Perbuatan Kekafiran Orang Musyrik Mekah
Surah 8: Al-Anfal (30 – 35)
Ayat 30
وَإِذْ يَمْكُرُ بِكَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ لِيُثْبِتُوكَ أَوْ يَقْتُلُوكَ أَوْ يُخْرِجُوكَ ۚ وَيَمْكُرُونَ وَيَمْكُرُ ٱللَّهُ ۖ وَٱللَّهُ خَيْرُ ٱلْمَـٰكِرِينَ
Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Makkah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya.
Allah Ta’ala mengingatkan Rasul-Nya akan nikmat-Nya kepadanya iaitu Dia telah menyelamatkan Baginda daripada perancangan jahat orang-orang musyrik yang berkumpul untuk membahayakan dirinya dan dakwahnya.
Pada ketika itu orang-orang kafir Quraisy merancang salah satu daripada tiga konspirasi jahat terhadap Rasulullah saw iaitu:
- Memenjarakannya supaya dapat menghalangnya menyampaikan dakwah kepada manusia.
- Membunuhnya dengan cara mengumpulkan seluruh suku.
- Mengusirnya dari kampung halamannya.
Pada saat itu, orang-orang kafir Quraisy merencanakan tipu daya. Allah Ta’ala telah memberikan bantuan-Nya kepada Nabi Muhammad saw iaitu Dia menggagalkan usaha mereka dengan memerintahkan Baginda dan sahabatnya berhijrah dan perjalanan Nabi dan para sahabatnya dari Mekah ke Madinah dalam keadaan selamat tanpa mendapat sebarang gangguan.
Pada akhir ayat, Allah Ta’ala menegaskan bahawa Dia adalah sebaik-baik Pembalas tipu daya iaitu Dia mengalahkan tipu daya orang-orang musyrikin dan orang-orang kafir Quraisy yang ingin membinasakan Rasulullah saw.
Ayat 31
وَإِذَا تُتْلَىٰ عَلَيْهِمْ ءَايَـٰتُنَا قَالُوا۟ قَدْ سَمِعْنَا لَوْ نَشَآءُ لَقُلْنَا مِثْلَ هَـٰذَآ ۙ إِنْ هَـٰذَآ إِلَّآ أَسَـٰطِيرُ ٱلْأَوَّلِينَ
Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami, mereka berkata: “Sesungguhnya kami telah mendengarnya. Kalau kami mahu, nescaya kami dapat mengatakan (kata-kata) seperti (Al-Quran) ini. (Al-Quran) ini tidak lain hanyalah cerita cerita dongeng orang-orang dahulu kala”.
Allah Ta’ala menjelaskan tentang kekufuran orang-orang Quraisy, pengingkaran, pembangkangan dan keangkuhan juga pengakuan mereka yang batil ketika mereka mendengar ayat-ayat Allah Swt dibacakan kepada mereka. Mereka mengatakan, “Sesungguhnya kami telah mendengarnya. Kalau kami mahu, nescaya kami dapat mengatakan (kata-kata) seperti (Al-Quran) ini. (Al-Quran) ini tidak lain hanyalah cerita cerita dongeng orang-orang dahulu kala.”
Ini adalah ucapan mereka yang tidak ada kebenarannya dan tanpa bukti, kerana mereka telah dicabar berkali-kali untuk mendatangkan satu surah yang sebanding dengan Al-Quran, namun mereka tidak mendapatkan jalan untuk itu. Ucapan yang keluar daripada mulut mereka ini tidak lain hanyalah menipu diri mereka dan orang-orang yang mengikuti kebatilan mereka.
Kemudian Allah Ta’ala menerangkan sebab-sebab mengapa orang-orang Quraisy itu mengemukakan anggapan demikian, iaitu mereka beranggapan bahawa ayat-ayat yang dibaca oleh Nabi Muhammad saw itu bukanlah wahyu, melainkan dongengan-dongengan orang-orang dahulu kala.
