱلْمَسَـٰكِينِ وَٱبْنِ ٱلسَّبِيلِ إِن كُنتُمْ ءَامَنتُم بِٱللَّهِ وَمَآ أَنزَلْنَا عَلَىٰ عَبْدِنَا يَوْمَ ٱلْفُرْقَانِ يَوْمَ ٱلْتَقَى ٱلْجَمْعَانِ ۗ وَٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍۢ قَدِيرٌ

Dan ketahuilah, bahawa apa sahaja yang kamu dapati sebagai harta rampasan perang, maka sesungguhnya satu perlimanya (dibahagikan) untuk (jalan) Allah, dan untuk Rasul-Nya, dan untuk kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta ibnus-sabil (orang musafir yang keputusan), jika kamu beriman kepada Allah dan kepada apa yang telah diturunkan oleh Kami (Allah) kepada hamba Kami (Muhammad) pada “Hari Al-Furqaan”, iaitu hari bertemunya dua angkatan tentera (Islam dan kafir, di medan perang Badar). Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Allah Ta’ala menjelaskan secara terperinci tentang apa yang telah Dia syariatkan secara khusus untuk umat Nabi Muhammad saw iaitu dihalalkan-Nya harta rampasan perang sementara tidak dihalalkan kepada umat-umat terdahulu.

Rampasan harta benda daripada orang-orang kafir melalui peperangan dinamakan ghanimah. Manakala harta benda yang diperoleh daripada orang-orang kafir tanpa melalui peperangan terlebih dahulu dinamakan al-fai’.

Jumhur ulama berpendapat bahawa ayat ini diturunkan pada perang Badar dan pembahagian harta rampasan mula dilakukan sesudah perang Badar. Allah Ta’ala menjelaskan bahawa semua ghanimah yang diperoleh daripada orang-orang kafir dalam peperangan hendaklah dibahagikan seperti berikut:

Pembagian Harta Rampasan Perang (Ghanimah)

Hari perang Badar ini diberi nama “Hari Furqan” (hari bertemu dua pasukan), iaitu pasukan Nabi Muhammad saw bertemu dengan pasukan Quraisy di bawah pimpinan Abu Jahal. Hari Furqan itu ialah hari yang memisahkan antara keimanan dan kekafiran, dan perang Badar itu adalah kemenangan yang pertama bagi kaum muslimin menghadapi kaum musyrikin walaupun jumlah mereka tiga kali ganda banyaknya daripada jumlah kaum muslimin. Allah Swt Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dia Berkuasa memberikan kemenangan kepada kaum muslimin sesuai dengan janji-Nya.

Oleh itu, Allah Swt mengingatkan para hamba-Nya tentang hari Furqan ini kerana dengan kebaikan dan nikmat-Nya itu Dia meninggikan kalimat keimanan mengatasi kalimat kebatilan serta Dia memenangkan agama-Nya, membela Nabi Muhammad saw dan orang-orang yang beriman.