Pertolongan Allah Swt kepada Kaum Muhajirin
Surah 8: Al-Anfal (26)
Ayat 26
وَٱذْكُرُوٓا۟ إِذْ أَنتُمْ قَلِيلٌۭ مُّسْتَضْعَفُونَ فِى ٱلْأَرْضِ تَخَافُونَ أَن يَتَخَطَّفَكُمُ ٱلنَّاسُ فَـَٔاوَىٰكُمْ وَأَيَّدَكُم بِنَصْرِهِۦ وَرَزَقَكُم مِّنَ ٱلطَّيِّبَـٰتِ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Dan ingatlah ketika kamu sedikit bilangannya serta tertindas di bumi, kamu takut orang-orang menangkap dan melarikan kamu, maka Allah memberi kamu tempat bermustautin dan diperkuatkan-Nya kamu dengan pertolongan-Nya, serta dikurniakan-Nya kamu dari rezeki yang baik-baik, supaya kamu bersyukur.
Allah Ta’ala mengingatkan orang-orang beriman tentang nikmat dan rahmat-Nya kepada mereka ketika mereka berhijrah dari Mekah ke Madinah dalam jumlah yang sedikit, bahkan termasuk golongan yang tertindas.
Pada saat permulaan Islam, kaum muslimin bimbang orang-orang musyrik Quraisy menculik mereka. Kemudian Allah Ta’ala menghilangkan kebimbangan itu dengan memberikan mereka tempat yang aman iaitu di Madinah. Setelah itu Dia memberikan pertolongan kepada kaum muslimin sehingga mereka menjadi umat yang kuat.
Pertolongan yang diberikan ini baik daripada orang-orang Ansar ketika Rasulullah saw dan pengikut-pengikutnya berada di Madinah, mahupun bantuan-bantuan daripada Allah Ta’ala ketika mereka berhadapan dengan kaum musyrikin dalam peperangan Badar.
Allah Ta’ala juga mengingatkan kepada kaum muslimin tentang nikmat-Nya yang lain iaitu rezeki yang baik-baik, sama ada kemakmuran bumi Madinah yang mereka diami dan juga kemenangan dalam perang Badar. Nikmat-nikmat Allah Swt yang diberikan kepada kaum muslimin yang disebutkan dalam ayat ini adalah untuk memberikan rangsangan agar kaum muslimin bersyukur kepada-Nya.