Pemisahan antara Golongan yang Baik daripada Golongan yang Buruk
Surah 8: Al-Anfal (36 – 37)
Ayat 36
إِنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ يُنفِقُونَ أَمْوَٰلَهُمْ لِيَصُدُّوا۟ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ ۚ فَسَيُنفِقُونَهَا ثُمَّ تَكُونُ عَلَيْهِمْ حَسْرَةً ثُمَّ يُغْلَبُونَ ۗ وَٱلَّذِينَ كَفَرُوٓا۟ إِلَىٰ جَهَنَّمَ يُحْشَرُونَ
Sesungguhnya orang-orang kafir yang selalu membelanjakan harta mereka untuk menghalangi (manusia) dari jalan Allah, maka mereka tetap membelanjakannya kemudian (harta yang dibelanjakan) itu menyebabkan penyesalan kepada mereka, tambahan pula mereka dikalahkan. Dan (ingatlah) orang-orang kafir itu (akhirnya) dihimpunkan dalam neraka jahanam.
Allah Ta’ala menjelaskan tentang persiapan-persiapan orang-orang kafir Quraisy pada saat menjelang terjadinya perang Badar. Mereka membelanjakan harta benda yang banyak untuk memerangi Rasulullah saw dan menghalang manusia dari jalan-Nya. Namun akhirnya segala usaha mereka itu hanyalah mendapat penyesalan dan kerugian.
Inilah azab untuk mereka di dunia iaitu kehilangan harta dan kekalahan dalam peperangan. Manakala azab di akhirat kelak mereka akan diseret ke neraka Jahannam.
Muhammad bin Ishaq berkata, telah menceritakan kepadaku Az-Zuhri, Muhammad bin Yahya bin Hibban, ‘Ashim bin ‘Umar bin Qatadah dan Al-Hushain bin ‘Abdur Rahman bin ‘Amr bin Sa’id bin Mu’adz, mereka berkata, “Pada saat Quraisy tertimpa bencana pada perang Badar, lalu pasukannya yang kalah kembali ke Mekah dan Abu Sufyan kembali dengan kafilah dagangannya, maka Abdullah bin Abi Rabi’ah, ‘Ikrimah bin Abu Jahal dan Shafwan bin Umayyah berjalan bersama beberapa orang Quraisy yang bapa-bapa mereka dan saudara-saudara mereka terbunuh pada peristiwa Badar. Lalu mereka berbicara kepada Abu Sufyan bin Harb dan orang-orang yang tadinya berada satu kafilah dagang Quraisy dengannya. Mereka berkata, ‘Wahai sekalian orang-orang Quraisy, sesungguhnya Muhammad telah menjadikan kamu kehilangan keluarga dan orang-orang baik kamu terbunuh, oleh itu, bantulah kami dengan harta ini untuk memeranginya. Mudah-mudahan kita boleh mendapatkan balasan untuk orang-orang yang tertimpa musibah di antara kita.’ Lalu mereka melakukannya.”
Muhammad bin Ishaq berkata, “Berkenaan dengan mereka inilah turun ayat ini, sebagaimana dikatakan oleh Ibnu ‘Abbas ra, bahawa Allah menurunkan ayat 36 dan ayat 37.”
Ayat ini bersifat umum, meskipun sebab turunnya khusus. Allah Ta’ala telah memberitahu bahawa orang-orang kafir membelanjakan harta mereka dengan tujuan mencegah manusia daripada mengikuti ajaran yang benar (hak). Mereka benar-benar melakukannya, lalu harta mereka habis musnah dan mereka mengalami kerugian serta penyesalan, kerana mereka tidak mendapat apa-apa selain kerugian. Hal ini adalah kerana mereka hendak memadamkan cahaya Allah Swt dan mengunggulkan kalimat mereka atas kalimat kebenaran, sedangkan Allah Swt menyempurnakan cahaya-Nya meskipun orang-orang kafir tidak menyukainya. Dia pasti memenangkan agama-Nya, meninggikan kalimat-Nya dan mengunggulkan agama-Nya atas agama-agama yang lain. Maka jadilah hal itu kehinaan bagi mereka di dunia dan untuk mereka adalah seksa neraka di akhirat.
Ayat 37
لِيَمِيزَ ٱللَّهُ ٱلْخَبِيثَ مِنَ ٱلطَّيِّبِ وَيَجْعَلَ ٱلْخَبِيثَ بَعْضَهُۥ عَلَىٰ بَعْضٍ فَيَرْكُمَهُۥ جَمِيعًا فَيَجْعَلَهُۥ فِى جَهَنَّمَ ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْخَـٰسِرُونَ
Kerana Allah hendak membezakan yang jahat (golongan yang ingkar) dari yang baik (golongan yang beriman), dan menjadikan (golongan) yang jahat itu setengahnya bersatu dengan setengahnya yang lain, lalu ditimbunkannya kesemuanya, serta dimasukkannya ke dalam neraka Jahannam. Mereka itulah orang-orang yang rugi.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia membezakan antara orang-orang yang bahagia iaitu orang-orang yang beriman dengan orang-orang yang celaka iaitu orang-orang yang kufur kepada-Nya.
Seterusnya Allah Ta’ala menjelaskan bahawa Dia akan memberikan kemenangan kepada orang-orang mukmin dan memberikan kekalahan kepada orang-orang kafir. Ini bermaksud Dia akan memisahkan golongan yang buruk daripada yang baik dan menjadikan golongan yang buruk itu sebagai kesatuan yang tidak dapat dipisahkan antara satu dengan yang lain. Pemisahan antara kedua-dua golongan ini merupakan suatu ketentuan yang berterusan. Sedangkan yang kekal bersatu ialah golongan yang baik. Firman-Nya:
“………………………….Demikianlah Allah membuat perumpamaan (bagi) yang benar dan yang batil. Adapun buih itu, akan hilang sebagai sesuatu yang tak ada harganya, adapun yang memberi manfaat kepada manusia, maka ia tetap di bumi. Demikianlah Allah membuat perumpamaan-perumpamaan.”
Ar-Ra’d 13:17
Mereka ini digambarkan oleh Allah Ta’ala sebagai orang-orang yang benar-benar rugi akibat harta benda dan jiwa mereka dikorbankan kepada perjuangan yang sia-sia dan mereka akan mengalami penyesalan yang tak berguna lagi, kerana mereka tidak dapat melepaskan diri daripada seksaan Allah Swt yang sangat pedih itu.