Namun yang menariknya, mereka menisbahkan Al-Quran itu kepada kisah-kisah orang-orang terdahulu tetapi mereka tidak pula beranggapan bahawa Nabi Muhammad saw yang mereka-reka ayat-ayat tersebut. Ini kerana mereka tidak pernah menuduh Baginda seorang pendusta malah mereka sangat meyakini kejujurannya. Sebenarnya mereka mengatakan demikian itu hanyalah untuk menghalang orang lain agar tidak mahu mendengar Al-Quran. Firman Allah Swt:
“Sesungguhnya Kami mengetahui bahawasanya apa yang mereka katakan itu menyedihkan hatimu, (janganlah kamu bersedih hati), kerana mereka sebenarnya bukan mendustakan kamu, akan tetapi orang-orang yang zalim itu mengingkari ayat-ayat Allah.”
Al-An’am 6:33
Ayat 32
وَإِذْ قَالُوا۟ ٱللَّهُمَّ إِن كَانَ هَـٰذَا هُوَ ٱلْحَقَّ مِنْ عِندِكَ فَأَمْطِرْ عَلَيْنَا حِجَارَةً مِّنَ ٱلسَّمَآءِ أَوِ ٱئْتِنَا بِعَذَابٍ أَلِيمٍ
Dan (ingatlah) ketika mereka (kaum musyrik Makkah) berkata: “Wahai tuhan kami! Jika betul (Al-Quran) itu ialah yang benar dari sisimu, maka hujanilah kami dengan batu dari langit, atau datangkanlah kepada kami azab seksa yang tidak terperi sakitnya”.
Ayat ini merupakan penjelasan daripada Allah Ta’ala tentang kekafiran, kesombongan, pembangkangan dan pendakwaan yang batil daripada kaum Quraisy ketika mereka mendengar ayat-ayat-Nya dibacakan kepada mereka.
Dalam ayat ini terdapat satu petanda, sebenarnya orang-orang kafir Quraisy tidak akan mahu menjadi pengikut Nabi Muhammad saw meskipun apa yang dikatakan Baginda itu benar-benar ayat-ayat yang diturunkan daripada Allah Ta’ala. Hal ini membuktikan bahawa mereka lebih menyukai kehancuran daripada beriman kepada apa yang dibawa oleh Baginda. Mereka meminta kepada Allah supaya dihujani batu dari langit atau diseksa dengan seksaan yang pedih.
Sepatutnya mereka mengucapkan, “Ya Allah, jika (Al-Quran) ini benar (wahyu) daripada Engkau, maka tunjukkanlah kami kepadanya dan bimbinglah kami untuk mengikutinya.” Namun kerana tahap kejahilan mereka yang begitu tinggi, mereka meminta sesuatu yang merugikan mereka sendiri. Padahal kalau Allah mahu segera menimpakan azab kepada mereka, maka tidak ada seorang pun daripada mereka yang selamat, akan tetapi Dia menghindarkan azab itu kerana Rasulullah saw masih berada di tengah-tengah mereka.
Ayat 33
وَمَا كَانَ ٱللَّهُ لِيُعَذِّبَهُمْ وَأَنتَ فِيهِمْ ۚ وَمَا كَانَ ٱللَّهُ مُعَذِّبَهُمْ وَهُمْ يَسْتَغْفِرُونَ
Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka, sedang engkau (wahai Muhammad) ada di antara mereka; dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar (meminta ampun).
Imam Bukhari meriwayatkan daripada Anas bin Malik, dia berkata, Abu Jahal berkata, “Wahai tuhan kami! Jika betul (Al-Quran) itu ialah yang benar dari sisimu, maka hujanilah kami dengan batu dari langit, atau datangkanlah kepada kami azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”. Maka turunlah ayat ini.
Oleh itu dalam ayat ini, Allah Ta’ala menjelaskan kenapa azab orang-orang kafir Quraisy itu ditangguhkan. Ini kerana tidaklah menjadi sunnatullah, rahmat dan hikmah-Nya untuk mengazab mereka sementara Rasulullah saw masih berada di antara mereka. Dia mengutuskan Baginda adalah untuk menjadi rahmat bagi semesta alam dan bukan untuk menjadi azab atau kesengsaraan.
Kemudian Allah Ta’ala menjelaskan bahawa Dia tidak akan menurunkan seksa kepada mereka apabila mereka menghentikan keingkaran dan mahu bertaubat dan mengikuti petunjuk yang telah diberikan oleh Rasulullah saw.
