Surah 8: Al-Anfal (38 – 40)

Allah Menerima Taubat daripada Orang Kafir

Surah 8: Al-Anfal (38 – 40)


Ayat 38

قُل لِّلَّذِينَ كَفَرُوٓا۟ إِن يَنتَهُوا۟ يُغْفَرْ لَهُم مَّا قَدْ سَلَفَ وَإِن يَعُودُوا۟ فَقَدْ مَضَتْ سُنَّتُ ٱلْأَوَّلِينَ

Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang kafir itu, jika mereka berhenti (dari kekufurannya), nescaya akan diampunkan dosa mereka yang telah lalu, dan jika mereka kembali lagi (ingkar maka Kami akan menyeksa mereka), kerana sesungguhnya telah berlakulah kebinasaan orang-orang (yang kufur ingkar) dahulu kala.

Allah Ta’ala memerintahkan kepada Nabi Muhammad saw dan pengikut-pengikutnya untuk menyatakan kepada orang-orang kafir Quraisy seperti Abu Sufyan dan pengikut-pengikutnya jika mereka berhenti daripada kekafiran, penentangan dan permusuhan mereka terhadap Baginda, kemudian mereka memeluk agama Islam dengan penuh ketaatan dan bertaubat, maka Dia akan mengampuni semua dosa mereka yang telah lalu.

Daripada Abi Wa-il daripada Ibnu Mas’ud ra bahawa Rasulullah saw bersabda:

“Sesiapa yang berbuat baik setelah dia masuk Islam, maka dia tidak akan dihukum atas perbuatan buruk yang dilakukannya pada masa Jahiliyah, dan sesiapa yang berbuat buruk setelah masuk Islam, maka dia akan dihukum atas keburukan yang dilakukan masa Jahiliyah hingga masa Islam.”

(HR. Al-Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis sahih yang lain, Rasulullah saw bersabda:

“(Masuknya seseorang ke dalam agama) Islam menghapuskan dosa yang dilakukan sebelumnya dan taubat menghapuskan dosa yang dilakukan sebelumnya.”

(HR. Muslim)

Selanjutnya Allah Ta’ala memberikan ancaman dan peringatan kepada mereka, sekiranya mereka kembali kepada kekafiran, menghalangi manusia dari jalanNya dan memerangi Rasulullah saw maka akan berlakulah sunnatullah seperti yang telah berlaku terhadap orang-orang terdahulu, iaitu Dia akan membantu perjuangan orang-orang mukmin dan menghancurkan tipu daya orang-orang kafir. FirmanNya:

“Sesungguhnya Kami menolong rasul-rasul Kami dan orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia dan pada hari berdirinya saksi-saksi (hari kiamat),”

Al-Mukmin 40:51

Ayat ini menunjukkan Allah swt bersifat adil dan lembut terhadap hamba-hambaNya. Dia mengampuni segala dosa-dosa mereka yang terdahulu setelah mereka memeluk agama Islam. Ini juga menunjukkan betapa luasnya kurniaan dan rahmat Allah swt terhadap hamba-hambaNya.

Sunnah Allah swt terhadap orang-orang yang terdahulu bermaksud, sekiranya mereka sentiasa berdusta dan menyelisihi perintah Allah swt serta menentang RasulNya, maka Allah swt akan menyegerakan azab seksaan terhadap mereka.

Ayat 39

وَقَـٰتِلُوهُمْ حَتَّىٰ لَا تَكُونَ فِتْنَةٌ وَيَكُونَ ٱلدِّينُ كُلُّهُۥ لِلَّهِ ۚ فَإِنِ ٱنتَهَوْا۟ فَإِنَّ ٱللَّهَ بِمَا يَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah agama itu seluruhnya (bebas) bagi Allah semata-mata. Kemudian jika mereka berhenti (dari kekufurannya dan gangguannya, nescaya mereka diberikan balasan yang baik) kerana sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang mereka kerjakan.

Kemudian Allah Ta’ala memerintahkan orang-orang mukmin untuk memerangi orang-orang musyrikin sekiranya mereka tetap menolak seruan menghentikan permusuhan dan kekafiran. Ini bertujuan agar tidak terdapat lagi fitnah yang mengganggu umat Islam dan agama mereka. Oleh itu, tidak ada lagi kemusyrikan di dunia ini buat selama-lamanya dan tidak ada yang disembah selainNya. Seorang mukmin tidak lagi diseksa dalam menjalankan agamanya dan ketauhidan murni hanya untukNya.

Kemudian sekali lagi Allah Ta’ala menegaskan kepada orang-orang musyrikin bahawa apabila mereka menghentikan kekafiran dan permusuhan, maka sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang mereka kerjakan dan akan memberikan balasan kepada mereka terhadap amalan-amalan mereka. Daripada Ibnu Umar ra, Rasulullah saw bersabda:

“Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sehingga mereka mengucapkan; ‘Tidak ada tuhan (yang berhak disembah) selain Allah’, apabila mereka mengucapkannya, maka mereka telah menghalangiku (untuk menumpahkan) darah dan (merampas) harta mereka, kecuali dengan haknya, sedangkan (apabila mereka menyembunyikan kekafiran dan kemaksiatan) maka Allah lah yang menghisab mereka.

(HR. Al-Bukhari dan Muslim)

Ayat 40

وَإِن تَوَلَّوْا۟ فَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ مَوْلَىٰكُمْ ۚ نِعْمَ ٱلْمَوْلَىٰ وَنِعْمَ ٱلنَّصِيرُ

Dan jika mereka berpaling (enggan beriman dan tidak berhenti daripada menceroboh) maka ketahuilah bahawasanya Allah Pelindung kamu; Dia lah sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Penolong (yang menyelamatkan dan menjayakan kamu).

Allah Ta’ala menyatakan bahawa sekiranya mereka tetap juga berpaling daripada Islam dan tidak menghentikan keingkaran terhadap seruan Rasulullah saw serta tetap memerangi dan memusuhi kaum muslim, maka Dia memerintahkan kepada kaum muslimin agar jangan memperdulikan mereka dan Dia tetap menjadi pelindung dan membantu serta menjamin kemenangan kepada kaum Muslimin.

Allah Ta’ala menegaskan kepada kaum muslimin bahawa Dia lah sebaik-baik Pelindung. Maka tidak akan sia-sialah sesiapa yang meminta perlindunganNya. FirmanNya:

“Wahai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.”

Muhammad 47:7

Allah swt akan menolong dan menghindarkan tipu daya yang dilancarkan oleh orang-orang fasik. Sesiapa yang menjadikan Allah swt sebagai pelindungnya, maka tidak ada yang perlu dibimbangkan lagi. Sesungguhnya Allah swt adalah sebaik-baik pelindung dan penolong bagi mereka yang beriman.