Surah 8: Al-Anfal (2 – 4)

Sifat Orang Mukmin

Surah 8: Al-Anfal (2 – 4)


Ayat 2

إِنَّمَا ٱلْمُؤْمِنُونَ ٱلَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ ٱللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ ءَايَـٰتُهُۥ زَادَتْهُمْ إِيمَـٰنًا وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ

Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.

Allah Ta’ala menjelaskan bahawa orang-orang beriman ialah mereka yang menghiasi diri mereka dengan sifat-sifat seperti yang dinyatakan dalam ayat ini. Tiga sifat disebutkan dalam ayat ini, sedangkan dua sifat lagi disebutkan dalam ayat berikutnya.

  • Sifat yang pertama: Rasa takut yang sempurna terhadap Allah Ta’ala. Orang-orang yang apabila mereka mengingati Allah Ta’ala dengan hati mereka, merasakan keagungan dan kebesaranNya serta ingat akan pahala dan seksaanNya maka mereka akan berasa takut kepadaNya. FirmanNya:

“……………….Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang tunduk patuh (kepada Allah), (iaitu) orang-orang yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka, orang-orang yang sabar terhadap apa yang menimpa mereka, orang-orang yang mendirikan solat dan orang-orang yang menafkahkan sebahagian daripada apa yang telah Kami rezekikan kepada mereka.”

Al-Hajj 22:34-35

  • Sifat yang kedua: Bertambah keimanan dengan membaca Al-Quran. Orang-orang yang apabila dibacakan ayat-ayat Al-Quran, bertambah keimanan dan keyakinan mereka. Ini kerana ayat-ayat itu mengandungi dalil-dalil yang kuat yang mempengaruhi jiwa mereka sehingga mereka bertambah yakin dan mantap serta dapat memahami isi kandungannya, sedangkan anggota badannya tergerak untuk melaksanakannya.
  • Sifat yang ketiga: Bertawakkal hanya kepada Allah Yang Maha Esa dan tidak berserah diri kepada selainNya.
Ayat 3

ٱلَّذِينَ يُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَمِمَّا رَزَقْنَـٰهُمْ يُنفِقُونَ

Iaitu orang-orang yang mendirikan sembahyang dan yang mendermakan sebahagian dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka.

  • Sifat yang keempat: Mendirikan solat secara tetap dan sempurna syarat-syarat atau rukun-rukunnya, serta tepat pada waktunya, sedang jiwa mereka khusyuk dan tunduk semata-mata kepada Allah Ta’ala.
  • Sifat yang kelima: Membelanjakan sebahagian daripada harta yang diberikan kepada mereka. Ini termasuk mengeluarkan zakat, memberi nafkah kepada keluarga dekat atau pun jauh atau membantu kegiatan sosial dan kepentingan agama serta kemaslahatan umat.
Ayat 4

أُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُؤْمِنُونَ حَقًّا ۚ لَّهُمْ دَرَجَـٰتٌ عِندَ رَبِّهِمْ وَمَغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ

Merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan mendapat pangkat-pangkat yang tinggi di sisi Tuhan mereka dan keampunan serta limpah kurnia yang mulia (di Syurga).

Setelah itu Allah Ta’ala menegaskan bahawa orang-orang yang menghiasi diri mereka dengan sifat-sifat yang disebutkan di atas adalah orang-orang yang benar-benar beriman.

Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala menjelaskan bahawa mereka akan memperoleh darjat yang tinggi dan kedudukan yang mulia di sisiNya. Hal ini adalah kerana kuasa Allah swt semata-mata. Dia berkuasa menciptakan pelbagai bentuk kehidupan, maka Dia berkuasa pula memberikan keutamaan kepada makhlukNya sesuai dengan kehendakNya.

Rezeki yang sebenar ialah apabila dimasukkan ke dalam syurga. Allah swt siapkan untuk penghuni syurga berupa sesuatu yang belum pernah terlihat oleh mata, belum pernah terdengar oleh telinga dan belum pernah terlintas dalam hati manusia. Daripada Abu Hurairah ra, dia berkata bahawa Rasulullah saw bersabda:

“Allah berfirman, ‘Aku sediakan bagi hamba-hambaKu yang soleh syurga yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga dan tidak pernah terdetik dalam hati manusia.’”

Bacalah firman Allah Ta’ala, “Tidak seorang pun mengetahui pelbagai nikmat yang menanti, yang indah dipandang sebagai balasan bagi mereka, atas apa yang mereka kerjakan.” (As-Sajdah: 17)

(HR. Bukhari dan Muslim)