Azab apabila turun akan ditimpakan dan dirasai oleh semua. Satu umat tidaklah diazab kecuali setelah nabi dan kaum mukmin keluar dari tempat yang ditimpakan azab tersebut.
Selagi ada umat yang memohon keampunan menyedari dosa dan keburukannya, kerana takut kalau azab itu menimpa mereka sehingga mereka beristighfar, mereka akan selamat.
Ayat 34
وَمَا لَهُمْ أَلَّا يُعَذِّبَهُمُ ٱللَّهُ وَهُمْ يَصُدُّونَ عَنِ ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ وَمَا كَانُوٓا۟ أَوْلِيَآءَهُۥٓ ۚ إِنْ أَوْلِيَآؤُهُۥٓ إِلَّا ٱلْمُتَّقُونَ وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ
Dan mengapa mereka tidak patut diseksa oleh Allah, sedang mereka menyekat (orang-orang Islam) dari masjid Al-Haram, padahal mereka bukanlah orang-orang yang berhak menguasainya (kerana mereka kafir musyrik)? Sebenarnya orang-orang yang berhak menguasainya hanyalah orang-orang yang bertakwa, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.
Allah Ta’ala menjelaskan bahawa Dia tidak akan menurunkan azab kepada orang-orang kafir Quraisy meskipun mereka berhak diberikan azab lantaran mereka telah menghalangi orang-orang mukmin daripada memasuki Masjidil Haram untuk menunaikan ibadah haji. Ini kerana Rasulullah saw masih berada di antara mereka dan masih ada orang-orang mukmin yang memohon keampunan kepada-Nya bersama Baginda.
Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala menegaskan bahawa kebanyakan orang-orang kafir itu tidak mengetahui bahawa mereka tidak layak menguasai Baitullah dan daerah-daerah haram kerana mereka bukanlah penolong-penolong agama. Ini kerana mereka telah berbuat syirik dan telah melakukan kerosakan-kerosakan di daerah itu serta mereka bermusuhan dengan Rasulullah saw.
Sebenarnya yang berhak menguasai Baitullah dan daerah-daerah haram itu hanyalah orang-orang yang bertakwa iaitu Rasulullah saw dan pengikut-pengikutnya.
Ayat 35
وَمَا كَانَ صَلَاتُهُمْ عِندَ ٱلْبَيْتِ إِلَّا مُكَآءً وَتَصْدِيَةً ۚ فَذُوقُوا۟ ٱلْعَذَابَ بِمَا كُنتُمْ تَكْفُرُونَ
Dan tiadalah sembahyang mereka di sisi Baitullah itu melainkan bersiul-siul dan bertepuk tangan. Oleh itu rasalah kamu (wahai orang kafir) akan azab seksa dengan sebab kekufuran kamu.
Seterusnya Allah Ta’ala menjelaskan bahawa mereka tidak layak untuk mengurus dan menguasai Masjidil Haram dan daerah haram adalah kerana mereka mengerjakan tawaf bertelanjang dan bersiul-siul serta bertepuk tangan.
Daripada Ibnu ‘Abbas ra dia berkata, “Dahulu orang-orang Quraisy bertawaf di sekeliling Ka’bah dalam keadaan telanjang sambil bersiul dan bertepuk tangan.” Perkara yang sama diriwayatkan oleh ‘Ali bin Abi Talhah dan Al-‘Aufi yang meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra. Juga diriwayatkan daripada Ibnu Umar, Mujahid, Muhammad bin Ka’ab, Abu Salamah bin ‘Abdur Rahman, Adh-Dhahhak, Qatadah, ‘Athiyyah, Al-‘Aufi, Hajar bin ‘Anbas dan Ibnu Abza dengan riwayat yang seperti ini.
(HR. At-Tabari)
Kemudian Allah Ta’ala mengancam perbuatan kekafiran mereka itu dengan ancaman azab yang keras. Azab ini meliputi seksaan di dunia dan juga di akhirat. Seksaan dunia yang mereka alami ialah tewasnya pemimpin-pemimpin mereka dan tertawannya tentera mereka pada waktu perang Badar serta kekalahan keseluruhan mereka pada saat penaklukan Kota Mekah. Manakala seksaan mereka di akhirat pula ialah sebesar-besar penyesalan akibat dahsyatnya api neraka membakar mereka.