Peringatan bahawa Anak dan Harta adalah Ujian
Surah 8: Al-Anfal (28)
Ayat 28
وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّمَآ أَمْوَٰلُكُمْ وَأَوْلَـٰدُكُمْ فِتْنَةٌ وَأَنَّ ٱللَّهَ عِندَهُۥٓ أَجْرٌ عَظِيمٌ
Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.
Allah Ta’ala mengingatkan kaum muslimin agar mereka mengetahui bahawa Dia menganugerahkan harta benda dan anak-anak kepada mereka adalah sebagai ujian iaitu apakah harta dan anak-anak yang ramai itu menambah ketakwaan mereka kepada-Nya, mensyukuri nikmat serta melaksanakan hak dan kewajipan seperti yang telah ditentukan-Nya ataupun menjadi penyebab kepada dosa dan azab kepada mereka sekiranya harta dan anak-anak itu menyibukkan mereka kepada dunia dan menjadi penghalang untuk beramal serta melupakan kewajipan-kewajipan yang mesti mereka laksanakan.
Kemudian Allah Ta’ala menutup ayat ini dengan memberikan kesedaran kepada orang-orang yang lalai bahawa di sisi-Nya-lah pahala yang besar. Ini bermaksud sesiapa yang mengutamakan keredhaan-Nya daripada mencintai harta dan anak-anaknya, maka dia akan mendapat pahala yang besar daripada sisi-Nya. Ini merupakan peringatan-Nya agar manusia tidak lupa kepada ketentuan agama lantaran memiliki harta yang banyak dan anak yang ramai. Firman-Nya:
“Wahai orang-orang beriman, janganlah hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu daripada mengingati Allah. Sesiapa yang berbuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang rugi.”
Al-Munafiqun 63:9
Cinta yang melampau terhadap harta dan anak-anak boleh menjadi penghalang seseorang itu untuk menunaikan amanah kepada Allah Swt.